Bruce Aylward, ketua misi bersama WHO-China tentang COVID-19, merendahkan topengnya untuk minum air semasa sidang akhbar mengenai wabak novel koronavirus di Beijing pada 24 Februari 2020. (AFP / Matthew Knight)

Pakar kesihatan kata minum air setiap 15 minit tidak mencegah jangkitan koronavirus

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari 16/03/2020 jam 08:20
  • Durasi bacaan 5 minit
  • Oleh: AFP Filipina, AFP Malaysia
Pelbagai posting di Facebook, Twitter dan YouTube mengongsikan dakwaan bahawa pakar dari Taiwan menyarankan kaedah pemeriksaan sendiri dan doktor di Jepun menasihatkan orang ramai untuk minum air setiap 15 minit untuk mencegah dijangkiti oleh novel koronavirus, atau COVID-19. Dakwaan itu tak benar. Taiwan tidak pernah mengeluarkan nasihat sebegitu. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kata minum air tidak mencegah jangkitan novel koronavirus. Jepun tidak pernah mengeluarkan nasihat kesihatan yang menyenaraikan minum air sebagai satu cara pencegahan untuk COVID-19.

Sebuah posting telah diterbitkan di sini di Facebook pada 3 Mac 2020.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan itu:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Sebahagian daripada posting itu menyatakan: “Covid 19 yang terbaru mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan selama beberapa hari, ada yang simptomnya keluar selepas 24 hari ..

“Jadi, bagaimana mungkin seseorang tahu jika dia telah dijangkiti?

“Pada mereka yang mempunyai demam dan / atau batuk dan pergi ke hospital, paru-paru biasanya telah 50% dijangkiti (Fibrosis) dan ketika ini sudah terlambat! ?

“Pakar Taiwan menyediakan kaedah pemeriksaan sendiri yang boleh kita lakukan pada setiap pagi:

“1. Sedut nafas panjang sedalamnya dan tahan nafas anda selama lebih daripada 10 saat ... Sekiranya anda berjaya melakukannya tanpa batuk, ketegangan atau ketidakselesaan dan sebagainya, ia membuktikan tiada fibrosis dalam paru-paruanang yangbar yankang yankang yankang yankang yakan.

“2. Pada masa kritikal, sila lakukan sendiri ujian ini setiap pagi dalam persekitaran udara yang bersih!

“SARANAN YANG SANGAT BAIK oleh doktor Jepun yang merawat kes-kes COVID-19.

“1. Setiap orang harus memastikan mulut & kerongkong anda lembap dan tidak pernah KERING!

“2. Teguk sedikit air setiap 15 minit sekurang- kurangnya.

“#MENGAPA? Walaupun virus masuk ke dalam mulut anda ... air minum atau cecair lain akan MELALUKAN mereka melalui kerongkong ke dalam perut.

“Setelah berada di perut yang mempunyai ACID, ia akan membunuh semua virus yang masuk ke dalamnya.

“Sekiranya anda kurang minum air secara lebih kerap, boleh mula menjangkiti ke paru-paru anda virus. Di mana keadaan ini sangat berbahaya! ”

Dakwaan yang sama juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini.

Ia juga muncul dalam bahasa Inggeris di Facebook di sini, YouTube di sini, serta Twitter di sini dan sini.

Dakwaan itu tak benar.

Fibrosis pulmonari adalah hasil daripada beberapa keadaan yang menyebabkan tisu parut membina di paru-paru anda dan menjadikan pernafasan semakin susah. Keadaan ini tidak tersenarai sebagai simptom di dalam laporan misi bersama WHO-China.

Selain itu, tidak terdapat sebarang sebutan mengenai pakar dari Taiwan di mana-mana nasihat WHO di laman sesawangnya, yang mengeluarkan nasihat untuk orang ramai untuk menangani wabak koronavirus.

Negara Taiwan kerap mengeluarkan laporan terkini mengenai novel koronavirus melalui laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan dan Kebajikan dan Pusat Kawalan Penyakit Taiwan (CDC); tidak terdapat nasihat untuk kaedah pemeriksaan sendiri di kedua-dua laman web tersebut.

Dalam laman sesawang CDC Taiwan, ia menyatakan yang berikut sebagai cara untuk mengesan penyakit tersebut: “Reaksi berantai polimerase (PCR) adalah pilihan utama untuk menguji koronavirus dalam manusia; ia juga boleh menentukan epidemiologi dan evolusi virus. Pewarnaan imunofluoresen juga mungkin digunakan dalam ujian.” 

Di bawah adalah tangkapan layar skrin laman sesawang CDC Taiwan:

Image
Tangkapan layar skrin laman sesawang CDC Taiwan

Sebahagian daripada ciapan ini dari akaun Twitter rasmi WHO menyatakan bahawa: “Walaupun kekal terhidrasi dengan meminum air adalah penting untuk kesihatan secara keseluruhannya, ia tidak mencegah jangkitan koronavirus.”  

Di bawah adalah tangkapan skrin ciapan WHO:

Image
Tangkapan skrin ciapan WHO

Video ini yang dihasilkan oleh WHO memberikan nasihat mengenai cara mencegah jangkitan koronavirus.

Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun , yang menyelia respon negara itu terhadap novel koronavirus, juga tidak mengeluarkan sebarang nasihat yang mengesyorkan pengambilan air yang kerap.

Di dalam seksyen “Mengenai Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)” di laman sesawangnya, kementerian itu menyenaraikan cuci tangan dengan kerap dan tutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin sebagai “aksi pencegahan setiap hari”.

Di bawah adalah tangkapan skrin seksyen relevan dari laman sesawang itu:

Image
Tangkapan skrin nasihat itu

Tidak terdapat sebarang sebutan pengambilan air yang kerap di dalam mana-mana nasihat yang dikeluarkannya. Nasihat-nasihat telah diterbitkannya di sini, sini, sini dan sini di laman sesawang kementerian itu.

Semakan Fakta AFP pernah membongkar dakwaan yang sama mengenai pengekalan kelembapan tekak anda boleh menghalang jangkitan koronavirus.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami