Penumpang yang memakai topeng muka tiba di Grand Central Station di New York pada waktu sibuk pagi pada 8 Jun 2020. (AFP / Angela Weiss)

Dakwaan yang mengelirukan tentang bahaya penggunaan topeng untuk jangka panjang

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu dakwaan yang telah dikongsikan ribuan kali di Facebook mengatakan orang boleh mengalami kekurangan oksigen ke darah dan otak mereka, yang mungkin mengakibatkan kematian, jika mereka memakai topeng pakai buang terlalu lama. Dakwaan tersebut mengelirukan: hanya sedikit penurunan ketepuan oksigen kadang-kadang dapat diukur pada orang yang memakai topeng pakai buang, dan beberapa pakar setuju bahawa tidak ada bukti untuk kesan jangka panjang daripada bernafas melalui topeng.

Dakwaan tersebut diterbitkan di sini di Facebook pada 21 Mei 2020 dan telah dikongsikan lebih daripada 14,000 kali.   

Catatan Facebook yang mengelirukan itu disertai dengan gambar pelitup muka.

Kapsyennya menyatakan: “#BAHAYA_FACEMASK
Topeng sepatutnya digunakan untuk masa Terhad. Sekiranya anda memakainya untuk masa yang lama:

“1. Oksigen dalam darah mengurangkan.
2. Oksigen ke otak mengurangkan.
3. Anda mula merasa lemah.
4. Boleh mengakibatkan. kematian.

“#NASIHAT
#a. Tariknya semasa anda bersendirian. Saya melihat banyak orang di dalam kereta mereka dengan AC, masih memakai MASK muka.
#b. Jangan gunakannya di rumah.
#c. Gunakan hanya di tempat yang sesak dan ketika berhubungan rapat dengan satu atau lebih orang.
#d. Kurangkan penggunaannya sambil mengasingkan pekerjaan anda paling kerap.
#Kekal_selamat!!!

“Jangan simpan maklumat ini kepada diri sendiri. Sediakannya kepada semua keluarga dan rakan anda. Semoga hari anda indah.”

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan yang diambil pada 7 September 2020

Di Malaysia, bermula 1 Ogos 2020, pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam atau di tempat awam yang bersesak-sesak adalah wajib seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob di sini pada 23 Julai 2020 dan diperjelaskan lagi di sini pada 4 Ogos 2020.

Sebelum itu, pemakaian pelitup muka sentiasa digalakkan oleh pegawai kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti di sini dan sini.

Dakwaan serupa telah dikongsikan hampir 4,700 kali setelah muncul di Facebook di sinisini dan sini.

Dakwaan tersebut mengelirukan.

AFP Fact Check meminta pakar perubatan untuk menjelaskan dakwaan yang dipertikaikan. 

Dakwaan: Sekiranya anda memakai topeng untuk masa yang lama, oksigen dalam darah dan otak anda akan berkurang

“Ia adalah benar bahawa topeng boleh menyebabkan perubahan kecil pada tahap oksigen dan karbon dioksida, tetapi ini terutamanya diperhatikan dengan N95, bukan topeng muka pembedahan atau kain,” kata Hallie Prescott, penolong profesor di Bahagian Perubatan Pulmonari & Penjagaan Kritikal di Universiti Michigan Sistem Kesihatan, kepada AFP melalui e-mel. ​

Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat tidak mengesyorkan penggunaan topeng N95 kepada masyarakat umum.

Prescott, yang juga merupakan doktor kakitangan di Urusan Veteran Ann Arbor Sistem Penjagaan Kesihatan, merujuk kepada laporan yang diterbitkan pada tahun 2008 yang mengkaji deoksigenasi yang disebabkan oleh topeng pembedahan semasa pembedahan besar. Laporan itu mendapati “penurunan” ketepuan oksigen pada pakar bedah, “sama ada kerana topeng muka atau tekanan operasi.”

“Tafsiran saya adalah bahawa – untuk 99.9 peratus populasi tanpa penyakit paru-paru mendasari yang teruk – paling banyak hanya terdapat penurunan kecil kadar oksigen dalam darah dengan topeng pembedahan atau kain,” katanya.

Sekiranya orang yang memakai topeng mengalami sakit kepala, “ia boleh berpunca daripada pelbagai perkara – seperti gelung telinga yang tidak selesa pada topeng – jadi saya tidak akan menganggap bahawa sakit kepala adalah disebabkan oleh oksigen rendah,” tambah Prescott.

Josh Mugele, pakar perubatan Jabatan Kecemasan di Pusat Perubatan Georgia Timur Laut di Gainesville, Georgia, berkata bahawa “tiada kesan buruk terhadap penggunaan topeng jangka panjang.”

“Bukan sahaja tidak ada bukti yang dapat dipercayai sebaliknya, tetapi ramai pekerjaan memakai topeng untuk jangka waktu yang lama secara berkala tanpa kesan buruk, termasuk pakar bedah, juruteknik makmal, dan pelukis,” katanya kepada AFP dalam mesej langsung di Twitter.

Penggunaan topeng buatan berkualiti tidak mungkin menyebabkan hiperkapnia, pengumpulan karbon dioksida dalam darah, AFP dapati dalam semakan fakta yang lain.

Dakwaan: Sekiranya anda memakai topeng untuk masa yang lama, anda akan mula merasa lemah

“Ia adalah sukar untuk menyangkal perasaan subjektif seseorang,” kata Prescott, tetapi “data objektif menunjukkan bahawa topeng muka pembedahan dan kain selamat untuk sebahagian besar populasi yang tidak mengalami penyakit paru-paru mendasari yang teruk.”

Jonathan Karn,  ahli virologi dan pengarah Pasukan Petugas COVID Cleveland, memberitahu AFP melalui e-mel bahawa orang tidak patut “mula merasa lemah atau mati” ketika memakai “topeng pembedahan ringan atau topeng kain buatan sendiri”.

Grafik AFP yang menggambarkan cara paling mudah untuk membuat topeng anda sendiri hanya dengan sehelai kain, seperti tuala kecil, dan dua gelang getah

Dakwaan bahawa penggunaan topeng memperburukkan sistem imun juga tak benar, AFP USA dapati dalam semakan fakta lain.

Dakwaan: Memakai topeng untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan kematian

“Tidak ada orang yang pernah mati sebagai akibat langsung memakai topeng pembedahan. Jika orang boleh melakukan transplantasi organ atau melakukan pembedahan otak semasa memakai topeng, ia adalah wajar untuk meminta orang untuk memakainya di khalayak ramai untuk mengurangkan penularan novel koronavirus,” kata Ryan Marino, doktor perubatan kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Hospital Cleveland, kepada AFP melalui mesej langsung di Twitter.

AFP Canada membongkar video tentang seorang jururawat yang memberi amaran agar tidak memakai topeng muka tanpa henti kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan tubuh.

Dakwaan: Tanggalkan topeng anda semasa bersendirian

“Jika anda bersendirian di dalam kereta, tidak ada sebab untuk memakai topeng, tetapi ia harus dipakai ketika meninggalkan kereta sekiranya akan bertemu dengan orang lain. Idea umum di sebalik topeng muka adalah untuk memutuskan rangkaian jangkitan dalam populasi,” jelas Karn.

Namun begitu, waspada disarankan ketika memakai dan menanggalkan pelitup muka untuk mengelakkan pencemaran lebih lanjut, seperti yang dijelaskan dalam grafik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tangkapan skrin grafik WHO yang diambil pada 17 Jun 2020

CDC mengesyorkan penggunaan topeng muka di rumah hanya dalam keadaan tertentu. Seseorang yang sakit harus memakai pelitup muka kain ketika berada di sekitar orang lain di dalam dan di luar rumah, kecuali untuk kanak-kanak kecil di bawah usia dua tahun dan sesiapa sahaja yang mengalami masalah pernafasan. Pengasuh juga boleh memakai pelitup muka kain ketika menjaga orang yang sakit.

Secara umum, para pakar memuji kelebihan pelitup muka sebagai perlindungan terhadap novel koronavirus.

“Sekiranya tidak ada pengesanan kontak (contact tracing) yang kukuh, topeng dan penjarakan fizikal adalah pertahanan terbaik kami,” kata Prescott.

“Oleh kerana hingga 30 peratus orang yang dijangkiti mungkin tidak simptomatik dan oleh sebab itu tidak tahu bahawa mereka boleh menjangkitkan penyakit, penggunaan topeng secara meluas adalah alat penting dalam pengurangan kadar jangkitan secara keseluruhan,” tambah Karn.

Sebahagian ciapan KKM pada 4 Ogos 2020 ini mengatakan: “Pelitup muka tidak menyebabkan kita kekurangan oksigen.”  

KKM juga telah mengeluarkan garis panduan untuk penggunaan pelitup muka di sini. Antara nasihatnya termasuklah tidak memakai topeng muka melebihi lapan jam dan elakkan menyentuh bahagian dalam dan luar pelitup muka tiga lapis.

Di bawah adalah tangkapan skrin salah satu infografik dari laman sesawang KKM:

Tangkapan skrin infografik dari laman sesawang KKM

AFP Fact Check telah telah menangani dakwaan yang mengelirukan mengenai topeng muka, dalam bahasa Inggeris di sini dan sini, dan bahasa Sepanyol di sini dan sini

Senarai lengkap semak fakta kami mengenai novel koronavirus boleh didapati dalam bahasa Inggeris di sini dan dalam bahasa Malaysia di sini.

KORONAVIRUS