Termometer inframerah adalah selamat dan tidak menyebabkan kanser, kata pihak berkuasa kesihatan
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 12/08/2020 pukul 05:30
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Gambar itu telah diterbitkan di sini di Facebook pada 24 Julai 2020.
Gambar itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai pelitup muka berwarna biru muda menggunakan termometer inframerah pada tangan seorang lelaki lain dalam pelitup muka berwarna hitam.
Kapsyennya menyatakan: “Di madinah & mekah, mereka tak ‘tembak’ suhu pd kepala tp pd tangan je pun boleh! Sbb laser tu dikhuatiri effect otak kalau ‘shoot selalu’ !
“Elakkan di ‘shoot’!”
Gambar tersebut juga dikongsikan bersama-sama dakwaan yang serupa di sini, sini dan sini di Facebook.
Dakwaan itu tak benar.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengulang ciap bebenang yang dibuat oleh seorang doktor tempatan, Muhamad Shazwan Sazali, mengulas video tular yang menyokong dakwaan mengelirukan yang sama.
Infrared Thermometer adalah selamat dan tidak menyebabkan kanser. https://t.co/eseaZKo4Sn
— KKMPutrajaya (@KKMPutrajaya) July 27, 2020
Ciapan KKM menyatakan: “Infrared Thermometer adalah selamat dan tidak menyebabkan kanser.”
Sebahagian ciapan Dr Shazwan menyatakan: “Infrared thermometer menyebabkan kanser? Saya tak tahu siapa yang buat video ni, tapi jelas ini tidak tepat.”
Selain itu, Dr Noor Hisham Abdullah, ketua pengarah kesihatan Malaysia, juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar ini pada 3 Ogos 2020. Sebahagiannya menyatakan: “Termometer inframerah tanpa sentuh bukanlah alat penembak dan tidak memancarkan radiasi. Ia direkabentuk untuk mengesan dan menyerap isyarat sinaran inframerah dari permukaan kulit yang diubah menjadi isyarat elektrik. Litar elektronik di dalam termometer ini memproses isyarat elektrik tersebut untuk menentukan suhu tubuh manusia yang diukur dan memaparkannya di skrin paparan. Oleh kerana termometer inframerah tidak memancarkan radiasi berbahaya, ianya selamat untuk digunakan.”
Dalam catatan Facebook bertarikh 4 Ogos 2020 ini, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, doktor perubatan dan pengasas bersama Medical Mythbusters Malaysia, menulis bahawa termometer inframerah tanpa sentuh “hanya ada sensor yang mengesan suhu di permukaan badan” dan suhu dikesan dari dahi kerana ia adalah “memberikan suhu badan yang lebih tepat berbanding 'tembak’ di tempat lain”.
Di dalam catatan Facebook bertarikh 25 Julai 2020 di sini, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) juga menjelaskan bahawa termometer inframerah adalah selamat untuk digunakan. Ia menyatakan: “Setiap objek dengan suhu melebihi 0 Kelvin (-273 darjah Celsius) akan menghasilkan sinaran atau spektrum inframerah. Termometer inframerah akan mengesan sinaran atau spektrum inframerah ini pada panjang gelombang di antara 8 - 14 mikrometer dan mengubahnya menjadi bacaan suhu. ... Tiada sinaran laser yang terlibat untuk julat suhu badan manusia.”
Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat menyatakan di sini bahawa termometer tembak “mungkin dapat mengurangkan risiko penyebaran penyakit di antara orang yang sedang dinilai”. Ia tidak mencadangkan termometer boleh membahayakan otak.
Carian imej terbalik di Google mendapati bahawa gambar yang dipaparkan di dalam catatan yang mengelirukan pernah muncul di galeri foto ini yang diterbitkan oleh Mizan Online News Agency, agensi berita dari Iran, pada 22 Julai 2020.
Di bawah adalah tangkapan skrin foto di laman sesawang Mizan – AFP telah membulatkan foto yang sama dalam warna merah:
Ayat pertama dari sub-tajuk berbahasa Parsi di galeri foto, berbunyi: “Setiap tahun, sebelum permulaan haji, tirai Kaabah diangkat dan kain linen putih diletakkan di sekitar Kaabah.”
Gambar lain di galeri foto menunjukkan seorang penjaga mengarahkan termometer inframerah ke dahi seorang lelaki, seperti yang ditunjukkan di bawah:
AFP Fact Check juga telah membongkar dakwaan tak benar yang sama mengenai termometer tembak menyebabkan kerosakan otak di sini dalam bahasa Inggeris dan membunuh neuron di sini dalam bahasa Sepanyol.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami