Video ini adalah animasi dron hantar sekotak mi segera yang dihasilkan oleh artis Nigeria

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton melebihi sejuta kali selepas dikongsikan di pelbagai catatan di Facebook, YouTube dan Twitter bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan satu dron menghantar sekotak mi segera dan mengutip bayaran melalui kad. Dakwaan itu tak benar. Video itu sebenarnya animasi yang dicipta oleh seorang juruanimasi kesan visual dari Nigeria. 

Video itu disiarkan pada 6 September 2020 di sini di Facebook. 

Video tersebut menunjukkan satu dron membawa dan menurunkan sekotak mi segera jenama Indomie, dan mengutip bayaran melalui kad.

Kapsyennya menyatakan: “Lepas ni kami kena tambah drone buat hantar barang couriers cepat skit.”

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 24 September 2020

Video tersebut juga dikongsikan dalam bahasa Indonesia di Facebook, YouTube dan Twitter, serta dalam bahasa Cina, di mana ia telah ditonton melebihi 1.2 juta kali.

Catatan Facebook, seperti ini dan ini, juga mengongsikan video tersebut bersama dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris bahawa ia dirakam di Nigeria.

Dakwaan tersebut tak benar. Video tersebut sebenarnya animasi kesan visual 3D. 

Carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak oleh alat pengesahan Invid-Weverify mendapati video yang sama dimuat naikkan di Twitter di sini pada 26 Ogos 2020. 

Pengguna Twitter Uche Anisiuba menggambarkan dirinya sebagai pengasas bersama syarikat produksi kandungan di Nigeria, Quadron Studios

Kapsyen ciapannya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Jadi saya kehabisan Indomie semalam, perlu mengisi semula dengan cepat, tidak tahu pun kami mempunyai perkhidmatan penghantaran dron di Lagos,” diikuti oleh emoji ketawa.

Di bawah adalah tangkapan skrin video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan ciapan Anisiuba (kanan):

Tangkapan skrin video dari catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan ciapan Anisiuba (kanan)

Apabila dia menjawab soalan di Twitter, Anisiuba berkata bahawa video itu adalah “kesan visual 3D. Macam jenis yang mereka guna dalam Avengers.”

Dia kemudiannya membuat ciapan ini, yang membandingkan video sebelum dan selepas penambahan kesan khas.

Anisiuba menjelaskan secara terperinci bagaimana dia membuat animasi dalam video ini, yang disiarkan di sini di saluran YouTube Artfrocentric.com, platform dalam talian yang mempamerkan seni digital Afrika.