Pelarian Rohingya yang mendarat di pantai utara terpencil berhampiran sempadan Malaysia-Thailand berhimpit-himpit di dalam satu kumpulan di Kangar pada 1 Mac 2019, berikutan penahanan mereka oleh pihak berkuasa imigresen Malaysia. (AFP / Ismael Kamaldin)

UNHCR mengutuk notis palsu yang mendakwa pelarian di Malaysia menolak ujian saringan COVID-19

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Dakwaan bahawa Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) menyatakan bahawa “pendatang dan pendatang tanpa izin” from Malaysia menolak ujian saringan novel koronavirus atas ketakutan ditangkap telah dikongsi di beberapa posting di Facebook. Dakwaan itu tak benar. Pihak UNHCR di Malaysia berkata bahawa kenyataan yang ditularkan itu adalah palsu dan mengutuk dakwaan yang salah itu kerana menimbulkan “ketakutan dan kecurigaan”.

Dakwaan itu diterbitkan di Facebook di sini pada 18 Mac 2020. 

Posting dalam bahasa Inggeris itu, diterjemahkan kepada bahasa Malaysia, menyatakan: “Terdengar ...

“Ini dikeluarkan oleh UNHCR. 4 bas dengan orang Islam Myanmar dan Bangladesh menghadiri acara Sri Petaling itu. Pendatang tanpa izin tersebut takut ditangkap jika mereka pergi untuk diuji. Kumpulan perbualan pelarian menghadapi masalah untuk memujuk pendatang dan pendatang tanpa izin untuk diuji. Mereka sedang berkhidmat di restoran dan bekerja di pasar Selayang. ”

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Acara Sri Petaling merupakan sebuah perhimpunan tabligh yang diadakan berdekatan Kuala Lumpur dari 27 Februari sehingga 1 Mac 2020. Acara itu telah dianjurkan oleh Tablighi Jamaat, sebuah gerakan dakwah Islam, dan menarik penyertaan sekurang-kurangnya 16,000 orang. Sejak itu, beberapa ratus kes disahkan novel koronavirus, atau COVID-19, di Malaysia telah dikaitkan kepada acara itu, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia di sini menerusi sebuah infografik.

Selayang adalah sebuah kawasan di dalam Selangor, negeri yang mempunyai penduduk paling ramai.

Menurut pengiraan AFP pada 20 Mac 2020,  jumlah kematian dari virus itu telah meningkat kepada hampir 10,000 orang dengan lebih daripada 232,000 kes di 158 negara dan wilayah. Sehingga kini, Malaysia telah melaporkan 900 kes yang disahkan.

Dakwaan tersebut juga diterbitkan di Facebook di sini, sini, sini dan sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar.

Pihak UNHCR di Malaysia telah memuat naik kenyataan ini di Facebook pada 19 Mac 2020 untuk menafikan dakwaan itu. Diterjemahkan kepada bahasa Malaysia, ia berkata bahawa dakwaan tersebut adalah “PALSU” dan agensinya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu.

Sebahagian daripada kenyataan itu menyatakan: “Pihak UNHCR telah menerima  laporan tentang mesej WhatsApp yang didakwa dihantar oleh UNHCR tentang orang pelarian yang enggan mendapatkan ujian saringan COVID-19.

“Sila maklum bahawa mesej ini PALSU, dan tidak dikeluarkan oleh UNHCR.

“Mesej ini menimbulkan ketakutan dan kecurigaan terhadap orang pelarian, dan menyumbang kepada kepinggiran orang pelarian. Ini mengakibatkan kesusahan kepada komuniti ini dan menghalang mereka daripada mendapatkan pertolongan bila mereka memerlukannya.”

Menurut kenyataan itu lagi, agensi tersebut telah bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia untuk “memastikan komuniti pelarian termasuk dalam usaha-usaha tindak balas nasional kerajaan”.

Seorang jurucakap UNHCR memberitahu AFP bahawa pelarian dan pencari suaka yang telah menghadiri acara Sri Petaling itu sedang bekerjasama dengan pegawai kesihatan.

“Terdapat laporan dari komuniti bahawa pelarian dan pencari suaka telah menyertainya. UNHCR telah menerima berita dari komuniti pelarian bahawa pelarian yang terjejas sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha penjejakan,” kata jurucakap itu melalui emel pada 19 Mac 2020.