Rakaman CCTV menunjukkan rompakan di Romania, bukan Malaysia
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 20/08/2019 pukul 06:35
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Rachel YAN, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video ini telah diterbitkan di sini di Facebook pada 19 Februari 2019. Ia telah ditonton lebih daripada 286,000 kali dan dikongsi lebih daripada 14,000 kali.
Klip 10 saat itu menunjukkan seorang perempuan dan lelaki berdiri di depan lif. Pada saat ke-6, lelaki itu memukul perempuan itu pada mukanya, sampailah dia terjatuh ke tanah. Lelaki itu kemudiannya kelihatan mengambil sebuah objek yang telah terjatuh bersebelahan kepala perempuan itu.
Kapsyen Cina yang diterjemah kepada bahasa Malaysia menyatakan: “Semua orang tolonglah dengan mengongsikan ini dan gunakanlah kuasa Internet untuk mencari penjahat ini. Terima kasih semua. Janganlah bagi kawan-kawan, keluarga ataupun kanak-kanak menjadi mangsa seterusnya. Kejadian ini berlaku tengahari semalam, kira-kira 12.20pm di Raja Uda, Butterworth.”
Raja Uda merupakan jalan di Butterworth, sebuah bandar di Penang, Malaysia.
Di bawah adalah tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan:
Video juga sudah ditonton hampir 200 kali di sini di Facebook dengan dakwaan yang sama.
Video yang sama juga telah ditonton lebih daripada 200 kali di saluran YouTube ini pada Februari 2019 yang mendakwa insiden tersebut berlaku di Hong Kong.
Suratkhabar Sin Chew Daily juga telah memasukkan tangkapan skrin video dalam repot Februari 2019 ini, yang menyatakan video ini menunjukkan rompakan di stesen keretapi di Cheras, Kuala Lumpur.
Dakwaan itu tidak benar: rompakan itu berlaku pada November 2018 di sebuah kota di Romania.
Carian imej terbalik Google menggunakan “keyframes” daripada video mendapati klip yang lebih panjang yang diterbitkan di beberapa repot media Romania.
Versi video yang berkualiti lebih baik dan lebih panjang telah diterbitkan di sini oleh suratkhabar Romania Adevărul pada 19 November 2018.
Video selama 48 saat itu diterjemahkan daripada bahasa Romania kepada bahasa Malaysia sebagai: “Seorang perempuan muda diserang di lif bangunan apartmen di Alba Iulia.”
Video itu memberi maklumat tambahan mengenai apa yang terjadi sebelum rompakan itu.
Klip itu menunjukkan empat orang, termasuk wanita dan lelaki itu berjalan masuk ke dalam bangunan. Dua orang di hadapan kemudiannya memasuki lif, meninggalkan wanita itu bersendirian dengan lelaki itu di belakangnya. Kira-kira 10 saat kemudian, wanita itu diserang dan dirompak.
Alba Iulia terletak di barat tengah Romania.
Seorang wartawan AFP di biro Bucharest menterjemahkan tajuk repot itu sebagai: “VIDEO Rakaman mengejutkan! Seorang perempuan muda dipukul sampai jatuh dan dirompak di depan lif dalam bangunan apartmen di Alba Iulia. Pencuri itu mengambil telefon bimbitnya dan melarikan diri.”
Sesetengah artikel, diterjemahkan daripada bahasa Romania kepada bahasa Malaysia, menyatakan: “Serangan yang mengejutkan pada seorang perempuan muda di pintu masuk bangunan apartmen di Alba Iulia telah dirakam oleh kamera pengawasan.
“Polis sedang menyiasat kes ini. Perempuan ini telah dipukul oleh seorang lelaki yang tidak dikenali semasa menunggu lif. Perempuan itu hilang kesedaran dan lelaki itu mendekatinya, berkemungkinan dengan niat untuk merompaknya.
“Seluruh kejadian hanya selama beberapa saat. Lelaki itu mengambil telefon bimbitnya dan menghilangkan diri. Ia nampaknya serangan itu berlaku di blok apartmen M3 di daerah Cetate. Ia berlaku pada 6pm Sabtu, 17 November.”
Berikutnya tangkapan skrin perbandingan tiga detik di video pada pos yang mengelirukan (kiri) dan video Adevărul (kanan):
Polis Romania telah mengeluarkan kenyataan ini mengenai insiden itu pada 20 November 2018.
Sesetengah bahagian kenyataan itu diterjemahkan kepada Malaysia sebagai: “Pada 19 November 2018, pengawai daripada unit penyiasatan jenayah Polis Daerah Alba mengesahkan seorang penduduk 33 tahun sebagai suspek rompakan.
“Lelaki itu dituduh memukul dan mencuri telefon bimbit daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang sedang menunggu lif di bangunan apartmen di Alba Iulia.
"Dia akan menghadap Mahkamah Daerah Alba hari ini, 20 November, dan pendakwa raya akan memutuskan tindakan undang-undang yang sesuai terhadap suspek."
Insiden itu telah dilaporkan di sini oleh saluran TV Romania Pro TV; di sini oleh Libertatea, suratkhabar Romania; dan di sini dalam bahasa Inggeris oleh portal berita dalam talian The Romania Journal.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami