
Gambar-gambar ini menunjukkan dua gereja Portugis dihiasi dengan tulang penganut
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 26/08/2020 jam 12:30
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Imej tersebut telah muncul di sini di Facebook pada pada 7 Ogos 2020 dan telah dikongsikan lebih daripada 80 kali.
Imej pertama menunjukkan sebuah bilik yang dihiasi dengan tengkorak; imej kedua menunjukkan dinding yang dipenuhi dengan tengkorak dan tulang.
Sebahagian kapsyennya berbunyi: “Ini adalah gereja yang dibangun dari tulang-tulang umat Islam yang menolak untuk dikristenkan di Andalusia, dan gereja ini terletak di Portugal. Satu di antara tempat-tempat wisata yang terbuka untuk pengunjung, kami menemukan Gereja Capela dos Ossos di kota Evora Portugis yang dibangun sepenuhnya oleh seorang biarawan Fransiskan seluruhnya dari tulang-tulang kaum Muslim Andalusia yang terbunuh dan dikuburkan di kuburan massal di dekat tempat lokasi gereja
“Dalam Gereja ini juga terdapat dua mayat kering yang digantung di dinding dengan rantai, dan salah satu dari mayat ini milik seorang anak Muslim yang dicekik dan kemudian dikeringkan untuk disimpan di dalam gereja.
“Capella dos Osos juga mengoleksi sekitar 5.000 kerangka manusia Muslim Moor, yang menolak memeluk agama Kristen setelah kejatuhan Andalusia…”

Andalusia adalah merupakan sebuah wilayah di selatan Sepanyol.
Moor merujuk kepada anggota populasi Islam di Andalusia.
Imej tersebut juga dikongsikan di Facebook di sini, sini dan sini, dengan dakwaan yang serupa.
Selain itu, kedua gambar tersebut juga muncul dengan dakwaan serupa di Indonesia: di Facebook di sini dan sini, dan di Twitter di sini.
Foto-foto itu juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
Dakwaan itu tak benar.
Gambar pertama
Carian imej terbalik di Google, disusuli dengan carian kata kunci mendapati bahawa imej tersebut pernah dimuat naikkan di Twitter di sini pada 15 September 2018. Foto itu termasuk tiga imej lain, yang menunjukkan tengkorak di dinding.
Capela dos Ossos, Faro, Portugal #ESHE2018 pic.twitter.com/hxzyDLdvvu
— Kate Wong (@katewong) September 15, 2018
Ciapannya berbunyi: “Capela dos Ossos, Faro, Portugal #ESHE2018”.
Gambar-gambar itu telah dimuat naik oleh Kate Wong, editor kanan di majalah Scientific American, yang juga mengatakan bahawa dia mengunjungi tapak itu.
Capela dos Ossos terletak di Faro, sebuah kawasan perbandaran di Portugal.
Menurut “Lonely Planet Best of Portugal”, Capela dos Ossos di Faro dibina di belakang gereja yang dipanggil Igreja de Nossa Senhora do Carmo. Gereja ini siap dibina pada tahun 1719.
“Dimasuki melalui gereja di belakang, Capela dos Ossos dari abad ke-19 dibina dari tulang dan tengkorak melebihi 1,000 biarawan sebagai peringatan akan ketidakkekalan duniawi," kata buku itu.
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara imej pertama dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto asal di Twitter (kanan):

Gambar kedua
Carian imej terbalik di Google, disusuli dengan carian kata kunci menjumpai imej kedua itu di laman sesawang foto stok Twenty20 di sini.
Di bawah adalah tangkapan skrin foto di laman sesawang Twenty20:

Foto yang sama juga muncul di sini di laman web iStockphoto, bertarikh 10 Ogos 2017, dan dikreditkan kepada jurugambar yang sama, Steve Allen.
Di kedua-dua laman web tersebut, kapsyennya menyatakan: “Capela dos Ossos atau Gereja Kecil Tulang - adalah salah satu monumen terkenal di Evora, Portugal. Ia adalah gereja kecil dalaman yang terletak di sebelah pintu masuk Gereja St. Francis. Gereja kecil itu mendapat namanya kerana dinding dalamannya dipenuhi dan dihiasi dengan tengkorak dan tulang manusia.”
Capela dos Ossos di Evora adalah sebahagian daripada Igreja de Sao Francisco (Gereja St Francis), yang pertama kali dibina oleh biarawan Fransiskan yang tiba dari Galicia pada tahun 1224.
Diterjemah dari bahasa Portugis ke bahasa Malaysia, dua ayat yang pertama dari halaman ini di laman web rasmi gereja itu menyatakan: “Gereja Kecil Tulang, dibina pada abad ke-17, mengamalkan model yang menjadi ikut-ikutan pada waktu itu, dengan tujuan untuk memprovokasi, melalui gambaran, bayangan tentang ketidakkekalan hidup manusia dan akibat daripada komitmen terhadap pengalaman Kristian yang kekal. Dinding dan tiang dipenuhi dengan beberapa ribu tulang dan tengkorak, dari ruang penguburan yang bersambung dengan biara.”
Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara imej kedua dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto dari laman sesawang Twenty20 (kanan):

Laporan semak fakta AFP ini telah membongkarkan dakwaan yang sama menggunakan imej yang berlainan dari beberapa gereja di Eropah, termasuk gereja kecil tulang di Faro dan Evaro, seperti yang disebut di atas.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami