Ubat paracetamol Doliprane di farmasi Perancis terbesar di Paris pada 8 September 2020. (AFP / Martin Bureau)

Ubat tahan sakit paracetamol seperti Panadol secara umum tidak menyebabkan ketagihan, kata pakar perubatan

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan di Facebook yang telah dikongsikan puluhan ribu kali mendakwa pengambilan ubat tahan sakit seperti Panadol boleh menyebabkan ketagihan. Dakwaan itu mengelirukan. Pakar perubatan berkata bahawa ubat tahan sakit berasaskan paracetamol seperti Panadol secara umum tidak menagihkan.

Dakwaan itu diterbitkan di sini di Facebook pada 25 Ogos 2020, di mana ia telah dikongsikan melebihi 23,000 kali.  

Kapsyen catatan Facebook yang mengelirukan itu menyatakan: “PETUA SAKIT KEPALA

“Tak sempat nak makan Panadol, kalau boleh dielakkan elakkan dari makan pain killer/Panadol

“bila sakit kepala.ubat-ubatan ni bukan tak elok memang boleh ilangkan sakit kepala tapi boleh gak buat kita ketagih, ketagih maksudnya bila sakit mesti kena ambil, so tak elok sebenarnya, cuba kita kawal. 

“Sebab sakit kepala:-
1-Stress
2-Lambat makan
3-Kurang tidur

“Ubat/perawatan:-
1-Air sejuk/air yg ada Ais-buat basuh kepala/basuh umbul-umbul anak rambut
2-minum air suam
3-tidur sebentar, 30minit je dah cukup
Cuba dulu baru tahu”.

Catatan itu juga memuat naikkan dua gambar: satu menunjukkan tab pil dengan tanda pangkah merah jambu dilukis di atasnya dan satu lagi menunjukkan sebotol air dengan tanda rait hijau dilukis di atasnya.

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 15 September 2020

Panadol merupakan jenama ubat tahan sakit berasaskan paracetamol yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal multinasional British, GlaxoSmithKline (GSK). 

Dakwaan tersebut juga diulang di sini, sini dan sini di Facebook. 

Dakwaan tersebut mengelirukan, kata pakar perubatan. 

Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, salah seorang pengasas bersama Medical Mythbusters Malaysia,  sebuah laman Facebook yang dikendalikan oleh profesional perubatan di Malaysia untuk membongkarkan mitos perubatan, memberitahu AFP dalam e-mel pada 28 Ogos 2020: “Secara umum, Panadol dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) tidak menagihkan.”

Tambahnya lagi: “Tidak seperti analgesik berasaskan opiod (ubat tahan sakit), mereka tidak mempunyai sifat yang sama untuk mendorong ketagihan. Diambil dalam dos yang sesuai dengan panduan pekerja kesihatan, ubat-ubat ini selamat untuk dimakan. Kuncinya di sini adalah ‘dos ​​menjadikan racun’. Diambil tanpa petunjuk yang betul dan dos yang tidak tepat atau lebih banyak, ia boleh memudaratkan kesihatan.”

Dalam e-mel kepada AFP bertarikh 18 September 2020, Muhammad Azmi Abdul Wahab, ketua penolong pengarah Bahagian Dasar & Perancangan Strategik Farmasi dari Program Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan: “Paracetamol tidak boleh diambil dengan produk lain yang mengandungi paracetamol kerana ia sering menyebabkan dos yang berlebihan dan ketoksikan. Sebilangan besar orang bertoleransi dengan baik dengan paracetamol termasuk wanita hamil dan ibu yang menyusu. Walau bagaimanapun, sesetengah orang mungkin perlu lebih berhati-hati dengan paracetamol. Contohnya, orang yang mempunyai reaksi alergi terhadap paracetamol, pesakit dengan masalah hati atau ginjal dan pesakit yang mengambil ubat penipisan darah (warfarin).

“Paracetamol harus diambil menurut dos harian yang disarankan. Sekiranya rasa sakit itu menjadi tidak tertahan dan tidak reda setelah mengambil paracetamol, pesakit harus segera mendapatkan perhatian perubatan agar sebab yang mendasari kesakitan dapat dirawat.” 

Di bahagian FAQ di laman web rasminya di Singapura, Panadol menyatakan dalam bahasa Inggeris: “Paracetamol tidak menyebabkan kebergantungan dan tidak menagihkan. Panadol sesuai apabila digunakan seperti yang diarahkan. Sekiranya gejala berlanjutan, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.”

Di bawah adalah tangkapan skrin laman web Panadol Singapura:

Tangkapan skrin laman web Panadol Singapura