Video seruan ‘Allahu Akbar’ waktu perhimpunan Donald Trump? Ini video yang dimanipulasikan
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 27/08/2019 pukul 08:45
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia, AFP India
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video selama 40 saat dalam pos Facebook diterbitkan pada 8 Ogos 2018 di sini dan berkapsyen: “Sekali ada orang jerit ‘Allahuakhbar’ Menggelabah si Trump ni.”
Berikutnya tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan itu:
Video yang telah ditonton lebih dari 820,000 kali dan dikongsi lebih dari 17,000 kali itu menunjukkan Trump berucap di sebuah perhimpunan sebelum berhenti tiba-tiba dan kemudiannya dikelilingi oleh pengawal keselamatan selepas sebuah suara kedengaran dalam trek audio berkata “Allahu Akbar” -- “Tuhan Maha Besar” dalam bahasa Arab.
Terdapat pos-pos Facebook yang lain yang mempunyai dakwaan yang sama di sini, sini, sini dan sini.
Video yang sama juga telah ditonton hampir sejuta kali dan dikongsi puluhan ribu kali di Facebook, Twitter dan YouTube dalam pos-pos bahasa Hindi dengan dakwaan serupa.
Dakwaan itu tidak benar. Video itu telah menunjukkan kejadian pada 12 Mac 2016 di sebuah perhimpunan di Ohio apabila Trump sedang berkempen untuk menjadi presiden. Di dalam beberapa video insiden itu, tiada sesiapa pun kedengaran berkata “Allahu Akbar”.
Carian imej terbalik Google menggunakan “keyframes” yang diambil daripada video yang mengelirukan itu mendapati rakaman yang sama insiden tersebut yang diterbitkan oleh penerbit Amerika Syarikat ABC News pada 12 Mac 2016 di saluran YouTube rasminya di sini.
Video sepanjang 45 saat itu, diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia, berjudul: “Pengawal Trump Bergegas ke Pentas di Perhimpunan Ohio.”
Kapsyennya menyatakan: “Ejen Perkhidmatan Rahsia dikehendaki mendampingi Donald Trump di atas pentas semasa perhimpunannya di Ohio pada hari Sabtu, hanya sehari selepas beliau membatalkan sebuah acara gara-gara atas kebimbangan keselamatan.”
Ayat “Allahu Akbar” tidak pula kedengaran di dalam video tersebut.
Berikutnya imej perbandingan tangkapan skrin dari video di dalam pos Facebook yang mengelirukan (kiri) dan dari video ABC News (kanan):
Insiden Mac 2016 ini juga dilaporkan oleh media antarabangsa yang lain, contohnya di sini oleh NBC News dan di sini oleh laman sesawang BBC News.
Video yang lain tentang keseluruhan perhimpunan tersebut, yang selama 1 jam 20 minit, juga telah diterbitkan di sini oleh C-Span pada 12 Mac 2016.
Pada saat 53:30 dalam video tersebut, Trump dikelilingi oleh pengawalnya tetapi ayat “Allahu Akbar” tidak kedengaran dalam klip tersebut.
Sebuah video saat kejadian tersebut di Ohio yang dirakam daripada sudut yang berbeza dan dimuat naik ke YouTube pada 12 Mac 2016 di sini, juga tidak mempunyai ayat “Allahu Akbar”. Video tersebut di bawah:
Gambar AFP saat Ejen Perkhidmatan Rahsia mengelilingi Trump di atas pentas pada 12 Mac 2016 di perhimpunan itu boleh dilihat di sini.
Kapsyen gambar AFP menyatakan: “Ejen Perkhidmatan Rahsia mengelilingi calon presiden Republikan Donald Trump selepas sebuah botol dilontarkan ke atas pentas di perhimpunan kempen pada 12 Mac 2016 di Vandalia, Ohio. Hari ini merupakan perhimpunan pertama selepas rusuhan di perhimpunan Trump di Chicago semalam yang menyebabkan pembatalannya.”
Penceroboh kejadian tersebut kemudiannya dikenali sebagai Thomas Dimassimo. Dia didakwa dengan kelakuan tidak senonoh oleh pihak berkuasa, menurut laporan NBC News ini.
Dia juga didenda US $250 dan diletakkan dalam pengawasan selama satu tahun yang kemudiannya ditamatkan pada November 2016.
Dalam tweet ini pada 13 Mac 2016, Trump telah menyifatkan penceroboh tersebut sebagai seorang ahli Islamic State. Walau bagaimanapun, dakwaan Trump dinafikan oleh Dimassimo.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami