Gambar ini pernah muncul di dalam laporan mengenai lelaki warga Filipina yang membakar bendera Malaysia

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu gambar telah dikongsi ratusan kali di pelbagai catatan di Facebook bersama-sama dakwaan ia menunjukkan lelaki Cina Malaysia membakar bendera Malaysia. Dakwaan itu tak benar. Gambar itu telah tersebar di dalam laporan mengenai lelaki warga Filipina yang membakar bendera Malaysia dalam satu tunjuk perasaan pada tahun 2013.

Gambar itu diterbitkan pada 27 Ogos 2020 di Facebook di sini, di mana ia telah dikongsikan melebihi 300 kali.  

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 9 September 2020

Gambar tersebut menunjukkan seorang lelaki berpakaian baju kuning membakar bendera Malaysia.

Kapsyen catatan Facebook itu menyatakan: “Inilah sikap DAP yang sebenar! Sanggup bakar JALUR GEMILANG kerana marahkan pemimpin muslim negara.

“Ini lah buat kami BENCI #DAP sampai bila-bila! Kurang ajar!”

Teks yang ditindihkan ke atas gambar tersebut menyatakan: “Salam Merdeka” dan “DAP bakar bendera Memang CELAKA”.

Jalur Gemilang merupakan nama lain untuk bendera Malaysia.

DAP merujuk kepada Democratic Action Party, atau Parti Tindakan Demokratik, yang dikuasai oleh ahli politik berbangsa Cina. 

Gambar tersebut telah dikongsi melebihi 400 kali selepas ia muncul di dalam catatan Facebook yang lain di sini, sini, sini dan sini dengan dakwaan yang serupa. 

Foto tersebut juga dimuat naikkan di sini dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan seorang lelaki warga Indonesia sedang membakar bendera Malaysia.

Satu lagi gambar yang lain di acara membakar bendera yang sama muncul di catatan Facebook ini, yang mendakwa seorang penyokong Bersih membakar bendera Malaysia. 

Di bawah adalah tangkapan skrin catatan mengelirukan yang kedua:

Tangkapan skrin catatan mengelirukan yang kedua, diambil pada 11 September 2020

Dakwaan-dakwaan tersebut tak benar.

Carian imej terbalik disusuli dengan carian kata kunci di Google mendapati bahawa gambar tersebut pernah diterbitkan oleh saluran berita Filipina ABS-CBN di sini pada 6 Mac 2013.

Laporan berbahasa Inggeris itu bertajuk: “Pembakaran bendera Malaysia”. Kapsyennya menyatakan: “Bekas pegawai polis Filipina Abner Afuang bakar bendera Malaysia pada Rabu semasa suatu perhimpunan di Manila untuk membantah serangan tentera Malaysia terhadap lelaki Filipina bersenjata di Sabah. Tentera Malaysia sedang mengumpulkan unsur-unsur kumpulan itu setelah serangan itu gagal menamatkan krisis yang berlanjutan selama tiga minggu.”  

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin foto di dalam catatan yang mengelirukan yang pertama (kiri) dan foto ABS-CBN (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin foto di dalam catatan yang mengelirukan yang pertama (kiri) dan foto ABS-CBN (kanan)

Gambar kedua yang digunakan di dalam catatan yang mengelirukan berasal dari AFP, seperti yang ditunjukkan di sini

Foto tersebut diambil pada 6 Mac 2013 dan berkapsyen: “Abner Afuang, seorang bekas pegawai polis Filipina, membakar bendera kebangsaan Malaysia semasa suatu perhimpunan di Manila pada 6 Mac 2013 untuk membantah serangan tentera Malaysia terhadap lelaki Filipina bersenjata di Sabah. Pada 6 Mac, Malaysia telah meningkatkan usaha menjejak penceroboh Filipina bersenjata yang telah mengelak daripada serangan tentera yang bertujuan untuk menghancurkan mereka, ketika gerila Filipina memberi amaran bahawa lebih banyak pejuang telah tiba.”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin foto di dalam catatan yang mengelirukan yang kedua (kiri) dan foto AFP (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin foto di dalam catatan yang mengelirukan yang kedua (kiri) dan foto AFP (kanan)

Protes pembakaran bendera Afuang tersebut juga dilaporkan oleh Philippine Daily Inquirer pada 6 Mac 2013 di sini.

Biografi Afuang semasa dia bertanding di dalam pilihan raya senat Filipina pada tahun 2019 diterbitkan oleh Rappler, sebuah media dalam talian di Filipina, di sini.

Arkib foto AFP menunjukkan bahawa Afuang pernah membakar bendera negara lain, misalnya bendera negara China pada tahun 2015 di sini dan bendera British pada tahun 2002 di sini.