Video selang masa ini menunjukkan perjalanan kereta api peluru berdurasi 150 minit antara Osaka dan Tokyo

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 22/09/2020 pukul 08:15
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Sebuah video telah ditonton ribuan kali dalam pelbagai catatan di Facebook, YouTube, dan Twitter bersama-sama dakwaan ia menunjukkan menunjukkan sebuah kereta api peluru Jepun bergerak dari Osaka ke Tokyo dalam sepuluh minit. Dakwaan itu tak benar; rakaman tersebut sebenarnya adalah video selang masa (timelapse) perjalanan berdurasi 150 minit kereta api peluru antara Osaka dan Tokyo.

Video itu disiarkan di sini di Facebook pada 14 September 2020. Ia telah ditonton lebih daripada 12,000 kali. 

Video berdurasi empat minit, 49 saat itu menunjukkan pemandangan dari tingkap kereta api yang meninggalkan stesen. Meter laju dan peta trek dapat dilihat di sebelah kiri video. Pemasa dapat dilihat di sebelah kanan video. Di sudut kiri atas video, terdapat tera air yang menyatakan “Fermata Studio”.

Kapsyennya, ditulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, menyatakan: “Fuhh 4.800km/h. laju betol.. bila plk nk sampai lagi  

“Kereta api peluru Jepun yang baru mencapai 4.800 km / jam yang tidak dapat dibayangkan, menghabiskan perjalanan dari stesen Shin Osaka ke Tokyo (502.3 km) hanya dalam 10 minit.”

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 21 September 2020

Stesen Shin-Osaka adalah stesen kereta api untuk laluan shinkansen, atau kereta api peluru, di bandar Osaka, Jepun.

Video yang sama juga telah ditonton melebihi 6,500 kali selepas ia dimuat naikkan di Facebook bersama-sama dakwaan yang serupa di sini, sini dan sini; di Twitter di sini; dan di YouTube di sini

Dakwaan itu tak benar. Rakaman itu sebenarnya video selang masa perjalanan berdurasi 150 minit kereta api peluru dari Osaka ke Tokyo.

Carian imej terbalik, diikuti dengan carian kata kunci di Google mendapati video ini dimuat naikkan pada 2 Ogos 2020 di saluran YouTube Fermata Studio, yang menyatakan lokasinya di Jepun.

Tajuk video berdurasi 10 minit, 12 saat itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia sebagai: “[Simulasi Berkelajuan Tinggi] Kereta Api Peluru Shinkansen yang Beroperasi, Osaka ke Tokyo (515km) dalam 10 minit”.

Sebahagian kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Filem ini fiksyen. Biasanya mengambil masa 2.5 jam dari Shin-Osaka ke Tokyo. Dibuat dengan kaedah yang dipanggil ‘Kelainan masa hyper-lapse / selang masa’.

“Salinan video dengan tajuk dan keterangan yang diubah beredar di Facebook, terutamanya di Brazil dan Malaysia. Tiga laman semakan fakta telah menyemak salah satu daripadanya dan membuat kesimpulan bahawa  video tersebut adalah palsu dan keterangannya adalah palsu. Mereka telah menerbitkan keputusan mereka bersama-sama tangkapan skrin video palsu (dalam bahasa Portugis). Tambahan pula, satu lagi laman semakan fakta kini sedang menyiasat salinan video-video tersebut.” 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan)

Orang di sebalik saluran YouTube Fermata Studio memberitahu AFP bahawa dia merakam rakaman untuk saluran tersebut. “Saya menerangkan dengan panjang lebarnya menggunakan perkataan-perkataan, ‘simulasi’, ‘fiksyen’, ‘hyper-lapse/selang masa’ dalam tajuk dan keterangan video asal untuk mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam satu e-mel pada 19 September 2020. 

“Saya telah merakam pemandangan tingkap dari kereta api dan kapal terbang sejak tujuh tahun kebelakangan ini. Dengan menggunakan video-video tersebut, saya ingin membuat video fiksyen ilmiah yang membolehkan orang mengalami kelajuan melampau yang mustahil dalam realiti.”

Fermata Studio juga telah memuat naikkan video lain sebelum itu pada 6 Januari 2019. Tajuk video berdurasi dua jam, 36 minit itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris: “2jam30minit Pemandangan Tingkap Senyap dari Kereta Api Peluru Shinkansen Jepun pada waktu malam”, sedangkan sebahagian kapsyennya berbunyi: “Tokaido Shinkansen (Tokyo - Shin-Osaka) Nozomi 407, Siri N700”.

Menurut laman sesawang Pas Rel Jepun, “Tokyo dan Osaka dihubungkan oleh laluan Tokaido Shinkansen” dan “Nozomi merupakan kereta api paling laju kerana ia menghabiskan perjalanan tersebut dalam hanya 2 jam dan 30 minit.”

Laman web yang sama juga menyatakan di sini bahawa kelajuan paling tinggi kereta api Rel Jepun (JR) adalah 320 km/jam (199 mph). 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami