Seorang pekerja kesihatan menutup tiub yang mengandungi swab setelah mengumpul sampel untuk menguji novel koronavirus di Pusat Perubatan Sunway di Subang Jaya pada 22 Oktober 2020. (AFP / Mohd Rasfan)

Pernyataan tidak sahih doktor Itali anti-vaksin tentang Covid-19 beredar luas dalam talian

Satu video telah ditonton puluhan ribu kali di pelbagai unggahan di Facebook bersama-sama dakwaan seorang doktor Itali bernama Roberto Petrella yang antara lain mengatakan bahawa vaksinasi melemahkan imuniti orang dan bahawa Covid-19 adalah nama rancangan pengurangan populasi. Sebilangan besar dakwaan-dakwaan tersebut tak benar atau mengelirukan.

Video itu telah disiarkan pada 5 Oktober 2020 di sini di Facebook, di mana ia telah ditonton melebihi 3,600 kali. 

Video berdurasi enam minit dan 47 saat itu menunjukkan seorang lelaki berbahasa Itali yang mengetengahkan beberapa dakwaan mengenai Covid-19. Video tersebut telah dilengkapkan dengan sari kata dalam bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia. Di sudut kiri bahagian atas video, terdapat logo “Two Eyes for Wisdom”. 

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 30 November 2020

Kapsyennya menyatakan: “Video pembongkaran seorang doktor dr Italy Doctor Roberto Petrella dah banyak kali di delete dr YouTube dan fesbuk. Segala maklumat mengenai doktor ni juga telah dihapuskan. Situasi negara kita sekarang sama seperti doktor ni cakap. Penipuan betul² berada depan mata kita.”

Video itu juga telah ditonton hampir 44,000 kali setelah muncul dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini

Video yang sama juga disebarkan dengan dakwaan serupa dalam pelbagai bahasa, seperti bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol, bahasa Portugis, bahasa Serbia dan bahasa Itali

Pencarian nama doktor itu di Google menjumpai pelbagai artikel akhbar berbahasa Itali yang diterbitkan pada tahun 2019 di sini dan sini, yang menggambarkan Petrella sebagai pakar sakit puan yang sudah bersara dan terkenal dengan penentangannya terhadap vaksin Virus Papiloma Manusia (HPV).

Pelbagai dakwaan dalam video tersebut adalah palsu, mengelirukan atau spekulasi.

Covid-19 adalah nama rancangan untuk mengurangkan populasi: Tak benar

Image
Seorang penunjuk perasaan yang memakai topeng muka yang menyatakan: “Jangan beri peluang kepada Gates”, yang merujuk kepada Bill Gates, di Berlin pada 16 Mei 2020

Petrella mendakwa bahawa Covid-19 bermaksud “sijil pengenalan vaksinasi dengan kecerdasan buatan” dan nombor 19 “adalah tahun ia dibuat”. Dia juga berkata Covid-19 adalah “program pembasmian secara besar-besaran” dan bahawa “itu bukan nama virus, tetapi lebih merupakan nama rancangan antarabangsa untuk pengawalan dan pengurangan populasi”. 

Namun, ketika nama penyakit ini diumumkan dalam sidang media pada 12 Februari 2020, ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan bahawa Covid-19 adalah nama sejenis penyakit yang disebabkan oleh strain koronavirus baru, iaitu SARS-CoV-2. 

Teori yang berbeza mengenai “rancangan pengawalan antarabangsa” dengan menanam mikrocip mengandungi vaksin dan “pengurangan populasi” telah lama tersebar di rangkaian sosial dan kian bertambah semenjak munculnya wabak koronavirus.

Kedua-dua “rancangan” itu sering dikaitkan dengan dermawan Bill Gates. Jurucakap Bill & Melinda Gates Foundation memberitahu AFP Fact Check bahawa dakwaan-dakwaan mengenai pengawalan melalui penanaman mikrocip adalah tak benar. 

Dakwaan mengenai “rancangan” Gates untuk mengurangkan populasi berasal dari petikan sebuah ucapan pada tahun 2010 yang disalahtafsirkan. Ucapan beliau sebenarnya merujuk kepada pengurangan pelepasan karbon. 

Vaksinasi melemahkan imuniti dan akan membunuh kita: Tak benar

Petrella mendakwa bahawa vaksin sebelum ini “melemahkan imuniti” dan bahawa vaksin Covid-19 bertujuan untuk “mengurangkan populasi secara besar-besaran melebihi 80% penduduk dunia”. Vaksinasi akan menyebabkan semua orang “sakit parah, lemah” dan akhirnya mati, katanya lagi.

Dalam suatu kenyataan khabar pada 24 April 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan: “Imunisasi telah terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan paling kos efektif dalam mengurangkan kejadian termasuk kematian penyakit cegahan vaksin.”

Image
Vaksin Sinovac Biotech di Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) di Beijing pada 6 September 2020

Para saintis di seluruh dunia sedang berlumba-lumba untuk membangunkan vaksin Covid-19. Menurut “Penjejak Vaksin Koronavirus” dari The New York Times pada 27 November 2020, daripada puluhan vaksin yang diuji, enam telah diluluskan untuk penggunaan terhad atau awal, dan belum ada yang diluluskan untuk penggunaan penuh.

Orang yang tidak divaksinasi tidak akan dapat “meninggalkan rumah atau membuat perjalanan”: Spekulasi

Petrella juga meramalkan: “Anda tidak akan dapat melakukan perjalanan tanpa vaksin ... untuk pergi ke pawagam, dan pada masa akan datang anda tidak akan dapat meninggalkan rumah sendiri. Ini sudah berlaku di beberapa bandar di China.” 

Untuk menghentikan penularan penyakit ini, China memilih langkah-langkah yang kuat seperti pengasingan Wuhan sepenuhnya pada Januari 2020 atau sekatan pergerakan di Beijing pada Jun 2020. Langkah-langkah tersebut ditamatkan setelah pihak berkuasa mengesahkan bahawa wabak itu terkawal.

Pada 3 September 2020, lapangan terbang Beijing menyambung semula penerbangan antarbangsa, sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk mengubah imejnya.

Carian dalam talian tidak menjumpai sebarang laporan mengenai bandar-bandar di China yang melarang orang yang tidak divaksinasi daripada membuat perjalanan.

Image
Seorang pegawai kesihatan menguji untuk Covid-19 di kawasan perumahan Chennai, India, pada 7 September 2020

Ujian Covid-19 tidak boleh dipercayai dan tidak mengesan koronavirus baru: Tak benar

Dakwaan ini tidak benar. 

KKM menerangkan tiga jenis ujian Covid-19 di sini: ujian Reverse transcriptase Polymerase Chain Reaction (Rt-PCR) digunakan “untuk mengesahkan jangkitan virus Covid-19 pada individu yang disyaki”, manakala ujian Rapid Test Kit seperti RTK Ag (antigen) dan RTK Ab (antibodi) digunakan untuk pengesanan Covid-19.

Laporan AFP Fact Check ini menjelaskan bahawa ujian PCR adalah piawai emas untuk diagnosis jangkitan Covid-19. 

Ujian ke atas kanak-kanak di sekolah-sekolah di Perancis: Tak benar

Petrella berspekulasi bahawa ada tujuan untuk menyatakan sekitar 90% orang yang diuji “positif” dengan menegaskan bahawa “inilah sebabnya mengapa mereka memulakan proses ujian dengan kanak-kanak”. Dia berkata bahawa “pada 11 Mei ... di Perancis, ujian secara besar-besaran dikenakan di semua sekolah” dan “terdapat sekitar 700,000 ujian setiap minggu”. 

Carian Google tidak menunjukkan berita tentang ujian secara besar-besaran ke atas kanak-kanak di sekolah-sekolah di Perancis setelah pembukaan semula pada 11 Mei 2020. 

Sebaliknya, dalam pengesyorannya pada 24 April 2020, untuk sekolah-sekolah, Majlis Saintifik Kementerian Kesihatan Perancis tidak mengesyorkan pengujian secara besar-besaran ke atas para pelajar sekolah kerana “ini akan mempengaruhi lebih daripada 14 juta orang dan perlu dilakukan secara berkala (setiap 5-7 hari) untuk mengesan kes dan mencegah penularan virus dengan berkesan”.

Image
Seorang lelaki memberi makanan kepada burung-burung di sebuah taman di Ankara pada 7 September 2020

Menghidap virus tidak bermaksud anda sakit: Mengelirukan

Dakwaan ini mengelirukan. 

Menurut KKM dan WHO, sebilangan pesakit Covid-19 tidak mempunyai gejala: terbahagi kepada individu yang dijangkiti tapi tidak akan menunjukkan simptom (asimptomatik) dan individu yang dijangkiti tapi belum menunjukkan simptom (pra-simptom). 

Pesakit pra-simptom masih boleh menyebarkan virus ini kepada orang lain, seperti dijelaskan oleh kajian ini dan ini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami