Pembantu kedai yang memakai topeng pelindung menyambut pelanggan di sebuah kedai jenama mewah Perancis, Chanel di Galeries Lafayette, di Paris, pada hari pertama pembukaan pusat beli-belah, pada 30 Mei 2020. (AFP / Alain Jocard)

Dakwaan yang mengelirukan tersebar dalam talian mengenai penutupan dan pemberhentian kerja di kedai jalan tinggi ketika pandemik koronavirus

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Catatan media sosial yang tersebar ribuan kali sejak sekurang-kurangnya Julai 2020 mendakwa bahawa beberapa kedai jalan tinggi telah menutup kedainya, memberhentikan pekerjanya atau menghentikan pengeluarannya disebabkan pandemik koronavirus. Dakwaan tersebut mengelirukan: wakil untuk kedai jalan tinggi tersebut memberitahu AFP terdapat ketidaktepatan dalam catatan yang mengelirukan itu.

Catatan ini diterbitkan di Facebook dalam bahasa Inggeris pada 4 Julai 2020 dan telah dikongsikan lebih daripada 1,100 kali. 

Sebahagiannya berbunyi: 
“1. Victoria’s Secret mengisytiharkan muflis.
2. Zara menutup 1,200 kedai.
3. La Chapelle menarik 4391 kedai.
4. Chanel dihentikan pengeluarannya
5. Hermes dihentikan pengeluarannya
6. Patek Philippe menghentikan pengeluaran.
7. Rolex menghentikan pengeluaran.
8. Industri mewah dunia telah berhenti pengeluaran.
Pelajaran: Kemewahan kehilangan daya tarikan pada masa krisis
9. Nike mempunyai sejumlah $23 bilion dolar AS sebagai persediaan untuk pemberhentian kerja peringkat kedua.
10. Tidak perlu dikatakan mengenai perjalanan udara dan pelancongan.
11. Pengasas AirBnb mengatakan bahawa kerana pandemik ini, usaha selama 12 tahun musnah dalam 6 -8 minggu.
12. Malah Starbucks juga baru saja mengumumkan untuk menutup 400 kedai mereka secara kekal.”

Ia juga mengatakan: “Di bawah berat pandemik mahkota baru, banyak raksasa menghadapi krisis kegagalan.”

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan yang diambil pada 18 Ogos 2020

Sehingga 1 September 2020, pandemik novel koronavirus telah menjangkiti lebih daripada 25 juta orang dan menyebabkan lebih daripada 848,000 kematian.

Dakwaan yang serupa juga muncul di sini di Facebook, di mana ia telah dikongsi lebih daripada 8,200 kali. 

Ia juga dikongsi dalam pelbagai bahasa lain, termasuk bahasa Malaysia, bahasa Turki, bahasa Thai dan bahasa Portugis, di Facebook dan juga di Instagram dan di Twitter.

Dakwaan tersebut adalah mengelirukan.

Dakwaan tentang Victoria’s Secret: Mengelirukan

Catatan tersebut menyatakan bahawa peruncit antarabangsa, Victoria’s Secret telah memohon kebankrapan.

Dalam responsnya kepada catatan yang mengelirukan, Stuart Burgdoerfer, ketua pegawai eksekutif (CEO) sementara Victoria’s Secret, berkata ia hanya memulakan proses kebankrapan untuk cawangannya di United Kingdom (UK).

“Kami sedang menangani kerugian 25 kedai kami di United Kingdom dengan melantik Deloitte untuk bekerja dengan Victoria’s Secret dalam pentadbiran,” beliau memberitahu AFP.

Menurut majalah Forbes di sini pada Mei 2020, jenama Amerika itu mengumumkan penutupan 250 kedai di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, kerana penurunan jualan secara mendadak disebabkan oleh pandemik novel koronavirus. 

Pada 28 Julai 2020, L Brands, kumpulan yang memiliki Victoria’s Secret, juga melaporkan bahawa ia akan mengurangkan sekitar 15 peratus pekerjaannya. 

 Dakwaan tentang Zara: Mengelirukan

Pada 10 Jun 2020, kumpulan Sepanyol Inditex – pemilik Zara, Pull&Bear, Massimo Dutti dan empat jenama lainmelaporkan di laman webnya bahawa dalam masa dua tahun ia akan menutup antara 1,000 dan 1,200 “cawangan lebih kecil, yang menyumbang 5% hingga 6% daripada jumlah jualan dan berada dalam kedudukan yang kurang baik untuk menawarkan pengalaman pelanggan baru”. 

Ia juga menambah bahawa ini adalah “cawangan lebih lama milik jenama selain Zara”. 

Walaupun pernyataan ini dari kumpulan Inditex diterbitkan semasa pandemik, dalam rancangannya untuk tahun 2022, ia tidak menyebut bahawa keputusan ini dibuat kerana novel koronavirus. Ia juga tidak menunjukkan cawangan mana yang akan ditutup atau menetapkan jenama mana dalam kumpulan itu yang akan terlibat.

Dakwaan tentang La Chapelle: Mengelirukan

Xinjiang LaChapelle Fashion adalah syarikat pakaian wanita yang berpusat di Shanghai. Menurut laporan tahunan 2019 di sini, syarikat itu mengurangkan jumlah kedai domestik dari 9,269 kepada 4,878 antara akhir tahun 2018 dan Disember 2019. Ini menandakan penutupan 4,391 kedai.

Sungguhpun begitu, penutupan kedai pada tahun 2019 telah berlaku sebelum penularan pandemik koronavirus. Wabak COVID-19 pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China, pada 31 Disember 2019.

Dakwaan tentang Chanel, Hermès, Patek Philippe dan Rolex: Sebahagian benar

Keempat-empat jenama ini menghentikan pengeluaran mereka disebabkan oleh pandemik novel koronavirus.

Rumah fesyen Perancis, Chanel juga memutuskan untuk menutup kilangnya di Perancis, Itali dan Switzerland secara berperingkat selama dua minggu bermula dari 18 Mac 2020.

Menurut laporan ini, “Chanel membuat keputusan, menurut garis panduan terkini dari kerajaan, untuk menutup lokasi pengeluaran sepenuhnya.” Walau bagaimanapun, beberapa lokasi pengedaran mengekalkan kehadiran minimum pekerja, berikutan pengambilan langkah-langkah perlindungan. 

Kumpulan mewah Perancis, Hermès pada pertengahan Mac 2020 mengumumkan bahawa ia akan “menutup tapak pembuatannya sehingga akhir bulan ini”.

Dalam laporan ini, pembuat jam tangan mewah Switzerland, Patek Philippe dilaporkan “menutup lokasi pengeluaran dan ibu pejabatnya” mulai dari 18 Mac hingga 27 Mac 2020. Namun begitu, laporan itu menyatakan tarikh tersebut “mungkin dinilai semula”. 

Dalam satu kenyataan yang dikongsi dengan AFP melalui e-mel, syarikat itu mengumumkan pada 27 April 2020, bahawa “Patek Philippe akan membuka semula kemudahan pengeluarannya dan semua jabatan lain bermula Isnin 27 April 2020, dengan pengurangan waktu kerja harian serta kehadiran kakitangan di lokasi, mengikut cadangan Kerajaan Switzerland. Semua pekerja yang sudah bekerja secara jarak jauh akan terus bekerja sehingga diberitahu kelak.”

Bagi Rolex, pembuat jam tangan mewah Switzerland, laporan ini memetik surat dalaman kepada pekerja dari CEO Jean-Frederic Dufour bahawa “Rolex akan menutup kemudahan pengeluaran di Geneva, Bienne, dan Crissier selama 10 hari berkuatkuasa Selasa, 17 Mac 2020.” 

Pasukan komunikasi jenama itu memberitahu AFP melalui e-mel bahawa hanya kilang di Switzerland ditutup dan bahawa, bertentangan dengan ramalan awal, aktivitinya disambung semula pada 4 Mei 2020, lebih dari sebulan selepas penutupan.

Dakwaan Nike: Mengelirukan

Jenama sukan Nike mengumumkan perubahan kepemimpinan kanan dalam satu pernyataan pada 22 Julai 2020, yang juga menyebutkan “kehilangan pekerjaan bersih di seluruh syarikat, yang mengakibatkan kos pemberhentian pekerja satu kali, sebelum cukai, sekitar $200 juta hingga $250 juta.” Walau bagaimanapun, dalam pernyataan rasmi ini, syarikat itu tidak menyatakan bahawa pemberhentian kerja ini berkaitan dengan novel koronavirus, tetapi menyatakan bahawa ini adalah sebahagian dari rancangan yang dipanggil “Pencepatan Langsung Pengguna”, yang bertujuan untuk “mencetus pertumbuhan jangka panjang dan keuntungan”.

Dalam responsnya kepada catatan yang mengelirukan, seorang jurucakap Nike memberitahu AFP: “Kami sedang membangunkan syarikat yang lebih tangkas dan mengubah Nike dengan lebih cepat untuk menentukan pasaran masa depan. Walaupun kami tidak menyediakan angka, perubahan tersebut dijangka akan menyebabkan kehilangan pekerjaan, yang selalunya sukar.”

Laporan media lain, seperti di sini dan di sini, melaporkan bahawa ketua eksekutif John Donahoe mengumumkan pemberhentian pekerja ini melalui e-mel kepada pekerjanya, menjelaskan bahawa mereka tidak berkaitan dengan novel koronavirus. 

Berbeza dengan catatan yang mengelirukan, tidak ada pengumuman yang berkaitan dengan pemberhentian pekerja sebelum ini dijumpai dalam siaran akhbar Nike terdahulu.

Sebuah kedai Nike di Fifth Avenue, New York, ketika bandar itu memasuki fasa kedua pembukaan semula pada 22 Jun 2020

Menurut kemas kini kewangan terbarunya, Nike melaporkan kerugian $790 juta dalam suku berakhir 31 Mei 2020, “dipengaruhi dengan ketara oleh penutupan kedai fizikal di seluruh Amerika Utara, EMEA dan APLA, di mana 90 peratus kedai milik NIKE ditutup selama kira-kira lapan minggu dalam suku itu.”  

Dakwaan tentang Airbnb: Benar

Brian Chesky, CEO dan pengasas Airbnb, mengatakan dalam temubualnya dengan CNBC pada 22 Jun 2020: “Kami menghabiskan 12 tahun untuk membangunkan perniagaan Airbnb dan kehilangan hampir segala-galanya dalam masa 4-6 minggu.”

“Pengembaraan seperti yang kita tahu sudah berakhir. Ini tidak bermakna perjalanan sudah berakhir, cuma perjalanan yang kita tahu sudah berakhir, dan ia tidak akan kembali,” tambahnya.

AFP melaporkan di sini bahawa Airbnb telah memecat seperlima tenaga kerjanya. 

Dakwaan tentang Starbucks: Sebahagian benar

Di laman web hubungan pelabur Starbucks, syarikat itu menerbitkan laporan pada Jun 2020, di mana ia mengumumkan bahawa ia akan menutup sehingga 400 kedai yang dikendalikan syarikatnya dalam tempoh 18 bulan akan datang di AS. 

Ia menasihatkan bahawa sebagai sebahagian dari strategi pemulihan perniagaannya, ia terpaksa “memeriksa kembali jejak kedainya di AS” dengan “[mengembangkan] kehadiran runcitnya dari waktu ke waktu melalui penyasaran pengubahsuaian kedai, penempatan semula dan kedai baru, satu proses yang telah berlangsung selama dua tahun”.

Syarikat itu juga mengatakan bahawa pembukaan kedai baru telah disambung semula selepas penularan COVID-19 mengganggu prosesnya, dan “sekarang menjangka akan membuka sekitar 300 kedai baru pada tahun fiskal 2020 untuk [AS], penurunan dari jangkaan asalnya sebanyak 600”, dalam usaha yang mencerminkan “peletakan semula yang dipercepatkan” untuk kedainya dengan menggabungkan format kedai dan mengoptimumkan portfolionya secara strategik terutama di pasaran bandar AS.

KORONAVIRUS