Pelbagai video menunjukkan serangan lebah di Nicaragua dan mangsa kebocoran gas loji kimia di India

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Enam video dan dua gambar telah dikongsikan ratusan kali di Facebook bersama-sama dakwaan bahawa mereka menunjukkan serangan lebah beracun yang menyebabkan kematian di India. Dakwaan itu tak benar. Satu video menunjukkan serangan lebah di pusat membeli-belah di Nicaragua, tiga video yang lain menunjukkan mangsa kejadian kebocoran gas di India, manakala satu video menunjukkan sekawan lebah di Bandar New York. Video keenam merupakan rakaman seekor tikus sedang bergelut dengan seekor tebuan yang telah tersebar dalam talian sejak sekurang-kurangnya 2018. Gambar-gambar yang dikongsikan ialah foto stok tebuan gergasi Asia.

Video-video dan gambar-gambar tersebut telah dikongsikan melebihi 600 kali sejak mereka dimuat naikkan di sini di Facebook pada 13 Mei 2020.  

Tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan

Kapsyennya menyatakan: “Serangan Lebah Beracun Yang Mematikan Mengakibatkan Orang Meninggal Dunia Di India. Mayat Berjatuhan Akibat Gigitan Lebah Kurang Dari 1 Menit.

“Menurut Informasi Yang Kami Terima Bahwa Kejadian Tersebut Terjadi Pada Pagi Dini Hari, Minggu (10/05) Waktu India.” 

Dakwaan yang serupa mengenai lebah pembunuh di India juga dikongsikan dengan video ini di Facebook pada 13 Mei 2020. Ia merangkumi dua klip dari posting mengelirukan sebelum ini dan menambah lagi dua klip yang berbeza. 

Video dan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia juga muncul di posting Facebook lain di sini, sini dan sini

Dakwaan itu tak benar. Tiga daripada video tersebut menunjukkan rakaman dari kejadian kebocoran gas di India; satu klip menunjukkan serangan lebah di Nicaragua; satu lagi menunjukkan sekawan lebah di Bandar New York; dan satu lagi pula merupakan klip seekor tikus sedang bergelut dengan seekor tebuan yang telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2018. Gambar-gambar ialah foto stok yang sama tentang tebuan gergasi Asia.

Video pertama

Carian imej terbalik di Google menggunakan alat pengesahan digital, InVID-WeVerify, diikuti dengan carian kata kunci menjumpai versi video yang lebih awal yang dimuat naikkan di Facebook di sini pada 4 April 2020 - dan ia dirakam di Metrocentro Managua, sebuah pusat membeli-belah di Managua, Nicaragua, di sini.

Dua ciapan pada hari yang sama – ini dan ini – menyebut tentang serangan lebah di pusat membeli-belah tersebut pada hari yang sama.

Jabatan Bomba Central Z-1 di Managua, terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat membeli-belah itu, membuat catatan di laman Facebooknya pada 4 April 2020 bahawa kejadian tersebut telah berlaku di luar Metrocentro.

 

Apabila dihubungi AFP, jabatan bomba itu menjelaskan bahawa kejadian tersebut adalah disebabkan lebah Afrika. “Video dan gambar-gambar tersebut berpadanan dengan hari yang sama (4 April) dan memang tidak ada perhatian di pusat (pusat membeli-belah) itu kebelakangan ini, ia hanyalah satu kejadian dalam tahun ini dan dalam beberapa tahun ini,” kata seorang jurucakap.

Pemandangan kelihatan di dalam video pertama berpadanan dengan foto Metrocentro yang ditandakan kepada lokasi di Google Maps.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video pertama (kiri) dan foto ini dari Google Maps (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video pertama (kiri) dan foto ini dari Google Maps (kanan)
Perbandingan tangkapan skrin video pertama (kiri) dan foto ini dari Google Maps (kanan)

Jabatan bomba tersebut juga telah mengongsikan gambar di dalam posting Facebooknya yang menunjukkan nama pusat membeli-belah itu iaitu Metrocentro

Video kedua 

Carian imej terbalik di Google mendapati bahawa adegan yang sama juga muncul di dalam klip berita ini yang dimuat naikkan oleh saluran berita India, Prag News di YouTube pada 7 Mei 2020.

Kapsyennya bertajuk: “11 mati, 1000 dilaporkan sakit selepas kebocoran gas di loji kimia di Vizag. Kejadian tersebut telah dibandingkan dengan Tragedi Gas Bhopal.” Vizag merujuk kepada Visakhapatnam, sebuah bandar di negeri Andhra Pradesh, India. 

Kebocoran gas yang membawa maut di sebuah loji kimia di Visakhapatnam pada 7 Mei 2020 telah membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan meninggalkan ratusan lain di hospital, lapor AFP. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video kedua (kiri) dan video Prag News (kanan): 

Perbandingan tangkapan skrin video kedua (kiri) dan video Prag News (kanan)

Video ketiga

Carian imej terbalik di Google mendapati rakaman itu disiarkan pada 7 Mei 2020 di sini di laman Facebook France TV New Delhi, biro New Delhi saluran televisyen awam France TV 2.

Tajuk video itu, diterjemahkan dari bahasa Perancis ke bahasa Malaysia, menyatakan: “India: kebocoran gas di sebuah kilang kimia.”

Ayat pertama kapsyennya menyatakan: “Pada tengah malam, kebocoran gas berlaku di kilang LG Polymers di bandar Visakhapatnam di tenggara India.”  

Akaun Twitter rasmi Info France 2 juga memuat naikkan video itu pada 7 Mei 2020, dengan sebahagian ciapannya, diterjemahkan dari bahasa Perancis ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Di #India, kebocoran gas di sebuah kilang kimia menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang mati dan seribu orang jatuh sakit.”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video ketiga (kiri) dan video France TV New Delhi (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video ketiga (kiri) dan video France TV New Delhi (kanan)

Video keempat

Carian imej terbalik Google menggunakan tangkapan skrin dari klip yang menunjukkan orang ramai terbaring di tanah mendapati ia disiarkan di saluran YouTube bernama “NR ADVERTISEMENTS” di sini dengan tajuk yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia sebagai: "Kebocoran Gas Beracun dari LG polymers | Menyebabkan Ketegangan Tinggi @ Vizag | Video Kebocoran Gas Vizag | NRA". 

Rakaman yang sama boleh ditonton dari tanda satu minit 20 saat video YouTube itu.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video keempat (kiri) dan video YouTube (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video keempat (kiri) dan video YouTube (kanan)
Perbandingan tangkapan skrin video keempat (kiri) dan video YouTube (kanan)

Dari rakaman yang sama, sebuah kereta juga kelihatan dengan plat nombor bermula AP31.

Tangkapan skrin kereta dari video

AP31 merupakan aksara pertama yang rasmi untuk plat nombor di Visakhapatnam, seperti yang dinyatakan di sini di laman sesawang Kerajaan Andhra Pradesh. 

Video kelima

Carian imej terbalik di Google dan carian kata kunci untuk klip kelima, yang menunjukkan sekawan lebah di jalan, menjumpai rakaman yang telah disiarkan di Instagram berasal dari posting Facebook pada 6 Mei 2020 ini. Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Sepanyol ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Ini berlaku di 204 dan Valentine wabak lebah.” 

“204” dan “Valentine” merujuk kepada lokasi kejadian tersebut di E 204th St dan Valentine Ave di Bronx, Bandar New York. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video kelima (kiri) dan video Facebook (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video kelima (kiri) dan video Facebook (kanan)

Google Street View lokasi tersebut di sini juga menunjukkan Pasar Raya C-Town, seperti yang kelihatan di dalam video itu. 

Video keenam

Video yang dikongsikan di dalam salah satu posting mengelirukan berbahasa Indonesia termasuk klip seekor tikus yang sedang bergelut dengan seekor tebuan.

Carian imej terbalik di Google menemui salinan rakaman paling awal dari sekurang-kurangnya Julai 2018 iaitu video YouTube ini. Tajuknya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Serangan Keterlaluan Tebuan Ke Atas Tikus”. 

Ia tidak jelas di mana ia dirakam, tetapi menurut laporan Daily Mail, sesetengah orang berkata ia dirakam di Gulfport, Mississippi, Amerika Syarikat. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video keenam (kiri) dan video YouTube (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video keenam (kiri) dan video YouTube (kanan)

Tebuan gergasi Asia

Gambar-gambar yang dimuat naikkan di dalam posting pertama yang mengelirukan adalah gambar yang sama, cuma dengan putaran berbeza.

Carian imej terbalik di Google mendapati gambar tersebut adalah foto stok tebuan gergasi Jepun dari iStock di sini

Tangkapan skrin foto stok dari iStock

Gambar tersebut diambil oleh jurugambar yang bernama Kagenmi dan dimuat naikkan pada 14 Jun 2016. Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Makro syot dekat tebuan gergasi Jepun, spesies tebuan terbesar di dunia.”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar-gambar dari posting pertama yang mengelirukan (kiri dan tengah) dan foto stok iStock (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin gambar-gambar dari posting pertama yang mengelirukan (kiri dan tengah) dan foto stok iStock (kanan)

Tebuan gergasi Jepun ialah nama lain untuk tebuan gergasi Asia (Vespa mandarinia).

AFP pernah membongkar kebanyakan video-video yang sama dengan dakwaan tak benar yang berlainan dalam bahasa lain: di sini dalam bahasa Inggeris, di sini dalam bahasa Arab dan di sini dalam bahasa Sepanyol.