
Tidak semua gambar berkaitan dengan wabak influenza global satu abad yang lalu
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 03/07/2020 jam 10:35
- Durasi bacaan 7 minit
- Oleh: Brett HORNER, AFP Afrika Selatan, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Gambar-gambar tersebut dimuat naikkan di sini di Facebook pada 7 Jun 2020.
Gambar-gambar tersebut adalah koleksi foto hitam putih yang menunjukkan orang ramai memakai pelbagai jenis pelitup muka.
Kapsyennya menyatakan: “Gambar Situasi Pendemik Selsema Spanyol di barat pada 1918..
“Tak ubah macam sekarang kan..Semoga bumi ini kembali pulih seperti sediakala..”

Gambar-gambar tersebut telah dikongsi lebih daripada 420 kali setelah muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini; dan di Twitter di sini.
Gambar-gambar itu dikongsikan ribuan kali setelah dimuat naikkan dengan dakwaan serupa di Bangladesh, Pakistan, Australia dan Amerika Syarikat. Selain dua atau tiga pengecualian, kebanyakan gambar adalah sama.
Pandemik selesema 1918 -- kadang-kadang dirujuk sebagai Selesema Sepanyol (Spanish Flu) -- adalah salah satu yang paling dahsyat dalam sejarah. Ia berlanjutan sehingga tahun 1920, menjangkiti kira-kira 500 juta orang (kira-kira sepertiga daripada populasi global pada masa itu) dan dianggap telah meragut sehingga 50 juta nyawa.
AFP Fact Check menjalankan carian imej terbalik menggunakan Google, Yandex dan TinEye untuk mengesan asal-usul setiap gambar yang digunakan dalam posting Facebook tersebut. Kami menjumpai enam gambar yang tidak berkaitan dengan pandemik selesema 1918.
Yang berpura-pura
Gambar yang menunjukkan dua wanita berjalan bersama-sama dengan memakai apa yang kelihatan seperti topeng muka telah diambil lima tahun sebelum wabak influenza menular. Satu laporan baru-baru ini oleh AFP Fact Check biro Thailand telah memetik jurucakap untuk agensi foto Jerman, Süddeutsche Zeitung Photo yang mengatakan bahawa ia menunjukkan fesyen “tudung hidung” pada tahun 1913.

Satu lagi gambar yang menunjukkan dua wanita, kali ini memakai kon plastik runcing, datang dari tahun 1939 di Montreal, Kanada, menurut laman web arkib kebangsaan Belanda dan Koleksi Spaarnestad, yang memiliki hak cipta gambar. Keterangan pada borang pesanan mengatakan penutup seperti kon digunakan untuk perlindungan terhadap salji.

Cuaca buruk juga membuat sepasang wanita yang lain untuk berlindung pada tahun 1953, kali ini di bawah apa yang kelihatan seperti beg besar yang lutsinar.

Keterangan dari AP Images, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Mantel gas lebihan perang digunakan oleh Meriel Bush, kiri, dan Ruth Neuer, dalam usaha untuk mengelakkan kesan yang menyakitkan mata dari asbut dan asap yang menyelubungi Philadelphia untuk hari kedua berturut-turut, 20 November 1953. Keadaan cuaca yang aneh di seluruh kawasan timur telah disalahkan untuk jerebu.”
Penggunaan bekalan masa perang yang lebih konvensional boleh dilihat pada gambar yang menunjukkan seorang ibu, dalam kalangan yang lain, semasa latih tubi. Keterangan pada laman web Getty Images, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Ujian Gas, 9 Jun 1941: Seorang ibu muda yang memakai topeng gas melayan anaknya dalam kereta sorong bayi yang dipasang dengan topeng gas semasa ujian gas mengejut di Kingston.”

Sebuah iklan telefon dari tahun 1910 adalah satu lagi yang dikatakan menunjukkan kehidupan semasa pandemik itu. Ia muncul di St. Louis Post-Dispatch pada 17 November dan walaupun Telefon Bell dipasarkan sebagai cara bagi orang untuk kekal berhubungan “ketika berada di dalam kuarantin”, ia muncul beberapa tahun sebelum pandemik selesema tetapi pada masa wabak penyakit lain sering berlaku dan pihak berkuasa mengenakan langkah-langkah pengasingan untuk membendungnya.

Dari abad yang berbeza sama sekali dan poster yang lebih sinonim dengan COVID-19, “Stay at home” telah direka sebagai “ajakan bertindak” (call to action) terhadap novel koronavirus oleh pelukis ilustrasi Perancis, Mathieu Persan, menurut temu bual ini.

Suntikan selesema tulen
AFP Fact Check telah membuktikan bahawa gambar-gambar yang selebihnya dalam posting Facebook adalah berkaitan dengan pandemik selesema 1918, menurut maklumat dari pelbagai koleksi dan arkib tempat mereka berada.
Gambar-gambar yang dihoskan oleh Getty Images ini menunjukkan sebuah pusat kuarantin yang diubahsuai, seorang wanita menggunakan alat pernafasan, anggota polis Seattle memakai topeng, seorang jururawat Red Cross, sebuah wad selesema di Hospital Walter Reed dan dua wanita dengan topeng muka.

Keterangan oleh agensi foto stok, Alamy pada dua iklan perkhidmatan awam di sini dan sini mengesahkan mereka adalah juga dari tahun 1918. Mereka memberi nasihat mengenai cara mencegah jangkitan, termasuk petua untuk membuat topeng.

Satu lagi imej yang menjejak balik ke permulaan wabak tersebut telah diterbitkan baru-baru ini oleh The New York Times sebagai sebahagian laporan mengenai impak dahsyat pandemik itu di Philadelphia. Foto yang menunjukkan tanda pada trem yang mengatakan “Ludah menyebarkan kematian” telah dikreditkan kepada Perpustakaan Perubatan Sejarah Kolej Perubatan Philadelphia dan bertarikh Oktober 1918.

Salah satu gambar yang lebih popular di internet yang muncul semula semasa COVID-19 menunjukkan sebuah keluarga mencegah jangkitan dengan topeng muka kain, termasuk satu yang dibuat khas untuk kucing peliharaan mereka.
Dua arkib dalam talian dari California di sini dan sini tidak menamakan keluarga itu, tetapi laporan ini dari sebuah muzium tempatan, mengenai tindak balas bandar Pleasanton, California, terhadap pandemik itu, mengenal pasti mereka sebagai keluarga Del Perugia.

AFP Fact Check menyusur kembali foto seorang budak lelaki yang berdiri di hadapan teater tertutup ke Toronto, Kanada. Gambar tersebut tampil di dalam video ini yang diceritakan oleh sejarawan tempatan dan telah diterbitkan pada April di dalam laporan berita ini dengan kapsyen: “Seorang penjual surat khabar menjualnya di hadapan Loew's Downtown di Toronto, sekarang dinamai Elgin, semasa pandemik selesema Sepanyol 1918. ARKIB MIRVISH”.

Google Maps mengesahkan bahawa dia berdiri di hadapan Teater Elgin di Toronto; perhatikan kotak tiket dengan bentuk bucunya yang tersendiri dan pintu masuk kaca ke kanan, ciri-ciri yang sepadan dengan foto asal.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami