Video ini menunjukkan lebuhraya Yaxi yang menghubungkan Ya’an dan Xichang di China
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 17/12/2019 pukul 06:20
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Rachel YAN, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video yang sepanjang 3 minit 32 saat itu telah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 30 November 2019 dan telah ditonton lebih daripada 2,900 kali.
Kapsyennya menyatakan:
“Highway yang menghubungkan China dan Pakistan sepanjang 880 km disebut sebagai keajaiban dunia yg ke 8.
“Pembinaan highway ini dikategorikan sebagai di antara projek yang tersulit di dunia kerana melalui pergunungan Kashgar- Kunlun dan Pergunungan Himalaya (bahagian barat) yang terkenal dengan geologi yang berbahaya dan iklim yang teruk.”
Berikutnya tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan itu:
Video yang sama dengan dakwaan yang serupa juga muncul di pos Facebook lain contohnya di sini pada 9 Mei 2019.
Dakwaan itu tidak benar. Video itu menunjukkan lebuhraya Yaxi yang menghubungkan dua bandar di China iaitu Ya’an dan Xichang.
Carian imej terbalik Google diikuti dengan carian kata kunci menemui video sepanjang 2 minit 8 saat ini yang menunjukkan adegan yang sama dengan video di pos yang mengelirukan.
Video dimuat naikkan pada 2 Januari 2019 di akaun YouTube rasmi Agensi Berita Xinhua. Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, tajuk video itu adalah: “Kejuruteraan yang menakjubkan: Pemandangan udara yang mempesonakan dari Lebuhraya Yaxi di barat daya China”.
Lebuh Ya’an-Xichang, juga dikenali sebagai Lebuhraya Yaxi, merupakan “sebuah jalan sepanjang 240 kilometer yang menghubungkan Ya’an dan Xichang di wilayah Sichuan, barat daya China”, kata China.org.cn, sebuah laman web kerajaan China.
Ia dibuka kepada pemandu pada April 2012, menurut pos Facebook ini oleh China Daily, suratkhabar kerajaan China.
Berikutnya perbandingan tangkapan skrin rakaman dari pos yang mengelirukan dan video dari Agensi Berita Xinhua:
Akaun rasmi Weibo, media sosial China, milik Chengdu Hi-Tech Industrial Development Zone, juga memuat naikkan video yang sama dengan video di pos yang mengelirukan yang sepanjang 3 minit 32 saat di sini pada 6 Januari 2019.
Diterjemahkan daripada bahasa Cina kepada bahasa Malaysia, kapsyennya menyatakan: “[Lebuhraya Yaxi, terbang di udara!] Lebuhraya Yaxi di Chengdu adalah 240 kilometer panjang, dengan lebih daripada 80 peratus laluan itu terdiri daripada jambatan-jambatan dan terowong-terowong. Sentiasa memandu di jambatan jalan raya yang dibina di atas gunung tinggi, hampir seperti terbang melalui udara.”
Rakaman itu tidak menunjukkan teks berwarna putih seperti yang dilihat di video yang dimuat naik oleh Xinhua.
Sememangnya terdapat sebuah jalan yang menghubungkan China dan Pakistan melalui wilayah Xinjiang di barat laut China, yang dipanggil Lebuhraya Karakoram.
Jalan sepanjang 1,300 kilometer itu, juga dikenali sebagai Lebuhraya Persahabatan China-Pakistan, telah dibina oleh kerajaan-kerajaan China dan Pakistan beberapa dekad yang lalu. Ini adalah laporan AFP mengenai Lebuhraya Karakoram.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami