Video ini menunjukkan air terjun di Switzerland

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah video telah ditonton ratusan ribu kali di Facebook bersama-sama dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan air terjun di negeri Kedah. Dakwaan itu tak benar: video itu sebenarnya menunjukkan air terjun di Switzerland.

Video yang berdurasi 26 saat itu disiarkan di sini di Facebook pada 22 Jun 2020 dan telah dikongsi melebihi 23,000 kali.

Video itu menunjukkan laluan yang indah dengan air terjun di gunung yang jauh di latar belakang.

Di bawah adalah tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan yang diambil pada 22 Jun 2020

Kapsyennya menyatakan: “Keindahan gunung baling”.

Gunung Baling terletak di Kedah, sebuah negeri di barat laut Aemenanjung Malaysia.

Video tersebut telah ditonton melebihi 560,000 kali selepas ia dikongsi di catatan Facebook di sini dan sini, dengan dakwaan serupa. Ia juga dikongsikan di sini dan sini, dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan Gunung Keriang atau Gunung Setong.

Kesemua dakwaan tersebut tak benar.

Air terjun tersebut tidak terletak di Malaysia. Carian imej terbalik dan carian kata kunci di Google mendapati bahawa video itu dimuat naikkan pada 29 April 2020 di aplikasi Instagram di sini oleh Sylvia Michel, seorang jurugambar yang berpusat di Switzerland.

Kapsyen posting tersebut, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: "ARAH YANG BETUL. / 🎥 @michelphotography_ch . / Siapa yang kata aww  🥰 dengan anda? / .
@ilovebrienz / . MUZIK: Syml - Take me apart”.

Posting tersebut ditanda terletak pada Berner Oberland, atau Bernese Oberland, sebuah wilayah di bahagian tengah Switzerland.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Instagram (kanan). Perhatikan pembentukan awan yang sama dan kawanan lembu di latar belakang di samping pondok yang sama di tepi jalan di latar depan:

Perbandingan tangkapan skrin video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Instagram (kanan)

Air terjun di dalam video tersebut ialah Oltschibachfall, berdekatan dengan bandar Meiringen, di wilayah Bernese Oberland.

Imej Oltschibachfall di Google Maps ini padan dengan pemandangan yang dilihat di dalam video.

Tangkapan skrin imej Oltschibachfall dari Google Maps