Video ini menunjukkan para pekerja membuka bumbung yang dipenuhi kelawar di Florida, Amerika Syarikat, pada 2011

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah video  menunjukkan sekumpulan kelawar bersarang di bawah jubin bumbung telah ditonton ratusan kali di dalam beberapa posting Facebook yang didakwa menunjukkan punca wabak novel koronavirus yang berterusan di China. Dakwaan itu tak benar: video itu telah beredar dalam talian sejak sekurang-kurangnya Julai 2011 dan sebenarnya menunjukkan pembaikan ke atas bumbung yang diselubungi kelawar di bandar Miami di Amerika Syarikat.

Video tersebut telah dikongsi di Facebook di sini pada 3 Februari 2020 dan telah ditonton lebih dari 690 kali.

Rakaman sepanjang tiga minit, empat saat itu menunjukkan orang menaikkan jubin-jubin daripada bumbung rumah dan dalam proses tersebut mendedahkan sekumpulan kelawar di bawahnya.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia, kapsyennya membaca: “Di bawah setiap jubin, terdapat banyak kelawar, sebanyak 10 kelawar. Berapakah banyak jubin bumbung yang terdapat di sebuah rumah di Wuhan? Terdapat ratusan kelawar di bawah jubin bumbung di Wuhan.

Kapsyen dalam bahasa Malaysia membaca: “kredit petikan dari WA group

“Sumbernya telah dijumpai. Ternyata banyak bumbung di Wuhan, Hubei Province,ditutup dengan kelawar kekwa, sejenis kelawar.” 

Kenyataan yang sama juga diulangi dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris dalam posting yang mengelirukan tersebut.

Novel koronavirus, yang dipercayai muncul dari sebuah pasar hidupan liar di Wuhan, China, pada lewat 2019, telah merebak ke lebih daripada 20 negara lain, termasuk Malaysia. Ia meragut lebih daripada 1,100 nyawa di tanah besar China serta dua lagi di Filipina dan Hong Kong, menurut laporan AFP pada 12 Februari 2020 ini.

Video tersebut juga dikongsi di sini, sini dan sini di Facebook dengan dakwaan yang serupa dalam tiga bahasa. Ia juga dikongsi di laman Facebook di Nigeria di sini dan sini.

Video itu juga dikongsi bersama-sama dakwaan yang serupa di dalam bahasa Inggeris di sinisini dan sini di Facebook; dan di sini dan sini di Twitter.

Dakwaan itu tak benar: video itu telah beredar dalam talian sejak sekurang-kurangnya Julai 2011 dan menunjukkan pembaikan ke atas bumbung yang diselubungi kelawar di bandar Miami, Florida, AS.

Carian imej terbalik dari “keyframes” yang didapati dari video di dalam posting yang mengelirukan itu mendapati video yang lebih panjang ini yang disiarkan dalam saluran YouTube sebuah syarikat pembaikan bumbung di AS, Istueta Roofing, pada 5 Julai 2011. 

Video sepanjang tiga minit, 22 saat itu itu berjudul: “Infestasi kelawar di bawah jubin bumbung - Pembaikan bumbung Miami, Florida.”

Keterangan video menyatakan: “Krew kami mengalami kekejutan apabila mereka mula menyingkirkan bumbung lama pelanggan dan beratus-ratus kelawar terbang keluar dari bawah jubin-jubin. Ia memang tidak disangka!”

Di bawah adalah tangkapan skrin perbandingan video di dalam posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video di laman YouTube Istueta Roofing (kanan):

Tangkapan skrin perbandingan video di dalam posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video di laman YouTube Istueta Roofing (kanan)

Video yang sama juga boleh didapati pada laman sesawang syarikat pembaikan bumbung itu di sini.

Dalam perbualan telefon dengan AFP pada 6 Februari 2020, salah seorang pemilik Istueta Roofing, Ariel Istueta, berkata video itu telah diambil di AS pada 2011.

“Ini bukan dari China, ini adalah video dari 2011, apabila bekas pengurus projek kami Danny Argote pergi membaiki bumbung yang mempunyai infestasi kelawar di kawasan Pinecrest di pinggir bandar Miami di Florida,” katanya.