Peta ini adalah ramalan berdasarkan data lama, bukan waktu sebenar bacaan satelit

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 26/02/2020 pukul 09:45
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Australia, AFP Malaysia
Sebuah peta yang telah dikongsikan di dalam beberapa posting di Facebook mendakwa ia menunjukkan peningkatan tahap sulfur dioksida di Wuhan, bandar China di pusat epidemik novel koronavirus. Posting tersebut mendakwa bahawa tahap yang tinggi gas itu mungkin bukti pembakaran mayat di dalam dan sekitar bandar itu. Dakwaan itu tak benar: NASA, di mana data yang digunakan untuk mencipta peta itu, memberitahu AFP bahawa imej yang dicipta adalah berdasarkan ramalan angka pelepasan sulfur dioksida dan gas volcano buatan manusia, bukan rakaman satelit masa sebenar.

Peta itu telah dimuat naikkan ke posting Facebook ini dan dikongsikan melebihi 2,300 kali sejak ia diterbitkan pada Februari 11, 2020.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Terdapat dua peta yang dimuat naikkan: satu peta menunjukkan kawasan sekitar Wuhan yang lebih gelap daripada kawasan lain dan satu lagi  peta yang menunjukkan bahawa 1,700.14µg/m3 sulfur dioksida (SO2), sejenis gas berbahaya yang biasanya dikeluarkan semasa pembakaran bahan api fosildikesan di kawasan sekitar Wuhan.

Sebahagian daripada kapsyennya menyatakan: “Saya kini memantaunya sendiri melalui NASA GEOS -5 sattelite seperti gambar pertama yang baru saja saya perolihi.

“Kawasan berwarna lebih gelap menunjukkan tahap SO2 melebihi 80ug/m^3.

“Satu-satunya planet yang saya tahu dengan kepekatan SO2 yang tinggi ialah Venus, planet kedua dari matahari kita panggil Kejora.

“Data yang anda berikan kepada saya menunjukkan kepekatan SO2 yang sangat tinggi 1700.14ug /m ^ 3, jauh di atas paras bahaya 80ug /m ^ 3 (80 microgram/ satu meter persegi).

“Ini menunjukkan jumlah pembakaran mayat yang tinggi mungkin terjadi. Kita mungkin boleh membuat hypotheses (kemungkinan) bahawa data orang mati yang kita terima dari China adalah tidak benar kerana untuk meningkatkan tahap SO2 ke paras yang demikian pembakaran mayat mesti sangat banyak.”

Peta itu telah dikongsikan bersama-sama dakwaan yang sama di sini, sini, sini, dan sini di Facebook.

Peta yang hampir sama datanya, cuma tahap SO2 ditetapkan pada 1,351.65 µg/m3, telah dikongsikan dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Inggeris di sini, sini, dan sini di Twitter; di sini, sini, dan sini di Facebook; dan di sini di YouTube.

Ia juga dikongsikan dengan dakwaan yang serupa di dalam bahasa lain seperti di sini dan sini dalam bahasa Cina, dan di sini dalam bahasa Korea. 

Repot media yang melibatkan peta tersebut juga diterbitkan di sini oleh MailOnline, laman sesawang untuk surat khabar UK, The Daily Mail; di sini oleh surat khabar Malaysia, China Press; di sini oleh surat khabar AS, The Epoch Times; dan di sini oleh penyiar AS, New Tang Dynasty Television.

Epidemik novel koronavirus telah meragut nyawa lebih daripada 2,700 orang dan menjangkiti lebih daripada 78,000 orang di China, menurut Majlis Kesihatan Negara negara itu seperti yang dilaporkan di sini pada 26 Februari 2020.

Walaupun kebanyakan kematian adalah di Wuhan, dakwaan bahawa peta di dalam posting yang mengelirukan menunjukkan peningkatan tahap sulfur dioksida di bandar itu adalah tak benar.

Windy.com, laman sesawang animasi ramalan cuaca di mana peta tersebut direka, berkata peta tersebut mewakili ramalan berdasarkan data NASA.

Di dalam sebuah e-mel kepada AFP pada 20 Februari 2020, laman sesawang itu berkata: “Tolong perhatikan bahawa Windy.com hanya menggambarkan ramalan SO2, data untuk ramalan ini adalah diperolehi daripada NASA dan model mereka NASA GEOS-5, ia bermaksud Windy.com tidak mengira sebarang data dengan sendirinya dan sebarang soalan lanjut mengenai butiran model tentang pengukuran patut ditujukan kepada NASA sahaja. Kami juga tidak menyimpan arkib data cuaca.”

Windy.com juga telah memberi jawapan yang sama pada 9 dan 10 Februari 2020 dalam maklum balas kepada pertanyaan yang bertajuk: “Tahap Sulfur Dioksida Wuhan Tinggi Luar Biasa ataupun Hanya Industri?” yang merujuk kepada posting yang mengelirukan di media sosial.

Dr. Arlindo da Silva, seorang ahli meteorologi penyelidikan, juga berkata bahawa bacaan SO2 NASA tidak mengukur perubahan dari hari ke hari.

“Ramalan kami adalah berdasarkan inventori pelepasan tetap dan apabila SO2 dikeluarkan ia dibawa oleh angin ramalan,” da Silva memberitahu AFP melalui e-mel pada 20 Februari 2020. “Walaupun data satelit telah digunakan di dalam pembinaan inventori pelepasan, pelepasan ini tidak mengambil kira variasi dalam pelepasan SO2 dari hari ke hari dan oleh itu tidak dapat menjelaskan perubahan mendadak dalam aktiviti manusia.” 

Pusat Pemantauan Alam Sekitar Nasional China telah mengeluarkan sebuah kenyataan akhbar pada 13 Februari 2020 bertajuk: “Laporan mengenai ketumpatan gas disangkal,” menafikan dakwaan peningkatan tahap SO2 di Wuhan.

Sebahagiannya menyatakan: “Pusat Pemantauan Alam Sekitar Nasional China menyangkal laporan di laman sesawang asing bahawa ibu negeri wilayah Hubei, Wuhan, pusat wabak novel koronavirus, telah mengalami peningkatan mendadak dalam ketumpatan sulfur dioksidanya, dengan mengatakan ‘ia herotan realiti yang teruk’.

“Analisis yang dijalankan oleh pakar satelit juga menunjukkan bahawa ketumpatan sulfur dioksida telah dibiarkan pada tahap yang rendah di Wuhan dan kawasan berdekatannya dari 3 Feb hingga Ahad ... Ketumpatan yang tertinggi yang dijumpai analisis tersebut pada masa itu adalah 11.5 mcg/cubic m pada 4 Feb – jauh rendah daripada konsentrasi 1,300 mcg/cubic m yang dilaporkan oleh laman sesawang pada masa itu.”

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami