Gambar ini menunjukkan kerbau kerdil dari Thailand

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Jumaat 26/03/2021 pukul 10:35
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Pelbagai catatan Facebook yang dikongsi ribuan kali kononnya menunjukkan foto-foto baka hibrid antara babi dan lembu yang dieksport dari Thailand untuk permulaan bulan puasa. Dakwaan itu tak benar: gambar tersebut sebenarnya menunjukkan seekor kerbau kerdil dari Thailand; babi dan lembu tidak boleh dikacukkan. 

Gambar-gambar tersebut diterbitkan pada 15 Mac 2021 dalam catatan Facebook ini, yang telah dikongsi lebih daripada 9,500 kali. 

Ketiga-tiga foto itu menunjukkan seekor haiwan yang pendek, tangan seseorang memegang daging dengan bintik-bintik putih, dan daging merah berbintik putih dalam beg plastik kuning. 

Kapsyennya menyatakan: “SPESIS KACUKAN VABI + LEMBU 
. Mula mula tengok ya allah cutenya Kalau buat Korban ! Rupanya kacukan babi + lembu 
Dah mula masuk ke malaysia dari Thailand 
Utk buka bulan puasa katanya ! .
HATI hati Gais Bila tengok gelembung 
Kulit spesis kacukan VABI + LEMBU 
Masyaalah macam macam Dunia Zaman sekarang”.

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 19 Mac 2021

Gambar-gambar itu juga telah dikongsi di sini, sini dan sini di Facebook bersama dengan dakwaan serupa.

Sesetengah catatan Facebook berkongsi lagi foto haiwan lain untuk membuat dakwaan yang serupa, seperti yang boleh dilihat di sini, sini, sini dan sini

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook lain yang mengelirukan, diambil pada 25 Mac 2021

Dakwaan itu tak benar: tiada gambar yang menunjukkan seekor haiwan kacukan babi-lembu ataupun dagingnya. 

Kerbau kerdil dan lembu kerdil

Carian imej terbalik gambar pertama, disusuli dengan carian kata kunci di Google menemui video berbahasa Thai ini dari saluran TV negara itu bernama Matichon TV, yang dimuat naik pada 11 Oktober 2018.
 

Diterjemahkan dari bahasa Thai, video tersebut bertajuk: “Saksikan kecomelan ‘Nong Kham Phaeng’, kerbau kerdil yang membawa nasib baik. Pemiliknya mendedahkan bahawa seseorang bercadang untuk membelinya dengan harga 1 juta baht.”

Menurut keterangan video, kerbau kerdil yang dipanggil Nong Kham Phaeng itu milik seorang lelaki bernama Jiradech Phanlee di wilayah Sakon Nakhon, di timur laut Thailand, dan meraih kemasyhuran dalam talian setelah jiran-jirannya mula memuat naikkan foto-foto di media sosial.

Carian selanjutnya di laman Facebook milik Jiradech mendapati bahawa dia telah memuat naikkan gambar kerbau kerdil itu beberapa kali, dengan gambar haiwan ternakan yang sama diterbitkan di sini pada 4 November 2018.

Berikut  adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan foto Facebook asal (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan foto Facebook asal (kanan)

“Mustahil untuk ‘kahwinkan’ lembu dan babi kerana kedua-duanya daripada keluarga haiwan yang berbeza,” kata Mohd Hair Bejo, profesor veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), seperti yang dipetik dalam laporan Harian Metro ini pada 14 Mac 2021. Beliau juga menjelaskan bahawa babi tergolong dalam keluarga haiwan Suidae manakala lembu daripada keluarga haiwan Bovidae, dan kerana itu, tidak boleh menghasilkan keturunan. 

Foto haiwan yang satu lagi itu pernah muncul dalam laporan berita berbahasa Vietnam pada bulan Mei 2018, seperti ini dan ini, mengenai seekor lembu kerdil di kampung Lang Chau, kumpulan Yen Lac, daerah Yen Dinh, wilayah Thanh Hoa.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook mengelirukan yang lain (kiri) dan foto dalam laporan berita Vietnam (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook mengelirukan yang lain (kiri) dan foto dalam laporan berita Vietnam (kanan)

Daging ikan keli

Gambar kedua dalam catatan mengelirukan sebelum ini muncul dalam artikel bertarikh 16 Februari 2020 ini dari Kompas.com, media Indonesia. Laporan  itu membongkarkan dakwaan bahawa daging ikan keli dengan bintik-bintik putih seperti di gambar itu tidak selamat untuk dimakan.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dalam artikel Kompas.com (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan gambar dalam artikel Kompas.com (kanan)

Daging rosak

Gambar terakhir dalam catatan yang mengelirukan sebelum ini diterbitkan dalam laporan tahun 2017 ini dari laman web yang berpusat di Mesir, Sada ElBalad, yang memberi amaran kepada orang ramai mengenai daging rosak. 

Gambar daging tersebut juga disebut dalam laporan AFP Fact Check ini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan foto laporan berita tahun 2017 (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan foto laporan berita tahun 2017 (kanan)

Semakan Fakta AFP juga pernah membongkar khabar angin yang tidak benar mengenai kacukan antara babi dan kambing biri-biri di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami