
Satu video menunjukkan kebakaran dari nahas kereta api di Mesir, selebihnya menunjukkan kebakaran di bandar Ajman, UAE
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 18/09/2020 jam 05:15
- Durasi bacaan 5 minit
- Oleh: AFP Thailand, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video-video tersebut telah dimuat naikkan pada 13 Ogos 2020 di catatan Facebook ini, yang telah dikongsi melebihi 22,000 kali.

Kapsyennya menyatakan: “Dubai, UAE
Letupan dan Kebakaran di Irani Market.”
Sebuah kebakaran besar di Pasar Awam Ajman, yang dikenali ramai sebagai Pasar Iran, pada 5 Ogos 2020, telah memusnahkan lebih daripada 100 kedai, seperti yang dilaporkan oleh The National dan Khaleej Times, dua surat khabar dari UAE. Tiada korban nyawa dilaporkan, kerana pasar tersebut telah ditutup berbulan-bulan sebagai sebahagian dari langkah keselamatan COVID-19.
Video-video itu juga dikongsikan di Facebook, Twitter dan Instagram, dengan dakwaan yang serupa.
Dakwaan tersebut mengelirukan: tiga daripada video-video tersebut menunjukkan kebakaran di sebuah pasar di bandar Ajman, UAE, manakala satu video lagi menunjukkan kebakaran di Mesir pada waktu yang berbeza.
Video pertama
Carian imej terbalik di Google menggunakan keyframes yang diekstrak dengan InVID-WeVerify, alat pengesahan digital, mendapati video yang sama disiarkan di sini di surat khabar The National bertarikh 1 Mac 2019.
Laporan bahasa Inggeris tersebut bertajuk: “Wira kebakaran kereta api Kaherah: Saya bertindak tanpa berfikir, kemudian kembali bekerja.”
Laporan itu menceritakan kisah seorang pekerja kantin yang mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan mangsa yang cedera dalam nahas kereta api yang tidak terkawal di stesen kereta api Ramses di Kaherah, ibu negara Mesir.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video pertama di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video di dalam laporan The National (kanan):

Video kedua
Carian imej terbalik tangkapan skrin dari video kedua mendapati klip yang sama disiarkan di YouTube di sini pada 5 Ogos 2020.
Tajuk klip berbahasa Arab itu diterjemahkan ke bahasa Malaysia sebagai: “Kebakaran di Ajman #Pasar #Iran hari ini kebakaran di #Ajman #UAE”.
Pasar Iran terletak di Ajman, sebuah bandar di UAE yang terletak sekitar 40 km dari Dubai.
Video yang sama juga muncul di dalam laporan ini dari SéUno Noticias, laman web media Mexico, tentang kebakaran di Pasar Awam Ajman pada 5 Ogos 2020.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video kedua di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video dari YouTube (kanan):

AFP juga telah membuat perbandingan tangkapan skrin video kedua dari catatan yang mengelirukan dengan pemandangan dari Google Street View di bawah:

Video ketiga
Carian imej terbalik keyframe yang diekstrak dari video ketiga membawa kepada ciapan ini oleh RT, rangkaian televisyen yang dikendalikan oleh negara Rusia, yang disiarkan pada 6 Ogos 2020.
HUGE blaze breaks out at food market in #Ajman, #UAE
— RT (@RT_com) August 5, 2020
MORE: https://t.co/op1oyFEVHC pic.twitter.com/CUh4fdzDgr
Ciapan tersebut, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Kebakaran BESAR berlaku di pasar makanan di #Ajman, #UAE”.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video ketiga di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video dari ciapan RT (kanan):

Video keempat
Carian imej terbalik diikuti dengan carian kata kunci di Google mendapati video yang sama mengenai kebakaran di pasar Ajman disiarkan di sini di dalam saluran YouTube surat khabar Mesir Al-Masry Al-Youm pada 5 Ogos 2020.
Videonya, diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Malaysia, bertajuk: “Kebakaran yang besar di pasar Ajman di UAE”.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin video keempat di dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video dari saluran YouTube Al-Masry Al-Youm (kanan):

AFP juga telah membuat perbandingan tangkapan skrin video keempat dari catatan yang mengelirukan dengan pemandangan dari Google Street View di bawah:

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami