Makan timun, kelapa atau minum air sejuk semasa tempoh haid tidak akan menyebabkan 'kanser rahim'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 15/07/2020 pukul 10:30
  • Dikemas kini pada hari Jumaat 17/07/2020 pukul 06:32
  • Durasi bacaan 6 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Pelbagai catatan Facebook yang mencadangkan aktiviti-aktiviti yang harus dihindari oleh wanita dalam tempoh haid mereka – barangkali untuk mengelakkan “keguguran” dan “kanser rahim” – telah dikongsi hampir sejuta kali di dalam beberapa bahasa. Beberapa orang pakar sakit puan yang dirunding oleh AFP berkata dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Dakwaan-dakwaan ini disenaraikan di sini di Facebook pada 26 Ogos 2016. Ia telah dikongsi melebihi 9,000 kali. 

Catatan itu menyatakan: “Apa Yang Wanita Perlu Tahu Ketika Period /Datang Haid.” Dan, seterusnya, ia menyenaraikan perkara-perkara yang tidak boleh dilakukan wanita ketika tempoh haid.

Ia disertakan dengan empat gambar yang telah dipangkah yang menunjukkan air kelapa, timun, tin Coca Cola, dan air sejuk.

Di bawah adalah tangkapan skrin catatan yang mengelirukan:

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan yang diambil pada 15 Julai 2020

Teks yang sama juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini di Malaysia.

Dakwaan serupa juga dikongsikan dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Portugis, bahasa Indonesia dan bahasa Sepanyol.

Penerbitan yang terawal boleh dijejak sehingga Mei 2013 yang muncul dalam bahasa Indonesia, walaupun ia hanya mempunyai tiga daripada empat dakwaan yang tersebar secara meluas dalam bahasa Inggeris. Dalam versi yang muncul di laman Facebook yang berpusat di Malaysia, terdapat penambahan satu dakwaan ke dalam senarai itu. Secara keseluruhan, kesemua catatan ini telah dikongsi melebihi satu juta kali.

Dua orang pakar ginekologi yang berbicara dengan AFP México secara terang-terangan menolak idea bahawa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tersenarai semasa tempoh haid boleh menyebabkan “kanser rahim”.

Dua orang pakar perunding obstetrik dan ginekologi dari Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) juga menyangkal dakwaan-dakwaan tersebut melalui e-mel dari Pusat Sains Media (SMC) Malaysia. Malah salah seorang pakar juga menyatakan: “Segala amalan yang dianjurkan untuk kesihatan perlu ada sokongan bukti saintifik.”

Cadangan-cadangan tanpa “asas saintifik”

Tak benar “Jangan minum air ais, air bergas, dan air kelapa. Semua minuman sejuk tidak boleh diminum kerana boleh menyebabkan darah menjadi beku dan terlekat pada dinding rahim. Selepas 5-10 tahun akan menyebabkan kanser rahim. Minuman bergas separti cola, pepsi dan apa saja yang bergas adalah tidak digalakan sama sekali diminum ketika haid. Malah air kelapa juga tidak boleh diminum disaat sedang datang haid kerana air kelapa bersifat sejuk dan akan menjadikan rahim anda sejuk.”

“Satu perkara tiada kena-mengena dengan yang lain,” kata Anaïs Gabriela Reyes Navarro, pakar ginekologi di Mexico dan seorang ahli Doctoralia, sebuah laman dalam talian untuk pakar perubatan dari seluruh dunia. “Dengan memakan atau tidak makanan/minuman itu tidak akan mengubah kitaran hormon dan badan juga tidak akan berkecenderungan mendapat sebarang penyakit yang berkaitan dengan sistem pembiakan wanita,” kata beliau. 

Menurutnya lagi, dakwaan bahawa minum air sejuk boleh menyebabkan kanser “adalah tidak benar”. 

Endometrium adalah tisu yang terbentuk di dalam rahim setiap bulan dan, apabila tidak ada kehamilan, ia akan dibuang melalui haid.

“Terdapat kepercayaan,” kata Reyes Navarro, bahawa sekiranya tidak ada haid “darah akan tinggal di dalam rahim.” Tetapi ini tidak akan berlaku juga kerana kekurangan pendarahan mungkin disebabkan masalah dalam perkembangan endometrium.

“Tidak ada hubungan antara pemakanan kelapa atau minum air sejuk dengan penderitaan tersebut: bukan kemandulan ataupun kanser,” kata pakar ginekologi Kiyoshi Arturo Macotela Nakagaki dari Mexico.

“Kenyataan ini tidak mempunyai asas saintifik,” katanya lagi. “Tidak ada apa yang boleh dilakukan atau berhenti dilakukan oleh wanita untuk merosakkan dinding rahim.”

Penerbitan ini “nampaknya berusaha untuk mempromosikan maklumat palsu, dan amalan yang amat diperlukan seperti ‘pap smear’ tidak patut diamalkan kerana wanita boleh kata, ‘saya tidak lagi minum air ais,’ atau ‘saya tidak minum air sejuk jadi saya tidak mempunyai risiko lagi dan saya tidak lagi perlu menjalani pap smear’,” kata beliau.

“Tiada konsep minuman panas dan sejuk yang memberi akibat sebegini dalam ilmu sains perubatan. Tiada bukti kesan-kesan seperti yang dinyatakan. Yang penting diingat, sebarang minuman manis, jika dijadikan kebiasaan, boleh menyebabkan obesiti, dan obesiti inilah yang boleh membawa risiko kanser rahim,” kata Dr Zaleha Abdullah Mahdy, pakar perunding obstetrik dan ginekologi, dan presiden Persatuan Perinatal Malaysia (PSM).

Tak benar – “Jangan mencuci rambut kerana liang kepala sedang terbuka ketika datang haid dan boleh menyebabkan sakit kepala/ kepala masuk angin. Sakit kepala ini boleh dirasa orang muda dan tua. Jika ingin mencuci rambut perlulah menggunakan air panas/suam, dan segera keringkan menggunakan pengering rambut. Anda juga digalakan mandi air panas/suam ketika datang haid.”

Menurut Reyes Navarro, sakit kepala ketika haid dikaitkan kononnya dengan sindrom prahaid, “sekumpulan gejala yang berlaku semasa haid yang berkaitan dengan variasi tahap hormon”. Selain sakit kepala, simptom-simptom lain boleh termasuk payudara sensitif, perubahan mood dan kekejangan.

Jawapan Macotela Nakagaki: “Saya tidak ada komen, ia kedengaran macam gurauan.”

“Mandi air suam memang menyegarkan badan bagi kebanyakan individu, tetapi tidak spesifik untuk mereka yang datang haid,” kata Zaleha.

Tak benar – “Jangan makan timun ketika sedang period kerana getah yang ada pada timun akan menyebabkan darah haid tersisa di dinding rahim.” 

“Tidak ada hubungan di sini juga,” kata Reyes Navarro, merujuk kepada kononnya kesan getah timun pada dinding rahim.

“Setakat ini tiada bukti kaitan getah timun dengan sisaan darah haid,” kata Zaleha.

Tidak tepat – “Ketika haid tubuh tidak boleh terhantuk, terjatuh, dan terpukul dari benda keras terutama bahagian perut kerana boleh menyebabkan muntah darah, rahim boleh terluka.”

Rahim tidak terletak di dalam abdomen tetapi di kaviti pelvis (di bawah abdomen), kata Macotela Nakagaki. Oleh itu, ketukan atau pukulan oleh objek keras pada wanita hamil kenalah cukup kuat sehingga fraktur tulang. 

Reyes Navarro menjelaskan bahawa rahim “dikelilingi usus, lemak, otot dan kulit”, oleh itu “satu-satunya cara ia boleh terjejas adalah jika ia menerima tikaman yang dalam, maka akan ada luka.”

“Tiada kaitan terhantuk dan sebagainya dengan haid, dan tiada kaitan haid dengan muntah darah. Dalam keadaan rahim yang sihat dan biasa, sukar bagi sebarang pukulan pada perut untuk memberi impak pada rahim, kerana rahim jauh di dalam rongga pinggul dan dilindungi rangka tulang di sekelilingnya, kecuali jika amat kuat pukulan hingga patah tulang pinggul, seperti dalam kemalangan yang teruk,” kata Zaleha.

Tak benar – “Jangan makan panadol/ ubat tahan sakit ketika haid. Anda sepatutnya mengamalkan minum air suam. Seseorang yang mengamal minuma air suam akan kurang merasa sakit ketika haid, malah tidak merasa sakit perut lansung. Makan panadol ketika haid menyebabkan anda senang keguguran.”

“Setakat ini tiada bukti adanya kaitan antara panadol dengan keguguran,” kata Zaleha. “(Sama ada) air suam boleh mengurangkan sakit haid bagi mereka yang senggugut, terpulang kepada respon individu, dan tiada bukti menyeluruh bagi semua wanita,” kata beliau.

“Panadol atau ubat tahan sakit lain seperti yang ditetapkan oleh doktor boleh diambil untuk kesakitan haid yang teruk TETAPI memang minum air suam belum terbukti berkesan! Haid dikawal oleh kitaran hormon di dalam badan,” kata Dr John Teo Beng Ho, pakar perunding obstetrik dan ginekologi dan ahli jawatankuasa Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif, Malaysia (FRHAM). 

“Keguguran merupakan kegagalan kehamilan yang disebabkan oleh pelbagai punca yang rumit TETAPI pengambilan Panadol ketika tempoh haid SEMEMANGNYA BUKAN salah satu sebabnya dan tidak mempunyai asas saintifik. Ia benar-benar racau!” katanya lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyenaraikan ubat tahan sakit sebagai salah satu rawatan untuk senggugut di sini.

“Kanser rahim”

Reyes Navarro dan Macotela Nakagaki memberitahu AFP bahawa ia adalah tidak tepat untuk berbincang tentang “kanser rahim”. Dalam sistem pembiakan wanita, dua jenis kanser berbeza biasanya berlaku: kanser endometrium dan kanser serviks, dan boleh berlaku kepada pesakit dalam lingkungan usia berbeza.

Walaupun sebab-sebab kanser endometrium tidak diketahui, faktor-faktor risiko termasuk obesiti, diabetes, dan perkara-perkara yang memberi kesan kepada tahap hormon, menurut Persatuan Kanser Amerika.

Macotela Nakagaki berkata bahawa kebanyakan wanita yang menghidap kanser endometrium berusia lebih daripada 40 tahun dan telah putus haid. Simptom-simptom termasuk pendarahan faraj yang tidak normal dan sakit di pelvis.

Menurut laporan Pendaftaran Kanser Nasional Malaysia 2012-2016 ini dari Institut Kanser Negara, jenis kanser yang paling biasa di kalangan wanita di Malaysia adalah payudara, kolorektal, rahim, ovari, dan paru-paru. 

Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) berkata bahawa Human Papillomavirus (HPV) ialah sebab utama kanser serviks. Pap smear adalah ujian saringan yang harus dilakukan wanita secara kerap untuk mengetahui, antara lain, sama ada mereka membawa virus tersebut atau tidak. 

Kesimpulannya, semua perkara yang termasuk dalam senarai cadangan mengenai apa yang seorang wanita harus hindari semasa tempoh haid adalah tidak benar.

Sebahagian artikel ini diterjemahkan dari bahasa Inggeris. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami