Gambar ini tersebar sejak 2019 dalam laporan tentang wanita yang ditangkap kerana membunuh kanak-kanak di Argentina

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah gambar telah dikongsi dalam beberapa artikel berita dan catatan media sosial bersama dengan dakwaan ia menunjukkan seorang wanita yang ditangkap di Mexico setelah menikam suaminya. Dakwaan itu tidak benar: gambar itu tersebar dalam talian sejak 2019 dalam laporan mengenai seorang wanita yang ditangkap di Argentina kerana penderaan dan pembunuhan seorang kanak-kanak. Pada bulan September 2019, tentera laut Argentina berkata ia telah menahan wanita itu di Buenos Aires. Dia dihukum penjara seumur hidup pada tahun 2011 untuk “rogol, penyeksaan dan kematian anak bawah umur” dan sejurus selepas itu melarikan diri pada tahun 2012, kata tentera laut dalam satu kenyataan.

Imej itu diterbitkan di Facebook pada 24 Januari 2021 di sini, di mana ia telah dikongsi melebihi 1,800 kali.

Catatan Facebook tersebut merujuk kepada laporan ini dengan tajuk yang sama dengan kapsyennya yang menyatakan: “Nampak Foto ‘Gadis Muda’ Dalam ‘Handphone’ Suami, Wanita Dilapor Tikam Suami Tanpa Sedar Gambar Itu Adalah Dirinya”.

Menurut laporan tersebut, kes penikaman itu berlaku di Mexico. 

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 11 Februari 2021

Gambar yang sama juga dikongsikan dengan dakwaan serupa di Facebook di sinisini, sini dan sini.

Selain itu, gambar itu juga beredar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Portugis di Twitter dan bahasa Indonesia di Facebook. 

Foto tersebut juga diterbitkan dalam pelbagai laporan bahasa Inggeris tentang seorang wanita di Mexico yang didakwa telah menikam suaminya, seperti The New York Post dari Amerika Syarikat dan The Daily Mirror dari Britain. 

Dakwaan itu tak benar.

Carian kata kunci mendapati gambar tersebut diterbitkan oleh Wilayah Angkatan Laut Argentina di akaun Twitternya pada 26 September 2019.

“Kami telah menangkap salah satu wanita yang paling dikehendaki di negara ini,” menurut ciapan dalam bahasa Sepanyol itu. “Seorang jururawat, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2011 untuk rogol, penyeksaan dan kematian anak bawah umur ketika ritual syaitan di Mercedes, Corrientes pada tahun 2006.” 

Wanita itu telah melarikan diri sejak tahun 2012 dan ditangkap di pinggir bandar Buenos Aires pada 25 September 2019, kata Wilayah Tentera Laut Argentina dalam satu kenyataan. Kenyataan itu menyertakan foto yang sama menunjukkan wanita yang dikongsikan dalam catatan media sosial yang mengelirukan.

Wanita itu dikehendaki kerana membunuh “dengan kekejaman, pengkhianatan, penderaan seksual dan perampasan kebebasan secara tidak sah,” menurut kenyataan itu.

Foto itu diterbitkan bersama dengan laporan sahih oleh agensi berita nasional Argentina, Telam. 

Dakwaan tak benar bahawa foto itu menunjukkan seorang wanita Mexico yang menikam suaminya pada Januari 2021 nampaknya berasal daripada catatan Facebook pada 23 Januari 2021 di laman yang tidak disahkan bernama Policía Municipal.

Apabila dihubungi AFP Factual, Jabatan Keselamatan Awam di Sorona, negeri di Mexico di mana berapa catatan-catatan mendakwa penikaman itu berlaku, menolak kesahihan kisah viral tersebut. “Tidak ada laporan” sebuah kes dengan ciri-ciri yang digambarkan oleh catatan-catatan tersebut, kata mereka.

Terjemahan dan adaptasi