Gambar-gambar menunjukkan para suspek di dalam kes kematian seorang warga Indonesia pada Oktober 2019, kata PDRM

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 05/08/2020 pukul 10:35
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu siri gambar yang memaparkan empat lelaki telah dikongsi puluhan ribu kali di dalam pelbagai catatan di Facebook bersama-sama dakwaan bahawa mereka telah merompak, merogol atau membunuh orang di pelbagai tempat di Malaysia sambil berpura-pura menjual sabun basuh. Dakwaan itu tak benar. Pihak polis Malaysia berkata gambar-gambar tersebut sebenarnya menunjukkan para suspek di dalam kes kematian seorang lelaki warga Indonesia di Sarawak pada Oktober 2019.

Gambar-gambar tersebut diterbitkan di sini di Facebook pada 22 Mei 2020. Ia telah dikongsikan melebihi 31,000 kali.   

Gambar-gambar itu menunjukkan empat lelaki berbeza yang bergambar di hadapan latar belakang berwarna biru.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan yang diambil pada 4 Ogos 2020

Kapsyen catatan Facebook tersebut menyatakan: “Peringatan Khas dari PDRM, berhati hati dengan penjual sabun basuh yang datang ke rumah. Mereka menyuruh kita menghidu pewangi yang sebenarnya adalah white clay, sejenis dadah untuk penenang, kalau kita terhidu boleh menyebabkan pengsan, tujuan mereka untuk merompak/merogol/membunuh, ia sudah berlaku di Sibu, Kuching, Bintulu dan sekarang aktif di Terengganu dan mereka sudah masuk kawasan2 timur Jengka Pahang, panjangkan demi keselamatan bersama, Beringat sebelum terkena.” 

Bandar Sibu, Kuching dan Bintulu terletak di negeri Sarawak, Malaysia Timur; sedangkan negeri Terengganu dan bandar Jengka Pahang terletak di Semenanjung Malaysia.  

Gambar-gambar tersebut juga dikongsikan di sini, sini dan sini di Facebook, bersama-sama dakwaan yang serupa.

Dakwaan itu tak benar.

Carian kata kunci di Google mendapati bahawa dakwaan ini adalah lama dan boleh dijejak sehingga tahun 2013 berdasarkan laporan berita tempatan. Versi awal dakwaan yang sama tidak termasuk gambar-gambar para lelaki itu.

Jabatan komunikasi korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) membalas pertanyaan AFP melalui e-mel pada 28 Julai 2020.

E-mel tersebut menyatakan: “Untuk makluman, semakan telah dijalankan dan mendapati kandungan mesej tular ‘hati-hati dengan penjualan sabun basuh’ pernah ditularkan sebelum ini dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memuat naik penyangkalan mesej tersebut melalui Facebook Rasmi PDRM pada 18 November 2014. 

“Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Terengganu juga pernah mengeluarkan kenyataan melalui portal Sinar Harian mengenai mesej tersebut pada 3 November 2019.

“Semakan dengan pihak Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak mendapati gambar-gambar suspek yang dinyatakan dalam mesej tersebut, sebenarnya merupakan suspek yang disyaki terlibat dengan kes penemuan mayat seorang lelaki Indonesia pada 14 Oktober 2019 di Sibu, Sarawak.”

Pada 3 November 2019, Sinar Harian menerbitkan laporan berjudul: “Polis nafi kegiatan rompak, rogol dan bunuh aktif di Terengganu,” dengan gambar yang kabur para lelaki yang kelihatan di dalam catatan Facebook yang mengelirukan.

Di bawah adalah tangkapan skrin laporan Sinar Harian:

Image
Tangkapan skrin laporan Sinar Harian

Dakwaan yang serupa juga pernah dilaporkan oleh The Borneo Post pada 27 Mac 2013, di sini, yang mengatakan bahawa pihak polis “belum menerima laporan berhubung kegiatan penjenayah yang menggunakan dadah jenis penenang untuk menyerang mangsa”. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami