Video ini adalah simulasi komputer yang dibuat oleh pengguna YouTube pada tahun 2015

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 25/08/2020 pukul 11:00
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Singapura, AFP Malaysia
Sebuah video telah ditonton lebih daripada sejuta kali dalam beberapa catatan di Facebook dan YouTube bersama-sama dakwaan ia menunjukkan pegawai Jepun melancarkan bunga api yang pada awalnya dirancangkan untuk Sukan Olimpik Tokyo yang kini ditangguhkan. Dakwaan itu tak benar: video tersebut adalah simulasi komputer yang dibuat oleh seorang pengguna YouTube pada tahun 2015. 

 

Video itu disiarkan di sini di Facebook pada 14 Ogos 2020. Ia telah ditonton lebih daripada 2,600 kali.

Video berdurasi dua minit dan 57 saat itu menunjukkan bunga api meletup di hadapan Gunung Fuji di Jepun. Muzik “William Tell Overture” dari Gioachino Rossini kedengaran di latar belakangnya.

Image

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 25 Ogos 2020 

Kapsyennya menyatakan: “Bunga api yang sepatutnya untuk Tokyo Olympic 2020.

“Dilancar berlatar belakang gunung Fuji pada waktu sekarang sebab stok tak boleh simpan lama. Worthy untuk tengok dan simpan dalam Facebook

“*Pasang bunyi please.”

Pada 30 Mac 2020, penganjur Olimpik Tokyo memutuskan untuk menangguhkan acara tersebut sehingga 23 Julai 2021 disebabkan pandemik koronavirus, seperti yang dilaporkan di sini oleh AFP.

Video tersebut juga dikongsikan di Facebook bersama-sama dakwaan yang serupa di sini dan sini

Video itu telah ditonton lebih daripada 1.3 juta kali setelah muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Facebook di sini, sini dan sini; dan dalam bahasa Jepun di YouTube di sini

Dakwaan itu tak benar.

Video simulasi

Carian imej terbalik, diikuti dengan carian kata kunci di Google mendapati rakaman tersebut pada asalnya disiarkan pada 1 Disember 2015 di YouTube di sini oleh pengguna hiramu55bocaboca, yang selalunya menyiarkan video berkaitan dengan bunga api.

Judul video itu, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berbunyi: “FWsim Pertunjukan Bunga Api Segerak Gunung Fuji”. 

Kapsyennya menyatakan: “Satu karya baru dalam hampir setahun. Seperti karya terakhir, saya mendasarkannya pada khayalan fantasi, seperti ‘Kami mengadakan festival bunga api besar pada musim sejuk di Tasik Kawaguchi dengan kerjasama penuh dari Persatuan Perikanan Tasik Kawaguchi untuk meraikan pengiktirafan Gunung Fuji sebagai tapak Warisan Dunia.’ Jadi latar belakangnya ialah Tasik Kawaguchi. Kebolehan saya sebagai pengarah tidak berkembang walaupun dibandingkan dengan tahun lalu. Tetapi berkat alat hebat yang dibangunkan oleh Encik Anonymous, kualiti peluru telah meningkat dengan pesat! Sila rasakan kekuatan pemusnahan peluru kritikal. Juga, kali ini, saya memasukkan bayang-bayang pada permukaan akhir! Bagaimanapun, dengan lagu up-tempo, ia benar-benar membunuh Tuan Fuji di latar belakang, bukan? ^ ^ ; Tidakkah ini rasa seperti keputusan yang baik?”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin pelbagai adegan dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan): 

Image

Perbandingan tangkapan skrin pelbagai adegan dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan) 

Dalam responsnya kepada catatan mengelirukan pada 17 Ogos 2020, pengguna YouTube hiramu55bocaboca berkata namanya ialah Hisashi Kinoshita. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia, dia menjawab AFP melalui e-mel: “Ia bukan bunga api sebenar.” 

Kinoshita kemudian menjelaskan bahawa dia menggunakan perisian simulasi, FWsim, yang “dapat mereka bola bunga api dan menggabungkannya untuk merancang pertunjukan bunga api … Gambar di latar belakang juga dapat diubah, jadi saya menggunakan Gunung Fuji di Jepun sebagai latar belakang”.
 

Pertunjukan bunga api

Jepun mengadakan beberapa pertunjukan bunga api pada 1 Jun 2020 di pelbagai tempat “untuk menghiburkan orang ramai, mendesak para dewa untuk mengakhiri pandemik koronavirus dan memberikan latihan untuk para artisan piroteknik yang bertenggang”, seperti yang dilaporkan oleh AFP di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami