Foto ini tidak menunjukkan 26 pegawai kerajaan yang korup dihukum mati di China

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah gambar yang telah dikongsi ratusan kali di pelbagai catatan Facebook mendakwa ia menunjukkan 26 pegawai kerajaan yang korup dijatuhkan hukuman mati di China. Dakwaan itu mengelirukan. Foto itu sebenarnya merupakan gambar AFP dari tahun 2004 mengenai perhimpunan hukuman di bandar Wenzhou, di timur China, yang selepas itu 11 orang dihukum mati; tiada seorang pun yang dihukum mati adalah pegawai yang korup, menurut laporan-laporan media berbahasa Cina pada masa itu. 

Gambar tersebut dimuat naikkan pada 15 Oktober 2020 di Facebook di sini, di mana ia telah dikongsikan lebih daripada 200 kali.   

Di bawah adalah tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 21 Oktober 2020

Gambar itu merupakan tangkapan skrin catatan Facebook lain yang memuat naik keterangan berbunyi: “26 ahli politik yg didapati rasuah di China tunggu giliran tembak mati kemudian peluru akan dihantar dan dibayar oleh keluarga.”

Pada tangkapan skrin itu juga ada catatan dalam bahasa Inggeris yang menyatakan: “Pelaksanaan hukuman mati ke atas 26 Ahli Politik kerana Rasuah di China. Selamat tinggal.”

Manakala teks yang ditindihkan di atas gambar menyatakan: "CHINA MAJU SEBAB PERASUAH DITEMBAK MATI". 

Sehingga Ogos 2020, Malaysia masih dalam proses membahas pemansuhan hukuman mati tetapi untuk kesalahan pengedaran dadah, seperti yang dilaporkan di sini oleh Bernama.

Terdapat beberapa kategori jenayah di mana seseorang boleh disabitkan dengan hukuman mati di Malaysia; situasi semasa mengenai topik penghapusan hukuman mati seperti yang dijelaskan di sini oleh pertubuhan bukan kerajaan hak asasi manusia, Amnesty International.

Gambar yang sama juga dikongsikan hampir 340 kali setelah muncul di Facebook di sini dan sini, dengan dakwaan yang sama.

Gambar tersebut juga pernah dikongsikan dalam bahasa Tagalog dan bahasa Inggeris, bersama dengan dakwaan serupa.

Dakwaan tersebut mengelirukan. Foto itu adalah gambar AFP dari tahun 2004 dan menunjukkan sekumpulan banduan di perhimpunan hukuman di China.

Carian imej terbalik di Google menjumpai gambar tersebut di sini dari AFP. 

Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Polis China menunjukkan sekumpulan banduan tegar di perhimpunan hukuman di bandar Wenzhou di timur China, 07 April 2004, di mana 11 banduan kemudiannya dihukum mati atas pelbagai jenayah. Amnesty International telah meminta moratorium untuk hukuman mati di China, dengan mengatakan sistem keadilan jenayah yang tidak berfungsi di negara itu bermaksud banyak orang yang tidak bersalah dihukum mati, setelah seorang penggubal undang-undang kanan China menyatakan China melaksanakan hukuman mati ke atas sekurang-kurangnya 10,000 orang setahun, kira-kira lima kali lebih banyak daripada seluruh dunia digabungkan.”

Gambar yang sama juga diterbitkan di sini di Getty Images, dengan penghargaan kepada AFP. 

Di bawah adalah perbandingan antara tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar AFP (kanan):

Perbandingan antara tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar AFP (kanan)

Carian kata kunci untuk pelaksanaan hukuman mati terhadap 11 banduan tegar Cina pada 7 April 2004 mendapati laporan ini yang diterbitkan di laman berita China, Zhejiang Online pada 8 April 2004.

Sebahagian laporan berbahasa Cina itu menyatakan: “Pada pukul 9 pagi, Mahkamah Rakyat Pertengahan Wenzhou mengadakan perhimpunan hukuman awam di Gimnasium Wenzhou. Chen Yongfeng, pembunuh yang menjadi pengaruh buruk di Wenzhou dengan membunuh 10 orang, telah dijatuhkan hukuman mati dan dilucutkan hak politik seumur hidup. Chen Yongfeng dan 10 penjenayah lain dihukum mati selepas perhimpunan itu.”

Laporan ini yang dimuat naikkan di Sina.com, sebuah syarikat media dalam talian China, pada 7 April 2004, juga melaporkan pelaksanaan hukuman mati yang sama dan termasuk gambar yang menunjukkan beberapa banduan yang sama.

Sebahagian laporan berbahasa Cina itu menyatakan: “11 penjenayah termasuk Chen Yongfeng dan Zhao Airong tidak berpuas hati dengan penghakiman pertama dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rakyat Tinggi Zhejiang. Mahkamah tersebut kemudian menolak rayuan itu, menegaskan keputusan asalnya, dan menyetujui pelaksanaan hukuman mati serta perlucutan hak politik.

“Penjenayah lain (selain daripada Chen dan Zhao) yang juga dibawa ke tapak pelaksanaan hukuman mati telah terlibat dalam jenayah seperti rompakan, pembunuhan dengan sengaja, menyebabkan kecederaan secara sengaja dan pelacuran secara paksa.”

AFP juga mengambil gambar ini, ini dan ini di perhimpunan hukuman yang sama.