Video ini menunjukkan baka lembu daging berotot dari Belgium

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari 31/03/2021 jam 11:40
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia, AFP Indonesia
Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di Facebook dan YouTube bersama dengan dakwaan bahawa ia menunjukkan baka hibrid antara seekor lembu dan seekor babi. Dakwaan itu tak benar: video tersebut sebenarnya menunjukkan seekor lembu Belgian Blue, sejenis baka lembu daging berotot dari Belgium dan telah beredar dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2014.   

Video berdurasi 51 saat itu dimuat naikkan pada 7 Februari 2017 di sini di Facebook, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 27,000 kali. 

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 31 Mac 2021

Keterangannya menyatakan: “```!! PERHATIAN KEPADA SEMUA!!``` _Ini adalah sejenis ternakan kacukan antara *Lembu* dan *Babi*..ini adalahterkini dari ladang-ladang ternakan diluar negara terutama negara *New Zealand* dan Australia untuk di eksport ke Negara-Negara *Muslim* dan sebagainya. jadi apabila membeli daging import pastikan bukan dari Negara *New Zealand* dan *Australia*..video disiarkan tadi untuk pengetahuan kita semua supaya tidak tertipu dengan muslihat Negara pengeluar Lembu daging dan Tenusu yang terbesar untuk merosakkan umat *islam* dan sebagainya..._ . *'Info ini dari sahabat yg perihatin terhadap kaum muslim'*”.

Rakaman tersebut beredar bersama-sama dakwaan serupa di Facebook di sini, sini, sini dan sini.

Video itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di Facebook di sini dan di YouTube di sini.

Dakwaan itu tak benar. 

Carian imej terbalik melalui InVID-WeVerify, diikuti oleh carian kata kunci di Google, menjumpai video YouTube ini, yang dimuat naikkan di saluran Persatuan Wallonne des Eleveurs (AWE), atau Persatuan Pembiakan Walloon, yang berpusat di Belgium, pada 4 Februari 2014.

Video berdurasi 51 saat itu bertajuk: “RESISTANT d’au Chêne”. Diterjemahkan dari bahasa Perancis ke bahasa Malaysia, kapsyennya berbunyi: “Lembu jantan inseminasi BBB AWE BBG.”

Lembu itu bernama Resistant d’au Chêne dan dilahirkan pada tahun 2009, menurut laman web Belgian Blue Group (BBG), sebuah syarikat Belgium yang khusus dalam pembiakan lembu Belgian Blue. 

Laman web ini juga menjelaskan bahawa baka Belgian Blue berasal daripada silang lembu tenusu Belgium tempatan dengan baka lembu Shorthorn dari UK pada abad ke-19. Selepas Perang Dunia II, pembiakannya mula bertumpu pada pengembangan struktur otot. 

Maklumat yang sama mengenai Resistant juga boleh didapati di laman web Persatuan Pembiakan Walloon di sini dan Persatuan Penternak Daging Lembu Czech di sini

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin rakaman dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal AWE (kanan): 

Image
Perbandingan tangkapan skrin rakaman dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal AWE (kanan)

Rakaman lain tentang Resistant juga telah dimuat naikkan di sini di laman Facebook Blanc Bleu Belge, atau Belgian White Blue, pada 5 April 2014. 

Persatuan Alumni Institut Veterinar Malaysia pernah membuat penjelasan mengenai baka lembu ini di laman Facebooknya di sini pada 3 Jun 2017.

Semakan Fakta AFP pernah membongkar dakwaan tidak sahih yang lain mengenai kacukan lembu dengan babi di sini dan kacukan biri-biri dengan babi di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami