Video ini telah dimanipulasi – saintis tidak menemui bahawa pisang mencegah jangkitan koronavirus

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ribuan kali di pelbagai catatan di Facebook dan Twitter yang mendakwa ia menunjukkan laporan berita sahih mengenai para penyelidik Australia menemui pisang dapat membantu mencegah jangkitan novel koronavirus. Dakwaan itu tak benar. Video itu telah dimanipulasi dari laporan berita oleh saluran televisyen Australia ABC untuk memasukkan rujukan kepada pisang; saintis yang dipetik dalam laporan itu memberitahu AFP bahawa dakwaan itu tidak benar.

Video berdurasi 58 saat itu telah dimuat naikkan pada 20 Mac 2020 di catatan Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 6,000 kali dan dikongsikan lebih daripada 500 kali.  

Tiga saat pertama video itu menunjukkan permulaan laporan berita, yang mengandungi logo penyiar awam Australia, ABC News. Penyampai berita Kathryn Robinson kedengaran mengatakan dalam bahasa Inggeris: “Para saintis dari University of Queensland yakin mereka akan dapat menghasilkan vaksin untuk koronavirus yang mematikan.”

Video tersebut kemudian beralih kepada kolaj yang memaparkan visualisasi pisang dan virus. Teks berbahasa Inggeris yang ditindih di atas video dari tanda 13 saat menyatakan: “Pisang adalah salah satu buah yang paling popular di seluruh dunia.

“seperti vitamin C. Semua ini menyokong kesihatan jantung.

“orang yang mengikuti diet tinggi serat mempunyai risiko penyakit kardiovaskular yang lebih rendah

“Pisang mengandungi air dan serat, kedua-duanya menggalakkan keteraturan dan mendorong kesihatan pencernaan.

“Penyelidikan yang dibuat oleh para saintis dari University of Queensland di Australia telah membuktikan bahawa pisang, memperbaiki sistem ketahanan badan anda disebabkan sumber hebat Vitamin B-6 dan membantu mencegah koronavirus. Makan sebiji pisang sehari MENJAUHKAN diri dari koronavirus”.

Kapsyennya, diterjemahkan dari bahasa Cina ke bahasa Malaysia, menyatakan: “Makan pisang / Lawan virus”.

Di bawah adalah tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 5 Oktober 2020

Sehingga 4 Oktober 2020, pandemik Covid-19 telah membunuh lebih daripada sejuta orang dan menjangkiti melebihi 34.8 juta orang, menurut data dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).  

Video tersebut juga dimuat naikkan di Facebook di sini dengan dakwaan serupa dalam gabungan bahasa Cina dan bahasa Inggeris dan di sini dalam bahasa Malaysia.

Ia telah ditonton lebih daripada 3,400 kali setelah muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di Facebook di sini dan di Twitter di sini.

Jurucakap presiden Filipina Salvador Panelo juga membuat dakwaan serupa mengenai sifat pisang yang kononnya anti-Covid-19 dalam taklimat akhbar 16 Mac 2020 ini. Dalam gabungan bahasa Tagalog dan Inggeris, dia berkata: “Saya telah membaca banyak perkara tentang cara memusnahkan atau membendung, membunuh virus ... Saya melihat di internet bahawa pisang adalah pertahanan yang baik”. 

Dakwaan itu tak benar.

Gabungan kata kunci dan carian imej terbalik menggunakan keyframes yang diekstrak dari video dalam catatan yang mengelirukan mendapati video yang lebih panjang ini di saluran YouTube untuk ABC News pada 23 Januari 2020.

Diterjemah dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, ia berjudul: “Perlumbaan diteruskan, para penyelidik di Australia bergegas membuat vaksin koronavirus.”

Tiga saat pertama video yang mengelirukan padan dengan tiga saat pertama video ABC News.

Di bawah adalah perbandingan antara tangkapan skrin video yang mengelirukan (kiri) dan video ABC News (kanan):

Perbandingan antara tangkapan skrin video yang mengelirukan (kiri) dan video ABC News (kanan)

Tetapi video asal berdurasi tiga minit 39 saat ABC News itu tidak menyebut tentang pisang.

Sebaliknya, video itu memasukkan temubual dengan saintis University of Queensland, Dr. Keith Chappell, yang membincangkan tentang usaha universiti itu untuk mengembangkan vaksin terhadap novel koronavirus.

Dalam responsnya kepada dakwaan yang dibuat di dalam catatan Facebook yang mengelirukan, Chappell memberitahu AFP melalui e-mel pada 16 Mac 2020: “Ini pasti TIDAK benar.”

KORONAVIRUS