Klip ini sebenarnya menunjukkan imejan janaan komputer dari permainan video

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ratusan ribu kali di pelbagai catatan di Facebook, Twitter dan YouTube dengan dakwaan ia menunjukkan sebuah pesawat pejuang Azerbaijan yang dijatuhkan oleh serangan Armenia semasa pertempuran berterusan di wilayah pemisah Azerbaijan, Nagorny-Karabakh. Dakwaan itu tak benar. Klip itu sebenarnya menunjukkan imejan janaan komputer dari permainan video berunsur perang, ARMA3.

Video berdurasi dua minit dan 11 saat itu telah dimuat naikkan pada 9 Oktober 2020 di catatan Facebook ini, di mana ia telah ditonton lebih dari 500,000 kali.  

Di bawah adalah tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 20 Oktober 2020

Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Sebuah Frogfoot Azerbaijan SU-25 ditembak jatuh oleh orang Armenia, menggunakan sistem senjata ‘Shilka’. Di Nagorno-Karabakh, juruterbang Azerbaijan melakukan lebih dari satu manuver untuk menyerang pertahanan darat pasukan pertahanan udara Armenia yangmana perang sengit sedang berlangsung.”

Nagorno-Karabakh adalah wilayah yang dipertikaikan di Kaukasus Selatan, diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Azerbaijan. Pada 27 September 2020, pertempuran baru meletus antara Azerbaijan dan Armenia untuk wilayah itu, mengakibatkan pertempuran paling berat sejak perang pada 1990-an yang mengorbankan sekitar 30,000 orang. Menurut laporan AFP bertarikh 14 Oktober 2020 ini, penembakan terus berlanjutan walaupun gencatan senjata dimeterai dan ratusan telah terbunuh serta ribuan orang kehilangan tempat tinggal dalam pertempuran tersebut.

Video tersebut juga dikongsikan di Facebook di sini dan sini dengan dakwaan serupa dalam bahasa Cina.

Ia telah ditonton lebih dari 5,700 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Facebook, di Twitter, dan di YouTube.

Dakwaan itu tak benar.

Carian imej terbalik di Google menggunakan keyframes yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital, InVID-WeVerify, mendapati versi video yang lebih panjang disiarkan di sini di YouTube pada 22 Ogos 2020.

Diterjemah dari bahasa Jepun ke bahasa Malaysia, keterangan video itu menyatakan: “A-10 Thunderbolt Warthog Thunderbolt CRAM CIWS (sistem senjata rapat) ARMA3 ARMA3”. 

ARMA3 ialah permainan video bertema peperangan yang dikeluarkan oleh pembangun permainan video yang berpangkalan di Czech, Bohemia Interactive pada tahun 2013. 

Pemeriksaan yang lebih dekat ke atas saluran YouTube itu juga mendedahkan bahawa ia telah memuat naik beberapa video laindengan adegan-adegan dari ARMA3, seperti di sini dan sini

Di bawah adalah perbandingan antara tangkapan skrin video di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan):

Perbandingan antara tangkapan skrin video di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan)

Video-video serupa yang dibuat menggunakan ARMA3 juga telah beredar dalam talian dengan dakwaan yang mengelirukan bahawa ia menunjukkan serangan peluru berpandu Iran di Iraq. AFP membongkar dakwaan tersebut di sini pada Januari 2020.