Video ini menunjukkan Presiden China Xi Jinping melawat masjid di negara itu pada 2016

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Video yang telah ditonton ribuan kali di beberapa posting di Facebook, Twitter dan YouTube mengongsikan dakwaan bahawa ia menunjukkan presiden China melawat masjid untuk meminta umat Islam untuk bersembahyang berikutan penularan novel koronavirus. Dakwaan ini tak benar: video ini telah beredar sejak sekurang-kurangnya 2016 di dalam laporan media mengenai lawatan Presiden China Xi Jinping ke masjid di barat laut China. 

Video selama satu minit itu telah disiarkan di sini di Facebook pada 5 Februari 2020. Ia telah ditonton lebih daripada 1,700 kali. 

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu: 

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Logo media kerajaan China, CCTV boleh kelihatan di bahagian atas penjuru kanan video itu.

Sebahagian kapsyen posting yang panjang itu menyatakan: “Presiden Negara China Xi Jin Ping telah melawat ke masjid masjid memohon supaya mendoakan keselamatan negara dari bencana yg sedang menimpa negara.

“‘Kami perlukan pertolongan anda’

“Sebelum Negara China diserang Coronavirus Presidennya dengan bangga dan angkuh berucap dlm satu mjlis Tiada kuasa yg mampu menyekat kemajuan negara besar kami, tiada kuasa yg mampu mnyekat kemajuan negara dan kehebatan negara kami.

Xi Jinping telah memangku jawatan presiden China sejak 2013 dan setiausaha agung Komunis Party China sejak 2012.

Novel koronavirus, atau COVID-19, merupakan sebuah epidemik yang telah meragut nyawa lebih daripada 1,300 orang dan menjangkiti hampir 60,000 orang di China sejak ia muncul di bandar Wuhan pada akhir 2019, menurut laporan AFP ini yang bertarikh 13 Februari 2020.

Video itu telah dikongsikan di Facebook di sini, sini, dan sini dalam bahasa Malaysia dengan dakwaan serupa.

Video itu telah ditonton lebih dari 17,000 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Facebook di sini, sini, dan sini; di Twitter di sini dan sini; dan di YouTube di sini dan sini.  

Walau bagaimanapun, dakwaan itu adalah tak benar: video ini menunjukkan lawatan Presiden China Xi Jinping ke masjid di barat laut China pada Julai 2016.

Carian imej terbalik keyframes yang didapati dari video menjumpai rakaman ini, yang disiarkan di dalam saluran YouTube rasmi CCTV, media kerajaan China, pada 20 Julai 2016. 

Judul video itu menyatakan: “Presiden China melawat masjid besar di barat laut China.”

Sebahagian keterangan video itu menyatakan: “Presiden China Xi Jinping telah memberi kunjungan istimewa ke Masjid Xincheng di Bandar Yinchuan Selasa pagi, semasa lawatan pencarian fakta terkininya ke Wilayah Autonomi Ningxia Hui di barat laut China.”

Di bawah adalah tangkapan skrin perbandingan video Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video CCTV (kanan):

Tangkapan skrin perbandingan video Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video CCTV (kanan)

Lawatan Presiden Xi ke masjid pada Julai 2016 itu juga dilaporkan oleh media tempatan dan antarabangsa di sini dan sini .