UNESCO menafikan memanggil Islam 'agama paling aman' -- dan berita ini berasal dari laman sesawang satira

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 21/08/2019 pukul 07:25
  • Dikemas kini pada hari Rabu 21/08/2019 pukul 09:58
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Dakwaan yang UNESCO telah mengisytiharkan Islam sebagai “agama paling aman di dunia” telah tersebar di Facebook, YouTube dan Twitter dari negara Sweden ke Filipina sejak sekurang-kurangnya 2016. Dakwaan ini tak benar. UNESCO menafikan pernah membuat sebarang kenyataan seperti itu dan berita yang mengelirukan itu berasal dari laman sesawang yang mengakui ianya satira.

Dakwaan itu dibuat di pos Facebook ini pada 11 Julai 2019 pada laman Facebook yang berasal dari Malaysia.

Berikutnya tangkapan skrin pos Facebook dari Malaysia yang mengelirukan:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Perenggan pertama pos itu menyatakan: “PARIS: UNESCO telah mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama paling aman di dunia, menyebabkan para pengkritik Islam yang sering menyalahkan agama Islam sebagai agama keganasan terdiam.”

Dakwaan itu juga dibuat dalam pos Facebook ini pada 8 Julai 2019 pada laman Facebook yang berasal dari Filipina.

Pos itu menyatakan bahawa United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) mengeluarkan sekeping sijil bertarikh 4 Julai 2016 mengisytiharkan Islam adalah “agama paling aman di dunia”.

Pos itu termasuk imej yang dikatakan “Certificate of Peace” dengan tandatangan yang kononnya daripada Direktor-General UNESCO Irina Bokova.

Berikutnya tangkapan skrin pos Facebook dari Filipina yang tidak benar itu:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook dari Filipina yang mengelirukan
Image
Tangkapan skrin pos Facebook dari Filipina yang mengelirukan

Sebahagian pos itu menyatakan: “PARIS: Di dalam pembangunan utama yang patut mendiamkan kritik Islam yang telah menyalahkannya untuk keganasan, UNESCO telah mengisytiharkan Islam sebagai agama yang paling aman di dunia.

“United Nations telah mengeluarkan kenyataan awal hari ini yang mendedahkan bahawa UNESCO telah bekerjasama denagan International Peace Foundation enam bulan lalu untuk mengkaji semua agama di dunia dan mencari yang mana antaranya paling aman.”

Dakwaan yang sama menerima ribuan kongsian selepas dimuat naikkan ke akaun Facebook ini yang berasal dari Nigeria; di dalam pos Facebook ini yang berasal dari India; di sini oleh akaun Facebook dari Indonesia; dan di sini oleh akaun Facebook yang berasal dari Sweden. Ia juga dikongsi di Twitter di sini.

Sesetengah pos meletakkan pautan ini yang menunjukkan artikel dari laman sesawang satira bernama Junta Ka Reporter. Laman sesawang tersebut mempunyai teks mirip pos media sosial yang mengelirukan.

Dakwaan di dalam pos media sosial adalah tidak benar. UNESCO telah menafikan menamakan Islam “agama yang paling aman di dunia”.

UNESCO telah mengeluarkan kenyataan ini untuk menafikan dakwaan palsu dari pos media sosial pada 11 Julai 2016.

Sebahagiannya menyatakan: “Kami ingin merujuk kepada dakwaan baru-baru ini yang diterbitkan laman sesawang juntakareporter, yang memetik kononnya kenyataan dan sijil dari UNESCO yang mengisytiharkan ‘Islam sebagai agama yang paling aman di dunia’. Kenyataan seperti itu tidak pernah dibuat oleh kami dan sijil yang ditunjukkan pada laman sesawang ini adalah palsu. Laman sesawang yang menerbitkan informasi ini adalah media satira.

“UNESCO tidak pernah mempunyai  sebarang hubungan rasmi dengan entiti yang dikenali sebagai International Peace Foundation, dan tidak pernah menyokong kenyataan ataupun mengizinkan sebarang diploma seperti ini.”

Di bawah adalah tangkapan skrin kenyataan tersebut:

Image
Tangkapan skrin kenyataan UNESCO

AFP telah mencari laman sesawang rasmi UNESCO dengan kata kunci “Islam adalah agama paling aman di dunia” dan hasil teratas adalah penafian UNESCO di atas. Tiada keputusan carian yang menunjukkan kenyataan kata kunci tersebut.

Junta Ka Reporter mempunyai penafian di laman sesawangnya di sini yang menyatakan bahawa kerjanya satira.

Penafian itu menyatakan: “Kamu percaya kerja ini betul? Sebelum kamu mendakwa kami, buatlah servis kepada kecerdasan kamu dan sedarlah ianya laman sesawang satira. Semua yang diterbitkan di sini adalah buatan semata-mata. Tetapi jika anda masih begitu bodoh dan sakit hati, kami minta maaf.” 
 

Berikutnya adalah tangkapan skrin penafian laman sesawang itu: 

Image
Tangkapan skrin penafian laman sesawang Junta Ka Reporter

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami