Video ini menunjukkan solat sunat Aidilfitri di China pada Jun 2019 – beberapa bulan sebelum penularan wabak koronavirus

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton jutaan kali di pelbagai posting di Facebook dan YouTube bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan warganegara China bukan Islam menunaikan solat Jumaat selepas penularan wabak novel koronavirus pada Disember 2019. Dakwaan itu tak benar. Video itu sebenarnya menunjukkan solat sunat Aidilfitri di Yiwu, sebuah bandar di China yang menarik banyak pedagang Muslim dari luar negara, pada Jun 2019, beberapa bulan sebelum penularan wabak novel koronavirus.

Video ini dimuat naikkan ke YouTube pada 8 Februari 2020. Ia telah ditonton melebihi 175,000 kali.

Video berdurasi empat minit dan 33 saat itu menunjukkan orang ramai menunaikan solat di hadapan masjid.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan:

Tangkapan skrin posting yang mengelirukan yang diambil pada 16 Jun 2020

Tajuk video tersebut ialah: “Solat Jumaat Di China Penuh. Semua Warga Bukan Islam Juga Berbondong-bodong Mengikuti Solat.” 

Keterangannya menyatakan: “PERHATIAN: Kami tidak dapat mengesahkan perkara ini. Apa pandangan anda.

“Maklumat awal yang diterima:
Tidak ada sorangpun warga muslim yang terkena jangkitan virus corona.

“Berikutkan berita ini, pemerintah cina memberi kelonggaran kepada semua warga muslim untuk melaksanakan solat di masjid. Dengan harapan agar umat islam ini berdoa supaya isu corona virus ini dapat di atasi.

“Semua warga cina yang bukan muslim juga turut serta dalam solat ini. Allahuakbar!”

China pertama kali melaporkan tentang wabak novel koronavirus pada akhir Disember 2019, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sini

Sehingga 15 Jun 2020, hampir 85,000 kes COVID-19 disahkan dan lebih daripada 4,600 kematian dicatatkan, menurut data WHO.  

Rakaman yang sama telah ditonton lebih daripada 22,000 kali setelah dikongsikan di Facebook di sini, serta di YouTube di sini dan sini, dengan dakwaan yang serupa.

Video yang sama juga telah ditonton melebihi 2.7 juta kali selepas ia dimuat naikkan dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Indonesia di Facebook di sini, sini dan sini; di Twitter di sini; dan di YouTube di sini dan sini.

Dakwaan itu tak benar. Video tersebut sebenarnya menunjukkan solat sunat Aidilfitri di Yiwu, sebuah bandar di bahagian timur China, yang banyak menarik para pedagang Muslim dari luar negara, pada Jun 2019, sebelum penularan wabak novel koronavirus.  

Carian imej terbalik diikuti dengan carian kata kunci di Google menjumpai versi klip yang lebih panjang dalam video langsung Facebook ini bertarikh 5 Jun 2019.

Video berdurasi 36 minit tujuh saat telah dimuat naikkan di akaun Facebook milik pengguna Facebook Mak Mohamed.

Di bawah adalah tangkapan skrin video Facebook itu:

Tangkapan skrin video Facebook tulen

Kapsyennya, diterjemah dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Solat sunat Aidilfitri di China, Yiwu, wilayah Zhejing”.

Yiwu ialah sebuah bandar yang terletak di Zhejiang, wilayah pesisir timur China. 

Ia terkenal sebagai pusat perdagangan yang menarik para peniaga dan pedagang Muslim asing, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian di sini dan penyiar Australia SBS di sini.

Agensi Berita Xinhua yang dikendalikan oleh negara China melaporkan di sini bahawa umat Islam di seluruh China menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 5 Jun 2019, pada hari yang sama Mohamed menyiarkan video tersebut di Facebook.

Seorang lelaki kedengaran berbahasa Malayalam bercakap kepada kamera pada awal rakaman langsung Facebook tersebut. Komennya, diterjemah ke bahasa Inggeris, sebagai: “Saya berada di solat sunat Aidilfitri di masjid ini di Yiwu, China. Saya membuat ini secara langsung kerana saya selalu mendengar orang ramai menimbulkan keraguan terhadap kebebasan beragama – apakah umat Islam, Kristian dan Hindu dibenarkan untuk mengamalkan kepercayaan agama mereka di China. Di sini, jalan raya disekat, polis berada di sekitar dan orang ramai dibenarkan untuk menunaikan solat walaupun di jalan raya. Tidak nampak pun keadaan sebegitu di negara-negara Islam. Saya tidak akan menjelaskan dengan panjang lebar tetapi ini adalah untuk membetulkan salah faham yang ramai ada (tentang China).”

Kerajaan China telah dituduh menahan etnik Uighur dan minoriti Muslim lain di ratusan kem tahanan di Xinjiang, di bahagian barat China, dan mendesak mereka untuk melepaskan rukun kepercayaan mereka seperti berdoa, seperti yang dilaporkan oleh AFP di sini dan sini.

Rakaman di dalam posting yang mengelirukan bermula dari tanda 2:27 di dalam video langsung Facebook.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video asal (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin antara video di dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video asal (kanan)

Pemandangan “street view” Masjid Yiwu boleh dilihat di sini di Baidu Maps, dan berpadanan dengan adegan-adegan yang kelihatan di dalam video. 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara masjid di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan Masjid Yiwu di Baidu Maps (kanan). AFP telah membulatkan beberapa ciri yang menonjol dalam warna merah.

Perbandingan tangkapan skrin antara masjid di dalam video yang mengelirukan (kiri) dan Masjid Yiwu di Baidu Maps (kanan)
KORONAVIRUS