Video ini menunjukkan masjid di Berlin menyiarkan laungan azan semasa pandemik COVID-19

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Video yang telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai posting di Facebook, Twitter dan YouTube bersama-sama dakwaan ia menunjukkan panggilan azan di Berlin selepas kemunculan awan hitam di langit. Dakwaan tersebut juga menyatakan bahawa panggilan azan kedengaran walaupun “tidak ada” masjid berdekatan kawasan itu. Dakwaan itu tidak benar. Video itu menunjukkan panggilan azan yang disiarkan oleh sebuah masjid di Berlin; panggilan tersebut diadakan sementara sebuah gereja berdekatan membunyikan loceng pada April 2020 sebagai tanda perpaduan semasa wabak koronavirus.

Rakaman berdurasi dua minit 58 saat ini menunjukkan orang ramai menggunakan telefon bimbit mereka untuk merakam adegan di jalanan semasa panggilan azan dilaungkan. Ia disiarkan di Facebook pada 16 Jun 2020 dan telah ditonton melebihi 35,000 kali dan dikongsi melebihi 1,000 kali.

Kapsyennya berbunyi: “Di Berlin German, ada awan hitam dan ada suara azan padahal tidak ada masjid. Orang ramai kehairanan mana datangnya suara azan yang mendayu-dayu itu. Subhanallah....”

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin posting yang mengelirukan yang diambil pada 1 Julai 2020

Rakaman tersebut telah ditonton hampir 51,000 kali setelah dikongsikan di Facebook di sini, sini, sini dan sini, dengan dakwaan yang sama.

Selain itu, ia telah ditonton hampir 48,000 kali setelah dimuat naikkan dalam bahasa Indonesia di Facebook di sini dan sini; di Twitter di sini dan sini; dan di YouTube di sini.

Dakwaan itu tak benar.

Carian imej terbalik di Google, disusuli dengan carian kata kunci berikutnya mendapati rakaman yang sama telah disiarkan di sini di Facebook pada 3 April 2020. 

Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Turki ke bahasa Malaysia, berbunyi: “03.04.2020 Suara azan berkumandang di luar melalui pembesar suara di Neukölln di Berlin pada waktu solat Jumaat.”

Di bawah adalah perbandingan rakaman dari posting yang mengelirukan (kiri) dan posting Facebook asal (kanan):

Perbandingan rakaman dari posting yang mengelirukan (kiri) dan posting Facebook asal (kanan)

Kawasan yang dirakam di dalam rakaman yang mengelirukan padan dengan lokasi yang dilihat di dalam video yang dikongsikan oleh masjid itu. Ia juga padan dengan pemandangan Google Street View Masjid Dar Assalam di sini

Ruptly, agensi berita video Rusia yang berpusat di Berlin, juga memuat naikkan klip dengan adegan-adegan yang sama di sini di saluran YouTubenya pada 15 April 2020. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, ia berjudul: “Jerman: Panggilan bersolat dari masjid berakhir lebih awal setelah penjarakan fizikal dilanggar.”

Perenggan pertama kapsyen video tersebut, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Sekurang-kurang 300 orang berkumpul di luar Masjid Dar Assalam di Berlin pada hari Jumaat di mana mereka mendengar laungan azan yang diadakan bersempena dengan deringan loceng di gereja berdekatan, dalam tanda perpaduan semasa krisis COVID-19.”

Masjid itu juga mengongsikan video dari acara itu di laman Facebooknya pada 4 April 2020 di sini. Diterjemahkan dari bahasa Jerman, kapsyennya menyatakan: “Sebuah klip video dari DW mengenai inisiatif ‘Saya dengar panggilan anda - panggilan untuk bersolat sebagai tanda perpaduan semasa krisis corona.’”

Deutsche Welle (DW) merupakan penyiar antarabangsa awam Jerman.