Tidak, ini adalah tapir Malaya

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Jumaat 02/08/2019 pukul 08:40
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Beberapa pos Facebook yang dikongsi ribuan kali mendakwa bahawa binatang yang ditunjukkan di gambar-gambar adalah seekor panda. Walau bagaimanapun, binatang yang berwarna hitam dan putih ini adalah tapir Malaya, spesies terancam yang berasal dari Asia Tenggara. 

Pos Facebook ini, dimuat naik pada 24 Julai 2019 dan dikongsi lebih daripada 2,500 kali, mendakwa gambar-gambarnya menunjukkan seekor panda.

Kapsyen tersebut menyatakan: “Teruk dah hutan kita ditarah, selepas harimau, beruang, kali ni sekor Panda pulak dijumpai berkeliaran di taman perumahan..”

Di bawah adalah tangkapan skrin pos yang mengelirukan:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Foto-foto tersebut juga dikongsi di Facebook di sini, sini dan sini dengan dakwaan yang sama.

Binatang di dalam kesemua gambar tersebut adalah seekor tapir Malaya -- mamalia berkaki empat dengan hidung seperti belalai dan warna putih dan hitam yang tersendiri.

Di bawah adalah perbandingan binatang daripada pos yang mengelirukan (kiri) dengan tapir Malaya yang ditunjukkan pada laman sesawang Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) (kanan):

Image
Tangkapan skrin perbandingan binatang daripada pos yang mengelirukan (kiri) dengan tapir yang ditunjukkan pada laman sesawang IUCN (kanan)

Menurut IUCN, tapir Malaya adalah spesies terancam yang berasal dari Indonesia (Sumatera), Malaysia, Myanmar dan Thailand.

Media tempatan Utusan Online telah melaporkan insiden tersebut di sini pada 23 Julai 2019, menggunakan dua foto yang sama seperti kelihatan di pos Facebook itu.

Tajuk artikel tersebut menyatakan: “Tapir tersesat di kawasan perumahan.”

Perenggan yang pertama menyatakan: “Penduduk di kawasan perumahan Lavender Heights di Senawang, dekat sini hari ini, dikejutkan dengan kehadiran seekor tapir yang dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.

“Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Kapten Md. Fadir Md. Nor berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari apabila haiwan tersebut memasuki halaman rumah penduduk.” 

Di bawah adalah tangkapan skrin laporan Utusan Online itu: 

Image
Tangkapan skrin repot Utusan Online

Panda adalah haiwan yang berasal dari China dan tidak boleh dijumpai secara liar di Malaysia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami