Swab 'positif' dan 'negatif' di dalam kit ujian Covid-19 hanya untuk kawalan kualiti, kata para pakar

Gambar komponen kit ujian Covid-19 telah dikongsikan dalam beberapa catatan di Facebook bersama-sama dakwaan bahawa swab kawalan “positif” dan “negatif” adalah bukti bahawa keputusan ujian “ditetapkan” terlebih dahulu. Dakwaan itu tak benar: swab di dalam gambar digunakan untuk kawalan kualiti, dan tidak boleh digunakan pada orang, kata pakar. 

Gambar itu diterbitkan pada 12 April 2021 di sini di Facebook. 

Gambar tersebut menunjukkan dua pakej ujian antigen SARS-CoV-2 yang berbeza dari ACON Laboratories, sebuah syarikat peralatan perubatan yang berpusat di Amerika Syarikat (AS). 

Satu pakej berlabel “Positive Control Swab” atau “Swab Kawalan Positif” dan yang satu lagi berlabel “Negative Control Swab” atau “Swab Kawalan Negatif”.

Di bahagian bawah gambar, teks bertindih menyatakan: “Gambar diambil secara rahsia oleh seorang jururawat yang sedang bekerja giliran.”

Kapsyen catatan itu berbunyi: “Hahahaha... aku dah agak dah... tiiipuuuu semuanya?, aku shor lain kali kita lihat betol2 dulu test kit dia ni…

“Assalamualaikum dunia tipu² bohong...
Ni adalah cara terbaik untuk pastikan swab test anda negatif... Kawtim ngan pegawai swab test, dapat rasuah diorang lagi bagus... 

“Pastu suruh test pakai Negative Control Swab (sila perhati gambarajah di bawah)...
Xpun xpayah swab test langsung... 
Selamat mencuba”.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 20 April 2021

Gambar itu juga diterbitkan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini.

Gambar yang sama telah dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa lain, seperti bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Hungary dan bahasa Perancis.

Satu lagi foto lain, yang menunjukkan komponen kit ujian pantas antigen Covid-19 Panbio, dari syarikat peralatan perubatan AS Abbott, muncul dalam pelbagai catatan lain dengan dakwaan yang serupa, seperti ini dalam bahasa Inggeris dan ini dalam bahasa Malaysia.

Dakwaan itu tak benar. 

Swab kawalan positif dan negatif adalah sebahagian standard kit ujian antigen Covid-19, yang berfungsi sebagai kawalan kualiti untuk memeriksa fungsi kit ujian. 

Acon Laboratories menjual pelbagai jenis ujian untuk Sars-Cov-2, termasuk “Flowflex™ SARS-CoV-2 Antigen Rapid Test”. Dokumentasi untuk kit ujian ini menunjukkan bahawa pengilang tersebut membekalkan “swab kawalan negatif” dan “swab kawalan positif” dalam setiap kit. 

“Swab kawalan ini harus digunakan untuk memastikan bahawa kaset ujian dan prosedur ujian dilakukan dengan betul,” menurut risalah arahan.  

Berikut adalah tangkapan skrin risalah arahan Acon: 

Image
Tangkapan skrin risalah arahan Acon

“Para pengilang menawarkan kawalan positif dan negatif untuk memeriksa sama ada teknologi itu berfungsi. Sekiranya teknologi itu berfungsi dengan baik, kawalan positif harus memberikan hasil positif dan kawalan negatif menjadi hasil negatif,” kata Liliane Grangeot-Keros, ahli virologi dan setiausaha tetap Akademi Farmasi Kebangsaan Perancis. 

Alesia Scott, jurucakap Abbott, memberitahu AFP: “Panbio adalah ujian yang sangat berkesan dan selamat. Setiap kit ujian dilengkapi dengan swab kawalan positif dan negatif untuk memastikan ujian tersebut berfungsi dengan betul. Swab kawalan ini tidak digunakan sebagai sebahagian daripada ujian pesakit. Ini adalah standard untuk kebanyakan ujian diagnostik pantas di seluruh dunia.” 

"Swab kawalan positif mengandungi protein nukleokapsid SARS-CoV-2 rekombinan (diubah di dalam makmal), yang tidak berjangkit. Ini ditunjukkan dengan jelas pada arahan penggunaan untuk ujian tersebut. Simbol tersebut bermaksud bahawa produk itu mengandungi sesuatu komponen biologi dan dikehendaki untuk tujuan kawal selia. Ini tidak bermaksud bahawa swab kawalan positif Panbio mengandungi bahan berjangkit atau boleh menjangkitkan penyakit.”

Risalah arahan Panbio menetapkan bahawa swab kawalan positif dan negatif hanya untuk “penggunaan kawalan sahaja. Jangan gunakan swab kawalan positif atau negatif untuk pengumpulan spesimen”. 

Berikut adalah tangkapan skrin risalah arahan Abbott:

Image
Tangkapan skrin risalah arahan Abbott

 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami