
COVID-19 melanda Beijing dan Shanghai serta menjejaskan ekonomi dan pasaran saham di China
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Jumaat 17/07/2020 pukul 10:20
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Dakwaan-dakwaan ini dimuat naikkan di sini di Facebook pada 3 April 2020. Ia telah dikongsi melebihi 200 kali.
Catatan itu menyatakan: “Corona: Ada sesuatu yang tidak kena ...!” Dan, seterusnya, ia menyenaraikan dakwaan-dakwaan mengenai COVID-19 yang dikaitkan dengan negara China.
Ia disertakan dengan gambar peta China yang telah ditanda dengan warna merah menunjukkan lokasi-lokasi termasuk Beijing, Tianjin, Wuhan, Shanghai dan Guangzhou.
Di bawah adalah tangkapan skrin catatan yang mengelirukan:

Teks yang sama juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini.
Dakwaan-dakwaan tidak berasas
Tak benar – COVID-19 tidak mempunyai kesan di Beijing dan Shanghai.
Dakwaan ini adalah tidak benar. Beijing dan Shanghai, dua bandar dengan penduduk yang paling ramai di China, telah melaporkan kes COVID-19 yang disahkan dan kematian disebabkannya sejak Januari 2020.
AFP pernah membongkar dakwaan ini di sini.
Novel koronavirus, yang mengakibatkan penyakit COVID-19, pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China pada akhir tahun 2019. Sehingga 16 Julai 2020, COVID-19 telah membunuh melebihi 574,400 orang dan menjangkiti melebihi 13.1 juta yang lain di seluruh dunia, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sehingga 14 Julai 2020, hab kewangan China, Shanghai, telah melaporkan 731 kes COVID-19 yang disahkan, sementara ibu negara China, Beijing, telah melaporkan 929 kes COVID-19 yang disahkan, menurut statistik dari Suruhanjaya Kesihatan Nasional yang diterbitkan oleh agensi berita Xinhua.
AFP juga telah melaporkan bahawa Shanghai mengesahkan kematian COVID-19 yang pertama pada 26 Januari 2020. Dua hari kemudian, pada 28 Januari 2020, AFP melaporkan kematian akibat COVID-19 yang pertama di Beijing.
Sejurus selepas penularan wabak itu, pihak berkuasa juga menutup tempat-tempat pelancongan utama dan membatalkan perayaan Tahun Baru Cina di Beijing dan Shanghai ketika bandar-bandar tersebut bergegas untuk menghentikan penyebaran novel koronavirus, seperti yang dilaporkan AFP di sini.
Tak benar – COVID-19 tidak menjejaskan ekonomi dan pasaran saham di China.
Dakwaan ini adalah tidak benar.
AFP telah melaporkan di sini pada 3 Februari 2020 bahawa saham China runtuh dengan indeks Shanghai mencatat penurunan satu hari terbesar sejak 2015 saat panik berpunca daripada penularan COVID-19 di China.
Bank pusat China mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada bank dengan margin terbesar dalam lima tahun dan menyuntikkan 50 bilion yuan (RM30.5 bilion) ke dalam sistem kewangan untuk membantu ekonomi kedua terbesar di dunia menghadapi impak koronavirus, seperti yang dilaporkan AFP pada 30 Mac 2020 di sini.
Tak benar – COVID-19 adalah “senjata bio-kimia China”.
Dakwaan ini adalah tidak benar.
AFP pernah membongkar dakwaan ini di sini.
Para pakar telah menyangkal teori bahawa koronavirus baru telah dicipta dengan sengaja. Di dalam sebuah surat yang diterbitkan di jurnal perubatan The Lancet pada 19 Februari 2020, para saintis kesihatan awam berkata bahawa virus itu “berasal dari hidupan liar”.
“Kami bersama-sama mengutuk sekeras-kerasnya teori konspirasi yang mencadangkan bahawa COVID-19 tidak mempunyai asal-usul semula jadi. Para saintis dari beberapa negara ... membuat kesimpulan bahawa koronavirus ini berasal dari hidupan liar, seperti kebanyakan patogen lain yang muncul,” kata surat itu.
Para saintis di Universiti Negeri Ohio di AS juga menerbitkan kertas yang menyimpulkan bahawa “tidak ada bukti yang boleh dipercayai” bahawa koronavirus baru telah direkayasa di dalam sebuah makmal.
Pejabat Pengarah Perisikan Negara (DNI) AS telah mengeluarkan kenyataan ini pada 30 April 2020 menyatakan: “Komuniti Perisikan juga setuju dengan konsensus saintifik yang luas bahawa virus COVID-19 bukan buatan manusia atau diubah suai secara genetik.”
Mengelirukan – China sudah mempunyai vaksin untuk COVID-19.
Dakwaan ini mengelirukan.
AFP telah membongkar dakwaan ini di sini.
WHO telah menyatakan bahawa “tidak ada ubat yang terbukti dapat mencegah atau menyembuhkan penyakit ini”.
Sebahagian daripada bahagian soal jawab mengenai koronavirus (COVID-19) di laman sesawangnya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ujian klinikal yang berterusan ke atas ubat-ubatan barat dan tradisional. WHO sedang mengkoordinasikan usaha untuk membangunkan vaksin dan ubat-ubatan untuk mencegah dan merawat COVID-19 dan akan terus memberikan maklumat terkini sejurus selepas hasil penyelidikan dapat diperoleh.”
WHO juga telah mengeluarkan dokumen landskap yang menyenaraikan calon vaksin COVID-19 di seluruh dunia, termasuk di China, setakat 15 Julai 2020 di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami