Imej NASA ini, yang dilepaskan pada 9 Oktober 2019, menunjukkan pusat Bima Sakti. (AFP / NASA / Ho)

Tipu helah lama muncul kembali dalam talian tentang NASA menambah tanda zodiak ke-13 ‘Ophiuchus’

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan yang dikongsikan dengan meluas di Instagram dan Facebook pada Julai 2020 mendakwa bahawa NASA, agensi angkasa AS, telah menambah tanda bintang ke-13 bernama “Ophiuchus” kepada zodiak. Dakwaan itu tak benar. NASA berkata ia tidak mencipta tanda bintang baru; catatan-catatan tersebut adalah tipu helah yang telah dikongsi ribuan kali dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2011.

Dakwaan tersebut diterbitkan di sini di Instagram pada 19 Julai 2020.

Catatan Instagram itu menunjukkan meme yang bertajuk, diterjemahkan dari bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia: “TANDA BINTANG ANDA TELAH BERUBAH.” 

Ia menyenaraikan kesemua tarikh lahir yang berpadanan dengan 12 tanda astrologi zodiak, dengan penambahan “Ophiuchus”, yang kononnya ditetapkan untuk orang yang lahir pada atau di antara 29 November hingga 17 Disember.  

Keterangan catatan tersebut menyatakan: “Seriouslyyyyy... Cepat check Zodiak Anda…”

Tangkapan skrin catatan Instagram yang mengelirukan, diambil pada 11 Ogos 2020

Zodiak telah dicipta kira-kira 3,000 tahun dahulu oleh orang Babylon, sebuah tamadun kuno, untuk menggambarkan buruj yang berada di sepanjang laluan yang sama dengan matahari, menurut NASA

Dakwaan yang sama juga dikongsikan di Instagram di sini serta di Facebook di sini dan sini.

Ia juga muncul di Facebook pada Julai 2020 dan 2016 dalam bahasa Inggeris. Ia juga dikongsikan di sini dan sini di Twitter pada tahun 2016. 

Namun begitu, dakwaan itu tak benar.

NASA menyangkal dakwaan itu pada 17 Julai 2020 dalam ciapan ini di Twitter, yang sebahagiannya menyatakan: “Tidak, kami tidak mengubah zodiak. Ketika orang Babylon mencipta buruj [tanda zodiak] 3,000 tahun yang lalu, mereka memilih untuk meninggalkan tanda ke-13.” 

Tangkapan skrin ciapan NASA

Sebelum itu, agensi angkasa tersebut telah menjelaskan kekeliruan mengenai “Ophiuchus” dalam catatan blog September 2016 ini: “Di NASA, kami belajar astronomi, bukan astrologi. Kami tidak mengubah sebarang tanda zodiak. Astronomi adalah kajian saintifik tentang semua perkara di angkasa lepas. Sementara itu, astrologi adalah sesuatu yang lain. Ia merupakan kepercayaan bahawa kedudukan bintang dan planet dapat mempengaruhi kejadian manusia. Ia tidak dianggap sebagai sains.”

NASA berkata orang Babylon memilih 12 buruj di dalam zodiak dan dan menugaskan masing-masing kepada bulan tertentu pada kalendar 12 bulan mereka. “Menurut cerita kuno dari orang Babylon, terdapat 13 buruj di dalam zodiak. Jadi mereka telah memilih satu, Ophiuchus, untuk ditinggalkan,” tambah NASA lagi.

Agensi itu menjelaskan di sini bahawa walaupun Ophiuchus tidak dimasukkan oleh orang Babylon demi “berpadanan rapi dengan kalendar 12 bulan mereka”, namun ia tetap sejajar dengan matahari selama kira-kira 18 hari setiap tahun.

Maklumat yang salah mengenai tanda bintang ke-13 telah tersebar dalam talian sejak sekurang-kurangnya tahun 2011, seperti yang dilaporkan oleh BBC di sini.