Repot tipu mendakwa China mencari kebenaran Mahkamah Agung untuk mencabut nyawa 20,000 pesakit koronavirus

Sebuah artikel mendakwa kerajaan China telah mencari kebenaran Mahkamah Agung untuk mencabut nyawa lebih daripada 20,000 pesakit novel koronavirus di dalam usaha untuk mengurangkan penularan epidemik telah dikongsikan di beberapa posting Facebook. Dakwaan itu adalah tidak benar: artikel tersebut telah diterbitkan di sebuah laman sesawang yang biasa mengeluarkan repot penipuan, dan China tidak membuat sebarang kenyataan seperti itu.

Tangkapan skrin artikel yang dikatakan itu telah diterbitkan di sini di Facebook pada 13 Februari 2020 dan dikongsikan lebih daripada 80 kali.

Kapsyen posting Facebook menyatakan: “Negara China memohon kebenaran mahkamah utk membunuh 20,000 pesakit coronavirus.”

Ia menunjukkan sebuah artikel oleh “City News”, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, bertajuk “China mencari kebenaran dari mahkamah untuk membunuh lebih daripada 20,000 pesakit koronavirus untuk mengelakkan penyebaran lebih lanjut virus ini.”

Sebahagian teks menyatakan: “Tahap tertinggi mahkamah di China, Mahkamah Agung Rakyat, dijangka akan memberi kebenaran pada Jumaat [7 Februari] untuk pembunuhan besar-besaran pesakit koronavirus di China sebagai cara pasti untuk mengawal penyebaran virus yang berbahaya ini.”

Novel koronavirus telah mencabut nyawa sekurang-kurangnya 3,100 orang dan menjangkiti lebih daripada 90,000 orang di seluruh dunia, dalam pada itu lebih daripada 2,900 kematian dan sekitar 80,000 kes positif adalah dari China, lapor AFP  di sini pada 4 Mac 2020.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu: 

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

AFP menjumpai artikel asal yang dilihat di dalam posting yang mengelirukan diterbitkan di sini pada laman sesawang bernama “City News” pada 6 Februari 2020.

Di bawah adalah tangkapan skrin repot itu:

Image
Tangkapan skrin repot itu

Artikel “City News” juga dikongsikan di Facebook di sini dengan dakwaan yang serupa. 

Selain itu, artikel itu dikongsikan bersama-sama dakwaan yang serupa dalam bahasa Tagalog di sini di Facebook, dalam bahasa Inggeris di sini di Twitter, dan di sini di Reddit.

Cerita tersebut juga dikongsikan oleh surat khabar dari Lagos, Independent Nigeria di platform media sosial di sini dan sini. Dakwaan tersebut juga muncul dalam talian di sini di Kenya, dan juga di sini dan sini di Sepanyol.

Dakwaan itu tidak benar; Mahkamah Agung China tidak membuat sebarang penghakiman sedemikian pada 7 Februari 2020.

--Laman sesawang yang mencurigai--

Laman sesawang di mana dakwaan tersebut muncul, ab-tc.com, mempunyai sejarah menghasilkan repot penipuan.

Sebelum ini, AFP Fact Check pernah membongkar beberapa cerita daripada laman sesawang ini, termasuklah satu siri artikel dari Ogos 2019 yang dengan palsunya mendakwa bahawa polis menghentikan penembakan besar-besaran di beberapa bandar AS, dan sebuah artikel yang diterbitkan Julai 2019 yang mendakwa sebuah kelab malam di Canada telah ditutup kerana menjual daging manusia.

Kesemua artikel di laman sesawang itu yang disemak fakta oleh AFP telah diterbitkan dengan nama penulis “Local Correspondent”, mencadangkan tiada atribusi secara langsung cerita-cerita itu kepada penulis khusus.

Ab-tc.com tidak mempunyai seksyen “Tentang Kami” dengan maklumat mengenai siapa yang mengendalikan platform itu. Ia juga tidak mempunyai penafian yang melabelkan kandungannya sebagai fiksyen ataupun satira.

Carian di Whois, sebuah pangkalan data awam untuk maklumat pendaftaran nama domain, menjumpai bahawa domain laman web tersebut didaftarkan di Guangdong, China dengan Wild West Domains yang berpusat di AS pada 14 June 2019.

Di bawah adalah tangkapan skrin keputusan tersebut:

Image
Tangkapan skrin yang diambil pada 7 Februari, 2020, yang menunjukkan maklumat domain ab-tc.com

--Tiada bukti terdapat pendengaran mahkamah--

AFP menjalankan carian kata kunci ke atas Pusat Maklumat Internet China yang dikendalikan oleh kerajaan mengenai rancangan kerajaan yang dicadangkan, tetapi tidak menjumpai sebarang keputusan yang sepadan dengan dakwaan tersebut.

Laman sesawang Mahkamah Agung Rakyat China juga tidak menyebut tentang sebarang pendengaran yang berkaitan.

Di bawah adalah tangkapan skrin laman sesawang Mahkamah Agung China, seksyen pendengaran terjadual. Tiada sebarang kes yang berkaitan dengan novel koronavirus:

Image
Tangkapan skrin laman Mahkamah Agung China

Kes mahkamah yang dikatakan itu juga tidak muncul dalam repot situasi harian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dakwaan tidak benar eutanasia di China itu juga telah dibongkar oleh laman web semakan fakta Snopes dan Africa Check.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami