Kedua-dua lelaki dalam video viral bukan bos Volvo, kata syarikat itu

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ratusan ribu kali di media sosial bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan ketua eksekutif Volvo dilanggar oleh kereta brek sendiri. Dakwaan itu mengelirukan; walaupun video tersebut menunjukkan suatu kejadian yang benar-benar berlaku pada tahun 2015, di mana sebuah kereta merempuh kakitangan di sebuah pengedar kereta di Republik Dominika; lelaki yang dilanggar itu bukan ketua pegawai eksekutif Volvo. Syarikat automotif itu memberitahu AFP bahawa kereta itu tidak dilengkapi dengan sistem pengesanan pejalan kaki.

Video itu disiarkan pada 22 Mac 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton lebih daripada 310,000 kali dan dikongsi melebihi 12,000 kali. 

Video tersebut menunjukkan orang ramai berhimpunan untuk menyaksikan sebuah kereta yang pada mulanya berundur. Tiba-tiba, kereta itu bergerak laju dan melonjak ke hadapan, merempuh seorang lelaki berpakaian kemeja berwarna merah jambu.

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 2 April 2021

Kapsyennya menyatakan: “Volvo lancarkan Sistem Brek Automatik baru yg akan berhenti dgn sendiri kalau ada halangan didepan.. Paling sempoi CEO company sendiri yg buat percubaan ni..” 

Video tersebut telah tersebar secara meluas di media sosial, dengan sesetengah catatan, seperti ini, mendakwa ia menunjukkan pengarah urusan Volvo dilanggar oleh kereta yang kelihatannya tidak terkawal, dan akibatnya dia telah menjadi lumpuh.

Video itu juga telah dikongsikan bersama dakwaan yang serupa dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris di sini dan sini di Facebook, di sini dan sini di Twitter, di sini di Instagram, dan di sini di YouTube.

Dakwaan itu mengelirukan. 

Apabila dihubungi AFP, Volvo Malaysia mengatakan pada 1 April 2021 bahawa video tersebut menunjukkan kejadian yang benar-benar berlaku dan melibatkan sebuah kereta yang tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan untuk mengesan pejalan kaki.

Walaupun identiti mangsa-mangsa kemalangan itu tidak diketahui, Volvo menyatakan bahawa mereka bukan bos syarikat. 

“Bertentangan dengan judul video itu, kedua-dua lelaki itu baik-baik sahaja dan tiada sesiapa yang lumpuh mahupun merupakan Pengarah Urusan Volvo Cars,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

“Kami ingin mengulangi bahawa dalam insiden yang digambarkan, XC60 tersebut dilengkapi dengan ‘City Safety’, namun, ia tidak mempunyai fungsi Pengesanan Pejalan Kaki – ini dijual sebagai pakej berasingan dan diperlukan untuk mengurangkan atau mengelakkan kereta itu merempuh kedua-dua lelaki itu.

“Walaupun kereta itu dilengkapi dengan ciri ini, pemecutan berat pemandu boleh menyebabkan sistem tersebut terbatal dan dinyahaktifkan; teknologi brek automatik (mitigasi dan penghindaran) kami sangat maju dan dalam situasi di mana kereta itu mengesan bahawa pemandu bermaksud untuk melakukan sesuatu tindakan dengan sengaja, ia akan menyahaktifkan dirinya.” 

Volvo berkata ciri “City Safety” adalah aktif pada kelajuan sehingga 50 kilometer per jam.

“Volvo Car Malaysia menasihati agar pengedar, rakan kongsi dan pelanggannya tidak melakukan ujian terhadap manusia sebenar,” sambung pernyataan itu.

Carian imej terbalik di Google menggunakan keyframes yang diekstrak dengan alat pengesahan digital InVID-WeVerify, menjumpai laporan video ini, bertajuk “Volvo merempuh pejalan kaki semasa demo keselamatan,” daripada saluran berita Amerika Syarikat, CNN pada 28 Mei 2015.

“Ini adalah bagaimana untuk tidak melatih kakitangan pengedar kereta anda mengenai sistem keselamatan yang bertujuan untuk melindungi pejalan kaki,” kata wartawan dalam laporan itu. “Tidak mengapa, tiada sesiapa yang cedera teruk. Tiada seorang pun yang pergi ke hospital.

 “Berita buruknya adalah bahawa kereta itu sebenarnya tidak dilengkapi dengan sistem pengesanan pejalan kaki.”

Video CNN tersebut telah mengiktirafkan bahawa klip itu berasal daripada laman web berita Republik Dominika, Remolacha. Carian kata kunci lebih lanjut di Google mendapati bahawa video tersebut pada asalnya dimuat naik di saluran YouTube milik Remolacha pada 19 May 2015, tetapi video itu tidak lagi tersedia di saluran YouTubenya.

Berikutnya perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) and video CNN (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) and video CNN (kanan)

AFP juga menemui lokasi pengedar Volvo itu di sini, di Santo Domingo, pusat Republik Dominika.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar pengedar Volvo dari Google (kanan), dengan ciri-ciri bangunan yang sama dibulatkan dalam warna merah oleh AFP: 

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar pengedar Volvo dari Google (kanan)