Seorang wanita yang memakai topeng muka melintasi sekatan jalan raya yang dikendalikan oleh tentera di pintu masuk ke Pasar Chow Kit di Kuala Lumpur, yang kini di bawah perintah berkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang mengehadkan aktiviti orang ramai di Malaysia sebagai langkah pencegahan terhadap penyebaran Covid-19, pada 6 Mei 2020. (AFP / Mohd Rasfan)

Benang hitam dalam pelitup muka adalah serat tekstil yang tidak berbahaya, kata para saintis

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai  video yang menunjukkan syot dekat pelitup muka telah dikongsikan dalam talian bersama-sama dakwaan bahawa benang hitam dalam topeng adalah “cacing” atau “parasit”. Dakwaan itu tak benar, menurut para saintis yang memberitahu AFP bahawa bebenang tersebut adalah serat yang tidak berbahaya.

Video ini disiarkan pada 8 April 2021 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton sekitar 69,000 kali. 

Tangkapan skrin hantaran Facebook yang mengelirukan, diambil pada 12 April 2021

Ia menunjukkan seorang lelaki yang meletakkan sekeping topeng muka di atas semangkuk air kukus dan kemudiannya mengezum dekat ke fabrik untuk memberi tumpuan pada benang hitam yang sangat halus pada topeng itu. Seorang lelaki dalam video boleh kedengaran bercakap dalam bahasa Turki: “Datang sini! Cepat! Tengok bagaimana ia bergerak! Saya sumpah, ia bergerak. Jangan guna topeng muka, kawan-kawan. Yang ini juga semakin membesar. Tuhan je tahu berapa banyak dalam topeng muka.”

Keterangan catatan Facebook berbahasa Malaysia menyatakan: “Diorang buat kajian, ada cacing halus dalam mask dari cina😱”.

Teks berbahasa Arab yang kelihatan pada awal video itu menyatakan: “Orang Turki menemui cacing halus yang tumbuh pada sesetengah topeng yang diimport dari China.”  

Video itu juga dimuat naikkan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, sini dan sini; di YouTube di sini; dan di TikTok di sini

Klip yang berbeza juga telah beredar dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris, bahasa Serbia, bahasa Jerman, bahasa Yunani, bahasa Czech dan bahasa Bulgaria mengenai cacing, parasit atau organisma hidup yang dijumpai dalam topeng. 

Walau bagaimanapun, dakwaan-dakwaan ini tak benar. 

Serat tidak berbahaya

Jana Nebesarova, penolong profesor di makmal mikroskopi elektron di Pusat Biologi Akademi Sains Czech, memberitahu AFP pada 31 Mac 2021: “Kemungkinan besar mereka adalah kepingan fabrik. Udara penuh dengan serpihan kain ini yang melayang bebas bersama debunga, kulat, bahagian sel mati dari kulit kita, bahagian mikroskopik bumi dan lain-lain.”  

“Topeng atau ujian (swab untuk Covid-19) berkemungkinan mengandungi bebenang yang muncul di situ akibat daripada proses semasa pembuatannya atau semasa pengendaliannya sebelum saat mereka akan digunakan. Walau apa pun, mereka tidak berbahaya terhadap orang yang sihat; ini adalah benda yang kita hirup setiap hari dan epitelium bersilium kita, yang melapisi sistem pernafasan kita, tahu bagaimana untuk menangani zarah mikroskopik asing ini dengan sangat baik," tambahnya.” 

Jeffrey Marlow, penolong profesor biologi di Boston University, juga menjalankan eksperimen dan hanya menemui "urat" pada topeng baru. 

“Ketika saya mengeluarkan topeng baru dari beg dan memperhatikannya di bawah mikroskop tegak Nikon pada 80x, saya nampak rangkaian urat yang jelas dan lut cahaya. Kira-kira sekali atau dua kali setiap sentimeter persegi, terdapat urat yang lebih gelap yang pendek dan sering kali mengerekot. Sepanjang pemerhatian saya selama kira-kira 10 minit di dalam makmal, tidak ada satu urat dalam topeng bergerak,” katanya kepada AFP dalam e-mel pada 5 April 2021.

Christian Scharlach, jurucakap pengilang Jerman D/Maske, memberitahu AFP dalam e-mel pada 7 April 2021, bahawa “topeng-topeng tersebut itu dicas secara elektrostatik”, membolehkannya memerangkap virus kecil serta benda asing seperti serat semasa pembungkusan. 

Marina Jovanovic, seorang pakar dalam sains biologi dan sekutu penyelidikan di Institut Kimia Am dan Fizikal di Belgrade, menekankan keadaan semasa “eksperimen” dijalankan.

“Apabila anda memakai topeng, ketika anda menyentuhnya, anda membawa pelbagai serpihan ... berbagai-bagai benda asing,” katanya kepada AFP pada 6 April 2021. “Apa yang kami lihat pada topeng itu adalah serpihan, bukan parasit atau apa pun yang masih hidup.”  

 

Pergerakan kecil

Para saintis berkata bahawa serat dalam topeng boleh bergerak, sama ada disebabkan oleh elektrik statik atau kerana “serat aerosol” yang sangat ringan sehingga dibawa oleh arus udara yang biasanya tidak dirasai oleh manusia. 

“Ketika anda cuba menangkap objek di dalam kolam, ia menjauhi anda kerana anda telah membuat gelombang dengan tangan anda. Begitu juga, apabila anda menghampiri benang dengan hujung sepasang penyepit kecil, anda membuat gelombang di dalam titisan air dan benang itu bergerak. Namun, itu sama sekali tidak membuktikan bahawa zarah itu hidup ataupun mampu bergerak sendiri,” kata Nebesarova.

Terjemahan dan adaptasi
COVID-19