Kakitangan perubatan bergambar dengan plakad selepas menerima vaksin Covid-19 Pfizer/BioNTech di Hospital UiTM di Sungai Buloh pada 2 Mac 2021. ( AFP / Mohd Rasfan)

Pakar kardiologi AS membuat dakwaan mengelirukan tentang usaha vaksinasi Covid-19 di Malaysia

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Isnin 15/11/2021 pukul 12:03
  • Dikemas kini pada hari Isnin 15/11/2021 pukul 12:19
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu video yang telah dikongsi berulang kali di media sosial menunjukkan Dr Peter McCullough, pakar kardiologi dari Amerika Syarikat (AS), menggesa Malaysia untuk memansuhkan program vaksinasinya terhadap Covid-19 kerana vaksin-vaksin tersebut kononnya tidak selamat dan mencipta mutasi virus. Dakwaan itu — kebanyakannya telah dibongkar oleh AFP — adalah mengelirukan, menurut para pakar.

Video berdurasi sembilan minit dan lapan saat itu telah dimuat naikkan pada 23 September 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton lebih daripada 5,100 kali.

Video itu menunjukkan Dr Peter McCullough, seorang pakar kardiologi dari AS yang sebelum ini pernah didedah kerana mempromosikan maklumat tidak sahih tentang virus — bercakap kepada kamera tentang pandemik Covid-19 dan vaksin-vaksin yang berkaitan dengannya.

"Jadi, saya betul-betul percaya bahawa Malaysia harus menghentikan program pemvaksinan mereka seperti yang kita cakap," beliau membuat kesimpulan dalam videonya.

Kapsyennya menyatakan: "Dr. Peter McCullough MD. Doctor of Internal Medicine and Board-Certified Cardiologist.

"PESANAN DAN NASIHAT BELIAU UNTUK RAKYAT MALAYSIA."

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook mengelirukan, diambil pada 11 November 2021

Rakaman video itu telah ditonton lebih daripada 8,100 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.

Video yang sama telah beredar di aplikasi pemesejan Telegram di Singapura dan Malaysia.

Video itu turut dikongsikan di Facebook dengan dakwaan dalam bahasa Cina di sini dan dalam bahasa Inggeris sini; juga di Twitter, YouTube, BitChute, serta forum tempatan Lowyat.NET.

Walau bagaimanapun, dakwaan-dakwaan dalam video itu mengelirukan, termasuk tuntutan bahawa pesakit Covid di bawah umur 50 tahun tidak memerlukan rawatan, pesakit yang sudah pulih mempunyai "risiko yang boleh diabaikan" untuk dijangkiti Covid-19 semula, dan virus tersebut tidak merebak tanpa gejala.

Sehingga 14 November 2021, KKM mencatatkan lebih daripada 29,600 kematian akibat penyakit Covid-19.

Malaysia telah meluluskan tujuh vaksin Covid-19: Moderna, Pfizer/BioNTech, Johnson & Johnson (J&J), AstraZeneca, Sinovac, Sinopharm and CanSino.

Sehingga 14 November 2021, lebih daripada 25.6 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Para saintis secara meluas mengkreditkan vaksin Covid-19 dengan ketara mengurangkan kemungkinan penyakit serius atau kematian akibat penyakit itu.

Varian dan mutasi virus

AFP pernah membongkar dakwaan bahawa vaksin-vaksin mencipta mutasi virus dalam laporan ini.

Varian Covid-19 muncul pada Disember 2020, sebelum ketersediaan vaksin-vaksin secara meluas.

Scott Halperin, pengarah Pusat Vaksinologi Kanada, memberitahu AFP: "Jika kita mencapai tahap imuniti populasi yang tinggi dengan cepat melalui vaksinasi, risiko kemunculan varian berkurangan kerana bilangan individu yang mudah rentan tidak mencukupi untuk meneruskan pembiakan virus dan penyebaran melalui masyarakat."

'Protein spike'

Dakwaan yang mengelirukan bahawa pemvaksinan menyebabkan 'protein spike' beredar di dalam badan — kadang-kadang mengakibatkan kematian — sebelum ini disebarkan oleh pakar derma-patologi AS Ryan Cole.

AFP membongkar dakwaan itu di sini.

"Protein [spike] tidak 'beredar' di dalam badan," kata Dr Oliver Stojkovic, seorang pakar genetik dan profesor di Fakulti Perubatan Universiti Belgrade, sambil menambah bahawa "sejumlah kecil protein ini boleh didapati (dalam beberapa hari pertama) dalam darah, tetapi ia akan dipecahkan dengan melalui hati dan disingkirkan melalui buah pinggang melalui air kencing."

Milos Babic, ahli biologi molekul, ahli neurobiologi dan pengarah penyelidikan di BioSpyder Technologies di AS, memberitahu AFP bahawa protein spike "tidak boleh menyebabkan masalah-masalah yang disebabkan oleh Covid, tidak sama langsung".

Dakwaan yang sudah disangkal

McCullough juga mengulangi satu lagi dakwaan yang sudah dibongkar mengenai jangkitan virus yang dibuatnya dalam testimoni ini kepada senat negeri Texas di AS.

Beliau mendakwa virus itu tidak merebak daripada orang yang sudah dijangkiti tetapi tidak menunjukkan gejala dan berkata dalam video mengelirukan terbaru ini: "Sebaik sahaja seseorang individu pulih daripada Covid-19, mereka mempunyai imuniti yang teguh, lengkap dan tahan lama dengan risiko yang boleh diabaikan untuk mendapat Covid-19 lagi."

Beliau juga mengatakan: “Kita tidak perlu merawat semua orang tetapi orang yang berisiko tinggi berumur lebih 50 tahun dengan masalah perubatan harus menerima rawatan awal untuk mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian”.

Dakwaan-dakwaan ini juga tak benar.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa orang yang dijangkiti tanpa gejala masih boleh menyebarkan virus itu.

"Sama ada mereka mempunyai gejala atau tidak, orang yang dijangkiti boleh berjangkit dan virus itu boleh merebak daripada mereka kepada orang lain," menurut laman web WHO di sini.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS menyatakan di laman webnya bahawa risiko penyakit teruk akibat virus meningkat dengan usia tetapi orang yang lebih muda masih perlu diberi vaksin untuk melindungi diri mereka dan orang lain daripada penyakit yang lebih serius.

Olivier Schwartz, ketua Unit Virus dan Keimunan di Institut Pasteur di Perancis, memberitahu AFP: "Jelas sekali bahawa orang di bawah umur 50 tahun yang berada dalam keadaan sihat perlu diberi vaksin."

AFP telah membongkar dakwaan-dakwaan serupa mengenai vaksinasi yang dipromosikan oleh profesional perubatan dari AS, Kanada dan Belgium.

Risiko vaksin

McCullough membuat satu kenyataan yang sahih bahawa Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS mengeluarkan amaran di sini pada 25 Jun 2021, bahawa vaksin-vaksin mRNA, buatan Pfizer/BioNTech dan Moderna, mungkin "meningkatkan risiko miokarditis (keradangan pada otot jantung)".

Walau bagaimanapun, beliau tidak memberitahu tentang penemuan penyelidikan yang mendapati bahawa miokarditis selepas vaksinasi jarang berlaku dan biasanya ringan, dan miokarditis lebih kerap berlaku selepas jangkitan Covid-19 berbanding selepas vaksinasi.

Pesakit dengan jangkitan Covid-19 mempunyai hampir 16 kali ganda risiko untuk miokarditis berbanding pesakit yang tidak mempunyai Covid-19, seperti yang dijelaskan dalam laporan CDC ini.

McCullough juga menyatakan dengan betul bahawa FDA memberi amaran di sini pada 13 April 2021 tentang kemungkinan pembekuan darah yang timbul akibat vaksin J&J.

Namum begitu, beliau tidak menyebut bahawa, seperti yang dilaporkan di sini dan sini, pembekuan darah adalah "kesan sampingan yang sangat jarang berlaku" akibat vaksin tetapi merupakan komplikasi jangkitan Covid-19 yang sering berlaku.

CDC telah membuat kesimpulan bahawa "manfaat vaksinasi Covid-19 melebihi risiko yang diketahui dan berpotensi."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami