Lil Nas X , penyanyi rap Amerika Syarikat, bergaya di ruang akhbar dengan anugerah untuk Muzik Video Terbaik dan Persembahan Pasangan/Kumpulan Pop Terbaik semasa Anugerah Grammy Tahunan ke-62 pada 26 Januari 2020 di Los Angeles.
(AFP / Frederic J. Brown)

Nike menafikan hubungan dengan ‘Kasut Syaitan’ dari penyanyi rap Lil Nas X

“Kasut Syaitan” penyanyi rap Amerika Syarikat (AS) Lil Nas X, yang menonjolkan lambang tanda semak Nike yang terkenal, membuat pelbagai orang menuduh pembuat kasut dan pakaian itu bidaah. Tetapi kasut itu direka oleh syarikat lain, dan Nike menafikan sebarang hubungan rasmi dengan keluaran tersebut dan berkata ia telah membuat aduan pelanggaran tanda dagangan.

Dakwaan tersebut dimuat naikkan di Facebook di sini pada 28 Mac 2021, dan telah dibagikan hampir 250 kali. 

Kapsyennya menyatakan: “Lil More dan Nike telah melancarkan kasut yang dipanggil (Kasut syaitan).
Kasut ini benar-benar mempunyai darah manusia di telapak kasut tersebut. 
Mereka hanya akan menjual (666 kasut tenis) pada harga $ 1,018 setiap sepasang kasut tenis.
28.03.2021
#ClimateChange ?”.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 7 April 2021

Catatan itu diterbitkan bersama-sama gambar-gambar penyanyi yang paling terkenal dengan lagunya “Old Town Road” dan produk yang dikatakan itu, iaitu kasut Nike Air Max 97 yang diubah untuk menonjolkan pentagram gangsa, dan tulisan “Luke 10:18”, ayat yang mengutip perkataan Jesus: “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat.”

Hanya 666 pasang kasut telah dikeluarkan, dengan harga $1,018 sepasang, sebagai rujukan kepada kitab Injil Lukas 10:18. Tapak kasut tersebut kononnya mengandungi setitis darah manusia yang dicampur dengan dakwat merah. 

Dakwaan itu juga dikongsikan di Facebook di sini dan sini, di Twitter di sini dan sini, serta di TikTok di sini, di mana video tersebut telah ditonton lebih daripada dua juta kali.

Dakwaan serupa juga muncul di Facebook dalam bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol.

Dakwaan itu mengelirukan.

Kasut itu sebenarnya direka oleh MSCHF, sebuah syarikat Brooklyn yang terkenal dengan produk yang dianggap tidak berhormat dan perlu ditempah lebih awal, seperti bom mandian berbentuk pembakar roti. Syarikat itu sebelumnya pernah mengeluarkan “Kasut Jesus”.

Nike berkata dalam satu kenyataan melalui emel kepada AFP: “Kami tidak mempunyai hubungan dengan Lil Nas X atau MSCHF. Kasut Syaitan telah dihasilkan tanpa persetujuan atau kebenaran Nike, dan Nike tidak berkaitan dengan projek ini sama sekali. 

“Nike telah fail aduan pelanggaran dan pencairan tanda dagangan terhadap MSCHF pada hari ini yang berkaitan dengan Kasut Syaitan. Kami tidak mempunyai butiran lebih lanjut untuk dikongsi tentang hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang yang masih belum selesai,” katanya.

MSCHF tidak menjawab permintaan AFP untuk komen, tetapi memberitahu The New York Times (NYT) bahawa darah itu dikumpulkan daripada enam anggota kakitangannya.

Daniel Greenberg, salah seorang pengasas syarikat tersebut, memberitahu NYT bahawa Nike tidak terlibat dalam penciptaan dan pengedaran kasut itu “dalam apa jua kapasiti”. 

Jane Ginsburg, seorang profesor undang-undang di Universiti Columbia yang pakar dalam undang-undang harta tanah dan tanda dagangan, berkata Nike boleh cuba menghentikan penjualan versi produknya yang telah diubah.

“Pada saat itu, hujahnya adalah bahawa ini bukan lagi barang asli,” katanya melalui telefon. “Anda boleh menjual semula barang asli dan ini bukan barang asli dan orang ramai akan keliru sama ada Nike membenarkannya, dan itu akan menjadi pelanggaran tanda dagangan.”

Namun, hanya dengan menyebut dengan jelas bahawa Kasut Syaitan adalah kasut Nike asli diperbaiki semula yang telah diubah mungkin mencukupi untuk membolehkan kasut tersebut berada di pasaran, katanya.

Tema Syaitan kasut itu diinspirasikan oleh video muzik baru Lil Nas X, “Montero”, di mana penyanyi rap berusia 21 tahun itu memberikan tarian riba kepada syaitan sebelum menyentap lehernya dan mengambil tanduknya.

Pada 1 April 2021, seorang hakim persekutuan AS memperkenankan usul Nike untuk perintah penahanan sementara yang melarang MSCHF daripada memenuhi tempahan untuk kasut tersebut dan daripada menggunakan lagi tanda dagangan Nike, lapor AFP di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami