Imej ini dibuat secara digital untuk tujuan perwakilan

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah gambar yang nampaknya menunjukkan pasport Mesir untuk mumia kuno firaun Ramses II telah dikongsikan puluhan ribu kali di pelbagai catatan Facebook, Twitter dan Instagram bersama-sama dakwaan pasport tersebut dikeluarkan supaya mumia itu boleh diangkut ke Perancis untuk rawatan pemeliharaan pada tahun 1979. Dakwaan itu tak benar. Foto itu dibuat secara digital untuk tujuan perwakilan dan diterbitkan di sebuah blog arkeologi. 

Gambar tersebut diterbitkan di sini di Facebook pada 22 Julai 2020 dan telah dikongsikan kira-kira 90 kali.  

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 10 November 2020

Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Ini merupakan pasport Firaun Ramses II iaitu antara firaun paling lama memerintah Mesir dari tahun 1213-1279 Sebelum Masihi. Pada tahun 1975, seorang doktor Perancis, Maurice Bucaille mendapati mumia Ramses II telah mula mereput dan perlu dibuat pemulihan serta perlu diterbangkan ke Perancis. Tetapi, undang-undang Perancis memerlukan mana-mana individu sama ada hidup atau mati perlu memiliki pasport sebelum memasuki Perancis dan tidak terkecuali mumia Ramses II. Passportnya dikeluarkan oleh Imigresen Mesir dan berangkat dari Mesir ke Perancis bagi pemulihan.”

Ramses II ialah firaun ketiga Dinasti Mesir ke-19 yang memerintah kerajaan kuno tersebut untuk sebahagian besar abad ke-13 SM. 

Gambar yang sama juga diterbitkan di Facebook di sini, sini dan sini; di Twitter di sini; dan di Instagram di sini dengan dakwaan yang sama.

Gambar tersebut telah dikongsikan puluhan ribu kali setelah muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis

Versi yang berlainan imej tersebut juga diterbitkan dalam bahasa Inggeris di sini dan dalam bahasa Arab di sini.

Dakwaan tersebut tak benar. 

Dalam pemeriksaan teliti gambar itu, jelas kelihatan teks yang dijumpai di bawah kod bar yang menyatakan: “HERITAGEDAILY.COM”.

Tangkapan skrin imej dalam catatan Facebook yang mengelirukan dengan tauliahnya dibulatkan dalam merah oleh AFP

Carian kata kunci di Google menjumpai imej yang sama diterbitkan di sini di Heritage Daily, sebuah blog yang memfokuskan kepada arkeologi, antropologi, palaeoanthropologi dan palaeontologi pada 25 Mac 2020. Artikel itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berjudul: “Pasport Ramses II”.

Tangkapan skrin imej dari catatan blog itu, diambil pada 16 Oktober 2020

Kapsyennya menyatakan: “Kredit Imej - HeritageDaily - Penciptaan pasport oleh artis - Gambar digunakan untuk tujuan perwakilan - Pasport sebenar tidak tersedia untuk umum.”

Di bawah adalah perbandingan antara tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar yang diterbitkan di Heritage Daily (kanan):

Perbandingan antara tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar yang diterbitkan di Heritage Daily (kanan)

Pemilik blog Marcus Milligan memberitahu AFP pada 12 Oktober 2020 bahawa dia membuat ilustrasi tersebut pada tahun 2018 dan menerbitkannya lagi pada tahun 2020 kerana kehilangan data.

Pemindahan mumia Ramses II dari Mesir ke Perancis dilaporkan oleh saluran TV Perancis, Antenne 2 pada 26 September 1976 dan surat khabar Amerika Syarikat, The New York Times pada 28 September 1976.

Mumia itu dipindahkan ke Paris untuk rawatan penyakit misteri yang berkaitan dengan jangkitan kulat. Setibanya di sana, Garde Republicaine, pengawal kehormat Marin Perancis, menyampaikan penghormatan ketenteraan kepada bekas raja tersebut, menurut laporan The New York Times.

Valéry Giscard d'Estaing, presiden Republik Perancis antara tahun 1974 dan 1981, menjelaskan bahawa dia meyakinkan pemimpin Mesir ketika itu, Anwar al-Sadat, untuk memindahkan mumia dengan menjanjikan kepadanya bahawa mendiang firaun akan dilayan “seperti seorang raja”, seperti yang didokumentasikan dalam Ramses II: The Great Journey, sebuah dokumentari yang disiarkan pada tahun 2011.

Antara Antenne 2, The New York Times mahupun dokumentari itu, tiada yang melaporkan tentang sebarang pasport yang dikeluarkan untuk mumia Ramses II.

Élisabeth David, pegawai kajian dokumentari di Jabatan Antikuiti Mesir di Muzium Louvre, memberitahu AFP pada 12 Oktober 2020 bahawa dakwaan mengenai kewujudan pasport tidak mempunyai asas.

Dia menjelaskan bahawa kekeliruan itu mungkin disebabkan oleh laporan yang diterbitkan oleh Muzium Nasional Sejarah Alam pada tahun 1985, di mana ahli arkeologi Christiane Desroches-Noblecourt menyatakan bahawa ia diharuskan untuk mendapatkan “pasport” untuk membawa mumia Ramses II keluar dari Mesir.

“Sudah tentu kerajaan Perancis tidak meminta raja yang telah meninggal dunia untuk menunjukkan pasport, istilah ini [sebaliknya] menunjukkan kerumitan yang melampau organisasi ini,” katanya kepada AFP.

Tangkapan skrin laporan Muzium Nasional Sejarah Alam pada tahun 1985 dengan perkataan “pasport” dibulatkan dalam merah oleh AFP

Mathieu Touzeil-Divina, profesor undang-undang awam di Toulouse 1 University Capitole di Perancis, juga memberitahu AFP pada 13 Oktober 2020: “Tidak ada pasport wajib dalam undang-undang Perancis untuk orang yang tidak hidup.”

“Sekiranya berlaku pemindahan, mumia dianggap di bawah undang-undang harta klasik. Oleh itu, istilah 'pasport' adalah palsu, tetapi memang benar bahawa beberapa barang antik memerlukan kebenaran untuk dipindahkan ke luar negara,” jelasnya.

Mumia diklasifikasikan sebagai “objek” oleh Mahkamah Keadilan Eropah, menurut keputusan ini bertarikh 10 Oktober 1985.

“Sebelum tahun 2000-an, mumia secara umumnya dianggap sebagai objek, walaupun tidak ada undang-undang khusus mengenai hal ini,” kata Laure Cadot, penulis dan pakar pemuliharaan pencegahan, dalam satu wawancara dengan AFP pada 13 Oktober 2020.