Catatan media sosial tak benar mendakwa WHO nasihati agar tak pakai pelitup muka pada tahun 2021 walaupun pandemik tular
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 17/02/2021 pukul 10:50
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Australia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Tangkapan skrin tersebut dikongsikan di Facebook di sini pada 26 Januari 2021, di mana ia telah dikongsi melebihi 800 kali.
Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, laporan itu bertajuk: “WHO: Anda TIDAK Perlu Memakai Pelitup Muka.”
“Dalam pengakuan yang dibuat pada 22 Januari 2021, Pertubuhan Kesihatan Sedunia sekarang mengatakan bahawa tidak ada alasan perubatan saintifik bagi sesiapa yang sihat untuk memakai pelitup muka di luar sebuah hospital. Malangnya, ahli politik kita yang korup dan media arus perdana hanya mengaitkan berita buruk,” teks itu berbunyi.
“Sekiranya anda tidak mengalami sebarang gejala pernafasan, seperti demam, batuk, atau hidung berair, anda tidak perlu memakai topeng perubatan. Bila digunakan bersendirian, pelitup muka boleh memberi anda perasaan perlindungan yang palsu, bahkan boleh menjadi sumber jangkitan apabila tidak digunakan dengan betul.”
Catatan tersebut memaparkan foto ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Tangkapan skrin itu juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini.
Ia juga dimuat naikkan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris, bahasa Yunani, bahasa Itali, bahasa Jepun dan bahasa Perancis.
Ia juga muncul di Twitter di sini dan sini.
Dakwaan itu tak benar.
Nasihat pelitup muka
Tangkapan skrin dalam catatan yang mengelirukan menunjukkan sebahagian daripada artikel ini di Principia Scientific International, laman web yang telah mempromosikan teori konspirasi mengenai pandemik Covid-19. Artikel itu kemudiannya dikemas kini untuk menjelaskan WHO mengatakan bahawa pemakaian pelitup muka boleh mendatangkan manfaat dalam melambatkan penyebaran koronavirus.
Pada awal pandemik koronavirus, WHO mengesyorkan pekerja kesihatan harus diberi akses keutamaan kepada pelitup muka untuk mengelakkan kekurangan peralatan perlindungan peribadi (PPE).
Ia kemudian mengemas kini nasihatnya pada bulan Jun 2020, dengan mengesyorkan orang ramai untuk memakai topeng muka kain, terutamanya di negara-negara dengan tahap kes Covid-19 yang tinggi dan di tempat-tempat di mana penjarakan fizikal sukar dipatuhi, seperti di dalam pengangkutan awam dan kedai-kedai, lapor AFP di sini.
WHO menggesa individu berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai keadaan kesihatan yang mendasari untuk memakai topeng perubatan di kawasan dengan penjangkitan virus peringkat komuniti.
Ini menandakan perubahan daripada nasihat sebelumnya bahawa topeng perubatan hanya boleh dipakai oleh orang yang mempunyai gejala Covid-19 dan mereka yang merawat orang yang dijangkiti serta pekerja kesihatan yang berurusan dengan orang yang disyaki atau pesakit koronavirus yang disahkan.
Komen-komen sidang media
Dalam sidang media pada 22 Januari 2021, ketua teknikal untuk Covid-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata bahawa pemakaian pelitup muka mesti digabungkan dengan langkah-langkah tambahan demi mengawal penyebaran virus.
“Kami melihat bahawa campur tangan yang ditetapkan berjalan baik tetapi saya harus mengatakan dengan penggunaan topeng, topeng merupakan salah satu aspek pengawalan, satu aspek untuk mengurangkan penyebaran virus ini dan mereka tidak boleh digunakan bersendirian. Kita perlu menegaskannya kerana tidak ada satu penyelesaian yang mencukupi; bukan topeng sahaja, bukan penjarakan fizikal, bukan kebersihan tangan; anda sudah banyak mendengar kami mengatakannya,” kata Van Kerkhove.
Panduan ini disokong oleh nasihat awam WHO tentang topeng, yang juga menyatakan bahawa topeng sahaja tidak mencukupi untuk mencegah penyebaran virus tersebut.
“Topeng harus digunakan sebagai sebahagian daripada strategi komprehensif langkah-langkah untuk menahan penjangkitan dan menyelamatkan nyawa; penggunaan topeng sahaja tidak mencukupi untuk memberikan tahap perlindungan yang memadai terhadap Covid-19,” menurut nasihat itu.
“Sekiranya Covid-19 merebak di komuniti anda, kekal selamat dengan mengambil beberapa langkah pencegahan yang mudah, seperti penjarakan fizikal, memakai topeng, mengekalkan pengudaraan yang baik dalam bilik, mengelakkan orang ramai, membersihkan tangan anda, dan batuk ke arah siku yang dibengkokkan atau tisu.”
Sebelum ini, AFP Fact Check pernah membongkar misinformasi tentang nasihat WHO mengenai topeng, termasuk dokumen tidak sahih dari WHO yang secara palsu mendakwa badan kesihatan global itu tidak mengesyorkan pemakaian topeng semasa pandemik.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami