Kementerian Pertahanan Malaysia berkata gambar-gambar ini menunjukkan mayat seorang wanita, bukan mayat dua orang anggota tentera Malaysia yang hilang

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Dua gambar telah dikongsi di beberapa pos Facebook di mana mereka mendakwa menunjukkan mayat dua anggota tentera yang telah hilang sejak 19 Julai 2019. Dakwaan ini tidak benar. Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menyatakan bahawa gambar-gambar itu menunjukkan seorang wanita. Menurut pihak berkuasa, kedua-dua anggota tentera masih hilang dan usaha pencarian telah ditangguhkan.

Gambar-gambar telah diterbitkan di sini oleh sebuah laman Facebook yang mempunyai lebih daripada 47,000 pengikut pada 25 Julai 2019.

Pos telah dikongsikan lebih daripada 850 kali.

Kapsyennya menyatakan: “2 Anggota Tentera RRD yg hilang di Pulau Perak mggu lepas telah dijumpai........kedua2nya meningal dunia..alfatihah.” 

Berikutnya adalah tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan itu

RRD” merujuk kepada Rejimen Renjer Diraja, salah satu pasukan tempur infantri di dalam Tentera Darat Malaysia.

Gambar-gambar itu telah diterbitkan selepas dua anggota tentera telah dilaporkan hilang pada 19 Julai 2019.

AFP telah diberitahu pada 6 Ogos 2019 dalam temubual telefon oleh Komander Maritim Shahrizan Raman bahawa pencarian telah diberhentikan selepas tiga hari mengikut “standard operating procedure”, dan ditangguhkan sehingga maklumat baru timbul. “Tidak ada petanda sama ada (mereka) hilang di laut atau pulau,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Foto yang sama diterbitkan di pos Facebook ini dengan dakwaan yang sama.

Dakwaan itu tidak benar. Kementerian Pertahanan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan di sini di laman Facebook rasminya pada 25 Julai 2019 bahawa gambar-gambar itu tidak menunjukkan mayat anggota tentera yang hilang. 

Di bawah adalah tangkapan skrin kenyataan itu:

Tangkapan skrin kenyataan MINDEF

Kenyataan tersebut menyatakan: “Penafian Gambar Tular Penemuan Anggota Tentera Darat Di Pulau Perak.

“Kementerian Pertahanan ingin MENAFIKAN gambar yang tular di media sosial hari ini yang mendakwa kedua-kedua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang hilang ketika bertugas dalam Operasi PEJARAK (Op PEJARAK) di Pulau Perak, telah ditemui petang semalam.

“Gambar Bot TLDM yang ditularkan itu sebenarnya adalah bot milik Kapal Layar Diraja (KLD) TUNAS SAMUDERA yang telah menemukan mayat seorang wanita ketika belayar melalui utara Perairan Selat Melaka pada 23 Julai 2019. Mayat berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Tanjung Tokong dan dibedah siasat di Hospital Pulau Pinang.

“Kementerian Pertahanan ingin menjelaskan bahawa operasi pencarian kedua-dua anggota yang disedari hilang sejak 19 Julai lalu masih dilaksanakan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kapal Diraja (KD) LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN telah diaturgerak dalam operasi pencarian yang bermula pada 20 Julai lalu tertumpu di kawasan pulau dan perairan persekitaran.

“Justeru, semua pihak diharap berhenti dan tidak menyebarkan sebarang laporan atau maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan menghormati ahli keluarga mangsa terlibat.” 

Suratkhabar tempatan Berita Harian telah menerbitkan repot ini mengenai foto berkenaan pada 25 Julai 2019.

Tajuk repotnya: “Kementerian Pertahanan nafi berita 2 anggota RRD hilang ditemui.” 

Repot itu telah menggunakan foto yang sama dengan imej di dalam pos Facebook yang mengelirukan.

Berikutnya adalah perbandingan antara foto dalam pos yang mengelirukan (kiri) dan imej di dalam repot Berita Harian (kanan): 

Perbandingan antara foto dalam pos yang mengelirukan (kiri) dan imej di dalam repot Berita Harian (kanan)