Tidak, Malaysia tidak termasuk dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu laman web yang serupa laporan berita dalam talian menyatakan bahawa Malaysia, bersama sembilan negara lain, dimasukkan di dalam Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat. Ini kenyataan palsu; warganegara Malaysia masih kena membuat permohonan untuk mendapat visa melawat Amerika Syarikat; Kementerian Luar Negeri Malaysia menyatakan maklumat dalam laporan itu “tidak betul”.

Laporan palsu yang memberi maklumat palsu itu diterbit di sini dalam satu laman web yang serupa sebuah pertubuhan berita yang sedia ada. Tajuk laporan itu ialah: “Amerika Syarikat telah menambah Jamaica, 9 negara yang lain ke dalam Program Pengecualian Visanya.”

Menurut SharedCount, sebuah alat dalam talian yang menjejak kongsian URL (petunjuk kedudukan sumber) dan sukaan di media sosial, laman tersebut dikongsi lebih daripada 2,000 kali di Facebook.

Di bawah adalah tangkapan skrin laporan palsu itu:

Tangkapan skrin laporan palsu

Nama laman web yang menerbitkan laporan palsu itu menggunakan nama “AP News” dengan berita itu kononnya ditulis oleh seseorang bernama “News AP Reporter”. Laman itu tidak memberi tarikh ataupun lokasi.

Pada masa yang sama, adanya sebuah agensi berita antarabangsa yang bernama Associated Press (AP) yang mengguna alamat laman web apnews.com. Laman web yang menerbit laporan palsu itu ada URL yang mirip, tapi tidak sama: news-ap.com. 

Di bawah adalah tangkapan skrin menunjukkan perbandingan logo pada laman web laporan palsu itu (kiri) dengan logo rasmi Associated Press (kanan), yang nampak jelas perbezaannya:

Imej membandingkan tangkapan skrin logo pada laman web laporan palsu (kiri) dan logo Associated Press (kanan)

Inilah laman web rasmi untuk Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat, yang mengatakan bahawa skim itu “membolehkan kebanyakan warganegara dari negara yang terlibat dalam program memasuki Amerika Syarikat untuk tujuan melancong atau bekerja, untuk tinggal selama 90 hari atau kurang daripada itu tanpa memperolehi visa”.

Laporan palsu itu telah menyenaraikan 10 negara yang kononnya telah diiktirafkan oleh AS ke dalam program itu, termasuk Malaysia.

Ia menyatakan: “Sepuluh negara tersebut adalah Argentina, Uruguay, Sierra Leone, Afrika Selatan, Malaysia, Jamaica, Hong Kong, Seychelles, Cayman Islands dan Georgia.”

Tuntutan ini palsu; di bawah ialah kenyataan rasmi daripada Kementerian Luar Negeri Malaysia bertarikh 2 Mei 2019, di mana Malaysia menafi penambahannya ke dalam program itu.

Di bawah ini ialah tangkapan skrin kenyataan tersebut:

Tangkapan skrin kenyataan rasmi

Kenyataan tersebut menyatakan: “Kementerian Luar Negeri Malaysia ingin menjelaskan bahawa artikel yang bertajuk AS menambah Jamaica, 9 negara lain ke dalam Progam Pengecualian Visanya menerusi pautan berita news-ap.com mengandungi informasi yang tidak betul. Portal berita itu telah menyatakan dengan salah bahawa Malaysia disenaraikan di bawah Program Pengecualian Visa AS.

“Sampai hari ini, tidak terdapat apa-apa perubahan dalam status Malaysia untuk Program Pengecualian Visa. Warganegara Malaysia yang ingin melawati AS masih dikehendaki untuk memohon visa dengan cara yang biasa.

“Kementerian ingin memanggil untuk pemberhentian segera pengongsian  berita melalui WhatsApp dan segala saluran komunikasi sosial yang lain.”

Negara-negara yang layak untuk Program Pengecualian Visa AS diterbitkan di laman web rasminya di sini. Malaysia tidak termasuk dalam senarai tersebut.

Di bawah adalah tangkapan skrin senarai negara-negara di mana warganegaranya boleh melawati AS tanpa visa:

Tangkapan skrin laman web

Warganegara Malaysia yang ingin melawati AS mesti memohon visa bukan pendatang. Laman web kedutaan AS di Malaysia di sini menyatakan bahawa seksyen konsularnya di Kuala Lumpur menyediakan khidmat visa.

Maklumat lanjut mengenai dokumen-dokumen yang diperlukan oleh warganegara Malaysia untuk membuat permohonan visa pelawat ke AS terdapat di laman web ini yang dikendalikan oleh CGI Federal, sebuah syarikat IT yang bekerjasama dengan kerajaan AS.

Foto yang diterbit dalam laporan palsu itu menunjukkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama Duta Jamaica kepada Amerika Syarikat, Audrey Marks. Kedua-dua orang tidak dinamakan dalam laporan itu.

Carian imej terbalik Tineye telah menjumpai foto yang sama yang telah diterbitkan bersama artikel ini di laman web The Gleaner, sebuah suratkhabar di Jamaica, pada 9 April 2017.

Di bawah adalah tangkapan skrin artikel tersebut:

Tangkapan skrin laman web