Tidak, video ini tidak menunjukkan Lady Gaga mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video yang menunjukkan seorang wanita berambut perang dengan cermin mata hitam telah ditonton jutaan kali di pelbagai catatan di Facebook, Twitter dan YouTube bersama dengan dakwaan ia adalah bintang pop Amerika Syarikat Lady Gaga yang mengalunkan ayat-ayat dari al-Quran. Dakwaan itu tak benar. Wanita itu sebenarnya penyanyi Tunisia Sofia Sadek dan klip tersebut berasal dari persembahannya di stesen radio pada bulan September 2016.

Video berdurasi tiga minit dan 13 saat itu telah dimuat naikkan di sini di Facebook pada 23 Jun 2020, di mana ia telah ditonton melebihi 2.8 juta kali. 

Ia menunjukkan wanita tersebut duduk di sebelah kiri seorang lelaki berbaju biru dan menyanyi ke mikrofon.

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 17 Disember 2020

Kapsyennya menyatakan: “Penyanyi Lady Gaga Baca Ayat Quran.”

Nama penuh Lady Gaga ialah Stefani Joanne Angelina Germanotta. Ini laman sesawangnya.

Video dan dakwaan yang serupa juga dikongsikan di YouTube. Tangkapan skrin video itu dimuat naikkan di Twitter dengan dakwaan serupa. 

Video itu dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam berbagai bahasa, termasuk bahasa Urdu, bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris.

Dakwaan tersebut tak benar.

Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital, InVID-WeVerify, membawa kepada laporan berita dalam bahasa Arab mengenai penyanyi Tunisia bernama Sofia Sadek. Ini halaman artisnya di Spotify.

Artikel ini di laman web surat khabar Mesir, Al-Masry Al-Youm bertarikh 11 April 2019, menyertakan gambar Sadek dalam laporannya ke atas kontroversi mengenai penampilan penyanyi itu dalam sebuah program radio.

Laporan Al-Masry Al-Youm memetik seorang ulama Mesir, Ahmad Karimah sebagai berkata: “Al-Quran sepatutnya hanya dilafaz oleh para profesional demi menghormati peraturan sebutan yang tepat.”

Di bawah adalah tangkapan skrin laporan Al-Masry Al-Youm:

Tangkapan skrin laporan Al-Masry Al-Youm

Latar belakang kelihatan dalam video dan gambar di laman web berita itu memaparkan perkataan “Radio Med” dan “Cap Bon”. 

Dengan mencari kata-kata kunci ini di Google, AFP menjumpai saluran YouTube Radio Med, sebuah stesen radio yang berpusat di Cap Bon, timur laut Tunisia, di sini.

Pencarian lebih lanjut akaun YouTube tersebut menjumpai video berdurasi satu minit dan 18 saat ini, bertarikh 24 September 2016, dengan tajuk berbahasa Arab yang diterjemahkan sebagai: “Sofia Sadek mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran semasa wawancara.” 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video yang disiarkan dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video yang disiarkan dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan)

Satu lagi video YouTube yang dimuat naikkan oleh Radio Med di sini juga pada 24 September 2016, menunjukkan Sadek bercakap tanpa cermin mata hitam.

Di bawah adalah perbandingan penampilan Sadek dalam video itu (kiri) dan foto AFP Lady Gaga (kanan):

Perbandingan penampilan Sadek dalam video itu (kiri) dan foto AFP Lady Gaga (kanan)

Sebuah laporan mengenai video asal juga diterbitkan di sini pada masa itu di laman web surat khabar Mesir, Al-Youm Al-Sabeh. Artikel bertarikh 29 September 2016, berjudul: “Penyanyi Sofia Sadek menimbulkan kontroversi kerana mengalunkan ayat-ayat al-Quran dalam pakaian tidak senonoh.”

Terjemahan dan adaptasi