Lumpur yang menggelegak disebabkan oleh letusan gunung berapi di Taiwan -- bukan di Malaysia

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 18/09/2019 pukul 06:30
  • Dikemas kini pada hari Rabu 18/09/2019 pukul 10:09
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Video yang dikatakan menunjukkan “api hantu” membakar tanah perkuburan di Ipoh, Malaysia, telah ditonton ratusan ribu kali di beberapa pos di Facebook. Dakwaan ini tak benar: video itu menunjukkan gunung berapi lumpur meletus di Taiwan.

Video selama 23 saat itu menunjukkan api dan lumpur meletus dari tanah. Ia telah ditonton lebih daripada 593,000 kali dan dikongsikan lebih daripada 7,700 kali sejak dimuat naikkan ke Facebook di sini pada 30 Ogos 2019.

Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Cina kepada bahasa Malaysia, menyatakan: “Api hantu membara di tanah perkuburan? Lokasi: Ipoh.” 

Ipoh merupakan sebuah bandar di barat laut Semenanjung Malaysia.   

Berikutnya adalah tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Video tersebut dengan dakwaan yang sama telah ditonton ratusan ribu kali di sini, sinisini dan sini di Facebook.

Dakwaan itu tak benar: video itu dirakam di Pingtung, daerah yang paling selatan di Taiwan.

AFP telah menjalankan carian imej terbalik menggunakan “keyframes” daripada InVid dan mendapati klip yang sama termasuk di YouTube video ini yang dimuat naikkan oleh agensi berita Taiwan Central News Agency (CNA).

Klip ini boleh ditonton dari minit ke-satu dan saat ke-empat dalam video CNA yang dimuat naik pada 28 Januari 2015.

Tajuk video CNA diterjemah kepada bahasa Malaysia sebagai: “Gunung berapi lumpur Pingtung meletus melalui ladang.”

Diterjemahkan dari  bahasa Cina kepada bahasa Malaysia, kapsyennya menyatakan: “Gunung berapi lumpur di tanah perkuburan di bandar Xinyuan, daerah Pingtung meletus awal pagi ini.

“Lumpur membanjiri seluruh ladang jagung.”

Berikutnya adalah dua set tangkapan skrin daripada pos yang mengelirukan (kiri) dan video CNA itu (kanan):

Image
Tangkapan skrin daripada pos yang mengelirukan (kiri) dan video CNA itu (kanan)

Kedua-dua CNA dan suratkhabar Taiwan The China Times telah melaporkan tentang letupan gunung berapi lumpur itu pada 28 Januari 2015.

Menurut Encyclopedia Britannica, gunung berapi lumpur adalah “lumpur yang ditarik naik menerusi sedimen.

“Sesetengah gunung berapi lumpur dicipta melalui aktiviti air panas di mana sejumlah besar gas dan sedikit air bereaksi secara kimia dengan batuan di sekitarnya dan membentuk lumpur mendidih.”

Setelah menonton video di dalam pos yang mengelirukan, Dr Mark Tingay, profesor madya geologi di University of Adelaide di Australia, berkata di dalam sebuah email kepada AFP pada 11 September 2019: “Sebab mengapa gas ini boleh terbakar tidak jelas.

“Ada kalanya, gas dibakar dengan sengaja oleh orang. Namun, gas itu juga boleh terbakar secara semulajadi. Di sesetengah kes, gas boleh terbakar disebabkan percikan api yang dijanakan oleh batu-batu yang dikeluarkan dari gunung berapi lumpur akibat bergeser sesama sendiri. Ia juga berkemungkinan untuk gas asli terbakar secara spontan jika sejumlah besar gas bertekanan tinggi dilepaskan tiba-tiba.

“Secara ringkas, ini adalah kejadian semulajadi - gunung berapi lumpur. Taiwan mempunyai banyak gunung berapi lumpur dan gunung berapi lumpur Wandan di daerah Pingtung merupakan salah satu yang paling aktif yang kerap meletus dan selalunya disertai oleh api membara.” 

Dakwaan yang sama yang menyatakan video ini dirakam di Johor, Malaysia, telah pun dibongkar oleh suratkhabar The Star dan portal berita Malaysiakini pada April 2015.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami