Video ini menunjukkan kejohanan permainan kad di Arab Saudi

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai catatan media sosial dengan dakwaan video tersebut menunjukkan ramai orang sedang berjudi di Arab Saudi. Dakwaan itu tidak benar. Video tersebut sebenarnya menunjukkan dua kejohanan permainan kad yang diadakan di Riyadh, ibu bandar Arab Saudi, pada tahun 2018 dan 2020.

Video berdurasi satu minit dan lima saat itu dimuat naikkan pada 29 September 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton lebih daripada 820 kali. 

Video itu menunjukkan sekumpulan lelaki berpakaian jubah putih dan serban serta sekelompok wanita berniqab bermain kad. 

Kapsyen catatan itu berbunyi: "Judi sunnah telah di buka di arab saudi."

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 8 November 2021

Video itu telah ditonton lebih daripada 171,000 kali setelah juga beredar dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan di Twitter di sini

Video yang sama juga tersebar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di Facebook, YouTube dan TikTok.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

Video itu sebenarnya adalah dua rakaman yang digabungkan bersama.

Video pertama

Video pertama menunjukkan ratusan lelaki bermain kad.

Carian imej terbalik di Google diikuti oleh carian kata kunci mendapati klip yang sama itu telah dimuat naikkan di Facebook di halaman Life in Saudi Arabia pada 7 April 2018 di sini

Keterangan video itu berbunyi: "Kejohanan Baloot bermula di Riyadh, Arab Saudi.… ”

Permainan kad Baloot amat popular di kalangan belia Teluk Arab, khususnya Arab Saudi, dan adalah serupa dengan Belote, permainan kad yang popular di Perancis.

Video yang sama juga muncul dalam laporan yang diterbitkan oleh surat khabar Pakistan berbahasa Inggeris, The News International, pada 6 April 2018, yang bertajuk: "Arab Saudi menganjurkan kejohanan kad buat pertama kali."

Kejohanan permainan kad Baloot pertama kali berlangsung di Kompleks Pusat Kajian dan Penyelidikan Petroleum King Abdullah di Riyadh, Arab Saudi pada April 2018, seperti yang dilaporkan oleh Saudi Gazette dan Arab News, kedua-duanya surat khabar harian berbahasa Inggeris yang berpusat di negara itu. 

Menurut laporan-laporan tersebut, kejohanan Baloot itu berlangsung dari 4 April 2018 dan hadiah wang tunai mencecah satu juta riyal Saudi (RM 1.03 juta) dianugerahkan kepada empat penamat terbaik. 

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin  video pertama dalam catatan mengelirukan (kiri) dan klip dari catatan Facebook Life in Saudi Arabia (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video pertama dalam catatan mengelirukan (kiri) dan klip dari catatan Facebook Life in Saudi Arabia (kanan)

Video kedua

Video kedua menunjukkan wanita berniqab bermain kad bersama-sama lelaki.

Carian imej terbalik di Google disusuli oleh carian kata kunci ke atas klip kedua mendapati video asalnya di sini di halaman YouTube yang disahkan Al Ekhbariya TV, saluran berita satelit TV Arab Saudi, pada 15 Februari 2020. 

 

Tajuk video berbahasa Arab ini diterjemahkan sebagai: "Para wanita hadir dalam kejohanan permainan Baloot."

Suara latar dalam klip itu menjelaskan bahawa Baloot ialah permainan kad yang popular di rantau Teluk Arab dan ini menandakan kali pertama para wanita telah menyertai kejohanan sedemikian. 

Kejohanan Baloot tersebut bermula dari 13 hingga 20 Februari 2020 dan diadakan di pusat beli-belah Riyadh Front, menurut Pihak Berkuasa Hiburan Am Arab Saudi di sini

Saudi Gazette menerbitkan laporan ini mengenai kejohanan itu pada 17 Februari 2020, bertajuk: "Keghairahan mencengkam kejuaraan Baloot ketika wanita berhadapan dengan lelaki buat kali pertama". 

Kejohanan itu memberikan hadiah wang berjumlah dua juta riyal (RM 2.2 juta) Saudi kepada para pemenang, menurut laman web rasminya di sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video kedua dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Al Ekhbariya TV (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video kedua dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video Al Ekhbariya TV (kanan)

Judi dilarang di Arab Saudi, di mana perlembagaannya adalah berdasarkan Al-Quran. 

Sebelum ini, AFP pernah membongkar dakwaan tak benar berdasarkan video kedua dalam catatan yang mengelirukan bahawa video itu menunjukkan kasino di Arab Saudi.