Budak itu bercakap dalam bahasa Sepanyol di dalam video yang telah tersebar sebelum kematian COVID-19 pertama di Itali

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di Facebook dan YouTube bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan seorang budak lelaki di Itali mendongak ke langit malam memanggil ibunya yang telah meninggal dunia akibat novel koronavirus. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar. Kanak-kanak lelaki tersebut bercakap dalam bahasa Sepanyol di dalam video itu; rakaman itu telah tersebar dalam talian sebelum Itali mencatatkan kematian COVID-19 yang pertama pada Februari 2020.

 Video tersebut telah disiarkan di sini di Facebook pada 1 April 2020 dan telah ditonton melebihi 63,000 kali dan dikongsi melebihi 2,800 kali.  

Video berdurasi dua minit dan tujuh saat itu, yang gelung untuk mengulangi klip, menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki bercakap dengan seorang wanita di latar belakang sambil berulang kali menunjuk ke langit dan kemudiannya dipeluk oleh seorang budak lelaki yang lebih tua yang sedang menangis.

Kapsyenya menyatakan: “Di Italy seorang kanak2 mencari ibunya yg meninggal kerana Convid 19. Abgnya memberitahu emak mereka ada dilangit lantas ia menjerit memanggil ibunya di langit. Sangat pilu rasanya.” 

Tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan

Sehingga 21 Mei 2020, lebih daripada 228,000 orang disahkan kes COVID-19 dan lebih daripada 32,000 yang lain telah mati akibat penyakit ini, menurut laporan situasi terkini ini dari Kementerian Kesihatan Itali. 

Rakaman tersebut, bersama-sama dakwaan yang serupa, telah ditonton melebihi 110,000 kali dan dikongsi melebihi 3,300 kali selepas ia muncul di sini, sini dan sini di Facebook; dan di sini dan sini di YouTube.

Ia juga dikongsikan dalam pelbagai bahasa lain termasuk bahasa Arab di sini, sini dan sini; dan bahasa Bengali di sini

Dakwaan itu tak benar. Kanak-kanak lelaki itu bercakap dalam bahasa Sepanyol di dalam video itu; rakaman tersebut telah tersebar dalam talian sebelum Itali mencatatkan kematian COVID-19 yang pertama pada Februari 2020.

Pada 21 Februari 2020, Adriano Trevisan, seorang penurap bata bersara berusia 78 tahun dari Itali utara, menjadi warga Eropah pertama yang meninggal dunia akibat penyakit novel koronavirus, atau COVID-19, menurut laporan ini dari AFP.

Sepanjang video tersebut, kanak-kanak lelaki di dalam video tersebut boleh kedengaran bercakap dalam bahasa Sepanyol, bukan bahasa Itali. Diterjemahkan dari bahasa Sepanyol ke bahasa Malaysia, dia kedengaran berkata: “Tengok, itu ibu saya.” Wanita yang nampaknya sedang merakam bertanya: “Sayang, yang mana satu ibumu?” dan kanak-kanak lelaki itu menjawab: “Yang bersinar.” Kemudian, dia berkata bahawa dia akan bercakap dengannya dan mula menjerit: “Ibu!”

Carian imej terbalik di Google berdasarkan tangkapan skrin dari video di dalam posting yang mengelirukan tersebut mengesannya kembali ke versi terawal klip berdurasi 54 saat yang disiarkan pada 16 Februari 2020 di sini dan sini di YouTube.

Ia kemudiannya disiarkan di akaun Instagram milik “El Show del Piolin”, rancangan radio berbahasa Sepanyol di Amerika Syarikat, pada 18 Februari 2020.

Kapsyen posting Instagram tersebut, diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Kanak-kanak lelaki berkata dia nampak ibunya di syurga.”

Carian kata kunci lebih lanjut di Google menjumpai artikel ini diterbitkan pada 18 Februari 2020, dari laman sesawang berita El Salvador, Elsalvador.com. 

Tajuknya, diterjemahkan dari bahasa Sepanyol ke bahasa Malaysia, berbunyi: “VIDEO: Video beremosi seorang budak bercakap dengan bintang kerana menganggapnya adalah ibunya yang sudah mati.”

Dua perenggan yang pertama menyatakan: “Seorang budak berusia tiga tahun muncul di dalam video yang menyayat hati yang telah tular di media sosial kebelakangan ini. Di dalamnya, kamu boleh nampak budak itu menjerit kepada bintang menganggapnya sebagai ibunya yang sudah mati, melihatnya dari langit.

“Video buatan rumah tersebut, yang mana kami tidak tahu tarikh mahupun lokasinya, telah menyentuh perasaan ramai orang di media sosial.”

Artikel lain di sini dari Peru, Mag El Comercio menyebut bahawa video tersebut mungkin dirakam di El Salvador.

AFP tidak dapat mengesahkan secara berasingan bahawa ia dirakam di El Salvador. 

Video yang sama telah disemak fakta di sini dalam bahasa Arab oleh AFP. 

KORONAVIRUS